19 September, 2008

Kursus jangka pendek buat para imam solat (1)

Perhatian: "Kursus ini hanya ditujukan kepada para penganut Islam yang akan atau telah menjadi imam dalam solat berjamaah, tetapi masih tidak mahu berfikir soal kebajikan para makmum di belakang mereka selama ini. Kursus ini mungkin tidak berhikmah, berbaur emosi dan dihujani dengan soalan-soalan bernada keras, tetapi masih lagi berada dalam daerah rasional, agar mereka tersentak dan mahu berfikir seketika tentang kebajikan para makmum mereka selama ini. Kursus ini tidak ditujukan kepada para imam yang bijak, mahu berfikir, prihatin dan bertindak menjaga kebajikan para makmum mereka dalam solat"

Wahai para imam solat, ini kursus pertama. Ini soalan-soalannya:

1. Siapa yang telah mengatakan bahawa WAJIB untuk kamu membaca Surah As-Sajdah dalam rakaat pertama solat Subuh setiap kali pagi Jumaat?

2. Jika kamu katakan tidak wajib, mengapa kamu terlalu kerap, malah mungkin tidak pernah berubah dan membaca surah itu secara tetap selama belasan tahun sejak dahulu hingga kini, sehingga kami para makmum merasakan seakan-akan WAJIB hukumnya untuk kamu membaca Surah As-Sajdah dalam solat Subuh setiap pagi Jumaat?

3. Siapa yang telah mengajar kamu agar membaca Surah Al-Insan pula pada rakaat kedua solat Subuh sesudah kamu membaca Surah As-Sajdah pada rakaat pertama tadi?

4. Adakah WAJIB hukumnya membaca Surah Al-Insan pula sesudah membaca Surah As-Sajdah?

5. Tidakkah kamu melihat dan ambil tahu, bahawa di saat kamu menjadi imam, ada pelbagai lapisan dan latar orang yang menjadi makmum kamu, iaitu kanak-kanak, orang uzur, orang yang ada keperluan, orang tua yang tidak mampu berdiri lama, dan lain-lain?

6. Tidakkah kamu tahu, andai Rasulullah masih ada pada hari ini, dan hal ini diadukan kepadanya, nescaya akan merahlah wajah Rasulullah, lantaran marahnya kepada sikap kamu saat menjadi imam solat?

Sekian untuk kursus pertama. Jika tiada perubahan, nantikan kursus kedua.

baca tulisan ini sepenuhnya..

18 September, 2008

Politik

Ada orang kata politik itu kotor. Politik adalah seni kepada apa yang mustahil. Tiada apa yang mustahil dalam politik. Politik adalah pembohongan. Politik menghalalkan cara, asalkan matlamat tercapai. Dan tanggapan-tanggapan negatif lain pasal politik.

Aku katakan, politik itu suci. Ahli politiklah yang mengotorkannya. Ahli politiklah yang menghalalkan cara yang haram, demi kepentingan peribadinya. Pendek kata, ahli politiklah yang memalit najis pada tubuh politik. Melainkan ahli politik yang ikhlas hatinya. Jujur dan amanah dalam menunaikan tanggungjawabnya.

baca tulisan ini sepenuhnya..

15 September, 2008

Gagak berlagak merak

Sungguh berani engkau wahai gagak.
Tuhan telah jadikan engkau seekor gagak.
Mengapa dikau cuba berlagak seekor merak?
Biarkan gagak yang berlagak merak.
Biarkan gagak ditempelak dengan lagaknya.
Kerna aku sedang marah dan benci
Kepada manusia yang berlagak Tuhan.

Tuhan pun mohon bukti.
Wahai manusia, kenapa kamu pula tidak datangkan bukti?!
Tuhan pun mahu mendengar.
Wahai manusia, kenapa kamu tidak mahu mendengar?!
Tuhan pun bicarakan para hambaNya dengan adil.
Wahai manusia, kenapa kamu menangkap manusia lain tanpa bicara yang adil?!

Wahai manusia, berani sungguh kamu!
memisahkan kasih dan sayang.
memisahkan jantung dan hati.
memisahkan seorang anak daripada ayahnya!
memisahkan seorang isteri daripada suaminya!
memisahkan seorang insan daripada saudaranya!
Wahai manusia, berani sungguh kamu!
Nantikanlah azab pedih daripada Tuhanmu!
Kerna kamu benar-benar berani. Kerna kamu tunjuk berani.

Wahai manusia, kenapa kamu mengambil tempat Tuhan?
Wahai manusia, kenapa kamu ingin menjadi Tuhan?
Wahai manusia, tidak takutkah kamu dengan azab Tuhan?

baca tulisan ini sepenuhnya..

09 September, 2008

Wad Semikritikal, Zon Kuning

Jumaat malam Sabtu lepas, saat aku berbaring empuk di atas hamparan putih di balik tirai, tiba-tiba saja terdengar jeritan menangis yang asalnya jauh. Akhirnya mendekat.

"Yah!!..Jangan tinggalkan aku, Yah! Aku sakit..aku sakit!" jerit seorang wanita. Agak muda suaranya. Tidak remaja. Kakinya mungkin patah.

"Aku tak tinggalkan kau, takkan tinggalkan kau..aku ada di sini. Aku tetap ada dengan kau" balas rakannya hampir berulang kali. Aku fikir, itu rakan karibnya. Mungkin mereka baru ditimpa kemalangan. Akhirnya, suara jeritan tadi mula reda apabila kakinya diampu dengan kerangka besi oleh para pegawai perubatan.

Di hujung katil sana, ada seorang wanita tua, yang hanya diam di atas katil putih tetapi bertelekung solat yang terdapat percikan darah padanya. Ada darah yang mengalir keluar dari matanya. Aku tidak sanggup melihat untuk kali kedua. Hanya pegawai perubatan yang sanggup merawat matanya itu.

Tiba-tiba, "Sakit doktor..sakit..sakit" suara di sebalik tirai belakangku pula berbunyi. Kata rakanku yang berada pada sudut yang boleh dilihat, tangannya sedang dijahit oleh pembantu hospital.

Selebihnya, selang seli iringan suara tangisan kanak-kanak yang mengalami luka kemalangan dan tangisan bayi kecil. Sibuk sekali ruang itu. Kesemua suara, menghambur tanpa ritma. Berbaur pelbagai rasa. Mengandung sejuta makna. Di sinilah Zon Kuning, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

baca tulisan ini sepenuhnya..

05 September, 2008

Ubat

Kenapa ramai orang yang sakit dan tidak sihat, memilih untuk makan ubat? Kenapa mesti makan ubat? Kalau tak makan, tak boleh? Saya rasa, orang makan ubat sebab nak hilangkan sakit. Juga sebab tak tahan dengan kesakitan penyakit. Kalau semua orang mampu menahan sakit, atau sistem imun tubuh mereka hebat, maka mereka tak perlukan ubat lagi.

baca tulisan ini sepenuhnya..

03 September, 2008

Wali dan Ramadhan

Aku dengki dengan para wali. Kata Tuhan, mereka dikatakan tidak takut dan tidak bersedih hati. Yang aku tahu, semua manusia pernah takut dan sedih. Bukan manusiakah mereka ini?

Buat Muhammadiyyun
Selamat bercanda ria
Berpesta temasya
Dalam taman indah
Syurga dunia
Girang gembira
Ramadhan mulia.

baca tulisan ini sepenuhnya..

21 August, 2008

Pesta sesumpah

Sumpah ada dua jenis. Jenis pertama, sumpah benar. Yakni, tubuh yang bersumpah, berkata benar. Jenis kedua, sumpah palsu. Yakni, tubuh yang bersumpah berkata bohong. Siapa yang berkata benar dalam sumpahnya, sudah pasti akan selamat bila dia dihidupkan sesudah mati. Cuma, semasa hidup di atas dunia, kadang kala dia kelihatan selamat dan kadang kala dia kelihatan ditimpa musibah.

Andai dia selamat, maka segala puji bagi Tuhan. Andai dia tetap ditimpa musibah walau sumpahnya benar, itu adalah ujian dan perancangan Tuhan buat dirinya. Begitu juga tubuh yang bersumpah palsu. Di dunia, kadang kala dia selamat dan kadang kala dia memang menderita lantaran sumpah palsunya. Tapi yang pastinya, dia memang takkan selamat selepas dia dihidupkan semula, melainkan Tuhan ampunkannya.

Laknat Tuhan adalah sesuatu yang abstrak. Subjektif. Kita tidak tahu, apakah sesuatu musibah yang menimpa tubuh yang bersumpah itu, deklasifikasikan sebagai laknat Tuhan-bagi sesiapa yang bersumpah palsu-atau sekadar ujian bagi menaikkan darjat-bagi sesiapa yang bersumpah benar- kerna kita belum ketemu sumber-sumber dalam agama yang mengkelaskan sesuatu musibah itu sebagai laknat Tuhan kepada sumpah palsu. Maka, tiada siapa belum berhak untuk mengatakan sesuatu musibah yang menimpa seseorang itu adalah laknat Tuhan kepadanya, melainkan terdapat alasan dan sandaran yang sahih dalam hal ini.

Bersumpah untuk mendakwa seseorang, tidak boleh dilakukan melainkan dakwaannya itu dibicarakan dahulu dan dibentangkan hujahnya di mahkamah. Mengapa? Kerana andai sumpah boleh didahulukan, maka akan berleluasalah budaya sumpah mudah dalam kalangan masyarakat. Maka, setiap kejahatan juga akan menggunakan alasan sumpah, untuk menutup kejahatan mereka dan akan bertebaranlah sumpah-sumpah palsu dalam kalangan mereka, tanpa dibicarakan di mahkamah terlebih dahulu. Maka, apa yang akan kita katakan kepada sesiapa yang mendahulukan sumpahnya sebelum melalui penghujahan pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah?

Picture source

baca tulisan ini sepenuhnya..

19 August, 2008

Rasa berTuhan

Ada seorang pemuda Muslim yang kehabisan wang. Dia agak lapar. Masalah pula bertimpa-timpa menghujani dirinya. Sudah terjatuh, ditimpa tangga pula. Dia menangis keseorangan. Teresak-esak. Dia sudah mati akal dan tidak mampu bertahan lagi. Lalu, dia bingkas bangun dari kerusinya dan terus sujud. Sujud yang bukan solat. Hanya sujud semata-mata. Dalam sujud itu dia berbisik sambil teresak berlinangan air mata. Air matanya jatuh menitis di atas hamparan baldu: "Tuhan..jika Kau benar-benar wujud, tunjukkanlah kuasaMu. Aku lapar dan tiada wang. Berikanlah aku makanan. Berikanlah aku wang".

Setelah puas mengadu, dia menyambung kerjanya. Setengah jam kemudian, dengan tidak semena-mena, datang seorang wanita dewasa, mengetuk-ngetuk pintu biliknya. Wanita itu memberikannya sedikit wang. Dan sedikit buah-buahan dari kampungnya. Hati pemuda berbunga dalam diam dan masih tergamam. Hatinya berbisik terkejut: "Oh Tuhan!!..Rupa-rupanya Kau memang benar-benar wujud!! Walau aku belum pernah melihatMu, Kau memang wujud!! Rupa-rupanya Kau melihat dan mendengar keluh esak tangisku tadi. Kau memang Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Melihat. Kau Maha Pemurah dan Kaulah Tuhan sebenar, Yang Satu, Maha Kaya dan Maha Mengasihani..".

Pengalaman bertuhan, adalah berbeza-beza bagi setiap manusia, walau kadang-kadang sama. Boleh jadi, jika pemuda yang lain cuba meniru tanpa tumpah apa yang pemuda Muslim tadi lakukan, belum tentu hasilnya serupa. Boleh jadi juga serupa. Boleh jadi juga tidak membuahkan hasil (pada zahirnya). Boleh jadi juga lain pula jadinya. Pengalaman pemuda Muslim tadi bukanlah suatu yang putus. Tidak mutlaq. Terpulanglah apa sangkaan hamba kepada Tuhannya. Natijahnya, terpulang kepada Tuhan.

baca tulisan ini sepenuhnya..

14 August, 2008

Kes kajian: Hanya cadangan

Katakan saya berada dalam sebuah mesyuarat. Sudah tentu sepanjang mesyuarat berlangsung, akan berlaku banyak perbahasan, cadangan dan idea dimuntahkan oleh para ahli sidang. Sudah tentu terlalu banyak idea-idea yang tidak bersama, berlainan dan berbeza, kerana kepala para ahli sidang juga berbeza. Akal juga berbeza.Ada seorang ahli mengemukakan pandangan. Hanya pandangan dan cadangan. Saya ulangi, cadangan. Satu cadangan. Hanya cadangan. Cadangan yang belum ada persetujuan bersama. Sesuatu cadangan itu, bukanlah dikatakan sejenis arahan atau paksaan. Hanya cadangan. Tiba-tiba ada ahli lain yang melenting. Mengamuk. Menumbuk meja. Meracau. Membebel tak tentu fasal. Tak tahu hujung pangkal. Kemudian, para pekerja syarikat yang tidak turut sama dalam mesyuarat itu juga mengamuk. Berpiket. Bertindak melampau dan liar. Hanya kerna cadangan (bukan arahan @ pelaksanaan).
Adakah suatu cadangan itu bermaksud suatu arahan?
Hanya kerna cadangan itu berbeza saja?
Hanya kerna suatu cadangan?
Hanya kerna itu?
Wajarkah?
Patutkah?

baca tulisan ini sepenuhnya..

13 August, 2008

Melayu


Mengislamkan Melayu, tak mengapa.
Memelayukan Islam, jangan sekali.

Picture source

baca tulisan ini sepenuhnya..

berapa lama?

Berapa lama yang diperlukan bagi seorang muallaf
untuk menghilangkan gelaran muallaf?
Jika tiada tempoh,
maka Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali
masih muallaf sehingga ke hari ini.

Berapa lama yang diperlukan bagi seorang pekerja baru
untuk menghilangkan gelaran 'baru'nya itu?
Jika tiada tempoh, maka seorang pengarah syarikat
yang sudah licin kepalanya,
masih bergelar 'pekerja baru' sehingga ke hari ini.

Berapa lama yang diperlukan bagi seorang yang bukan bumiputra
untuk bertukar menjadi bumiputra?
Jika tiada tempoh, maka sampai kiamat lah
dia menjadi bukan bumiputra.

Maka sungguh bertuah bumiputra,
menggunakan taqdir Tuhan,
untuk mengekalkan "status quo"nya.

Picture: Shaikh Hussain Yee, the President of Al-Khadim Organization in Malaysia

baca tulisan ini sepenuhnya..

17 July, 2008

Ramah dan diam

Ada seorang peramah dan seorang pendiam. Si peramah mengeluh dan mengadu perasaan kepada si pendiam. Katanya, aku teringin menjadi pendiam semacam kamu. Ya lah, apabila aku ramah,aku akan banyak mengguriskan hati orang lain, mengumpat, tersalah kata, bergurau yang melampau dan kes-kes kesalahan lidah yang lain. Aku cemburu dengan kamu, aku teringin menjadi pendiam. Apabila diam, kurang lah dosa.

Si pendiam membalas luahan. Aku pula teringin menjadi peramah semacam kamu. Kamu tidak tahu betapa sepinya duniaku dan hidupku apabila aku berdiam diri. Ramai orang yang sering memandang serong kepadaku lantaran aku ini pendiam. Ramai juga yang tidak percaya kepada diriku. Pendek kata, pendiamnya diriku ini, tidak meyakinkan ramai orang. Apabila aku cuba bergurau senda, gurauan aku akan dianggap aneh kerna biasanya aku diam. Gurauan aku dipandang asing. Akhirnya diamnya aku menjadi-jadi. Semakin diam lah aku.

baca tulisan ini sepenuhnya..

07 July, 2008

Tuduh-tuduh

Beban pembuktian kebenaran sesuatu dakwaan atau tuduhan, terletak di atas bahu si pendakwa atau si penuduh. Bagaimana? iaitu lah melalui proses perbicaraan mahkamah dan perundangan yang suci. Apa kayu ukur atau tanda aras tahap kesucian mahkamah jika hakim boleh diperdagangkan? Di mana lagi di dunia ini mahkamah yang suci? Khabarkanlah kepadaku.

Aku mencintai ahli kebenaran. Tetapi, kebenaran itu sendiri lebih ku cintai. Kerna ahli kebenaran boleh saja tersalah silap, dan mungkin boleh saja sengaja bersalah. Kita berhukum dengan apa yang zahir, kita serahkan kepada Tuhan apa yang rahsia.

Berhati-hatilah saat mendengar berita, kerna kita tidak tahu adakah sesuatu berita yang dipandang kecil, mampu membakar dunia dan isinya. Siasatlah. Berhati-hatilah.

Tuhan, bersaksilah, akulah penentang kepada revolusi berdarah. Aku tidak suka tumpah darah. Aku tidak suka mengalirnya darah. Aku benci manusia mengalir darah. Aku tidak mahu ramai kehilangan nyawa. Aku tidak suka. Aku terkenangkan Uthman. Aku terkenangkan An-Nawawi.

baca tulisan ini sepenuhnya..

11 June, 2008

Kebencian terpilih (2)

Jika seorang Ramasami
yang kemalangan,

namun dia tidak ditolong hanya
kerana dia seorang India,

maka dia adalah
orang-orang yang telah dizalimi.



Jika seorang John
pada 10 tahun yang lalu
adalah seorang pemabuk arak,
dan kini dia adalah penganut Kristian sejati,
namun dia masih digelar
John pemabuk arak,

maka dia adalah orang-orang
yang telah dizalimi.


Jika seorang Hamidah
yang tidak bertudung,

datang ke sebuah temuduga,
dengan sijil kelayakannya yang bagus,
namun permohonannya ditolak
hanya kerana dia tidak bertudung,
maka dia adalah orang-orang
yang dizalimi.






Jika seorang Muslim
berjanggut yang sedang bercuti,

ke sebuah tempat percutian indah,
namun dia telah dipandang serong,
dan dia dituduh pengganas,
maka dia adalah orang-orang
yang telah dizalimi.


Jika seorang Sally
yang berumur 8 tahun,

menegur ayahnya agar berhenti merokok,
namun dia pula dipukul
dan dimarahi ayahnya,

hanya kerana dia seorang budak-budak,
hanya kerana budak-budak tiada hak
untuk menegur orang tua, orang dewasa,
maka dia adalah orang-orang
yang telah dizalimi.


Jika seorang Yahudi,
yang memperjuang hak asasi,
yang berdiri menghalang
sebuah kereta kebal Zionis,

lalu dia tetap digilis sehingga mati,
maka dia adalah orang-orang
yang telah dizalimi.


Semoga Tuhan selamatkan aku
daripada daerah zalim

baca tulisan ini sepenuhnya..

10 June, 2008

Doa


Berdoa itu syurga dunia.
Dan siapakah lagi
yang takkan pernah mungkir janjinya,
jika bukan Tuhan?

baca tulisan ini sepenuhnya..

05 June, 2008

Apa akan jadi?

Selalunya manusia, termasuk saya, akan lebih mendekati Tuhan di saat-saat genting, takut amat, sedih hiba, susah hati, gerun, cemas, bimbang dan pelbagai lagi rasa yang tidak enak. Mereka tidak akan melupakan Tuhan pada saat-saat begini. Baik, apa akan jadi andai perkara ini berlaku terbalik? Iaitu manusia memilih untuk lebih dan lebih dan lebih lagi mendekati Tuhan di saat mereka senang, enak, nyaman, lapang, kaya, berduit, bahagia, gembira dan rasa enak yang lain, apa akan jadi?

Picture Source

baca tulisan ini sepenuhnya..

04 June, 2008

Taqdir

Siapakah Tuhan? Yang dinamakan Tuhan itu, pasti Maha Mengetahui segalanya, yang di langit mahupun yang di bumi, yang di luar mahupun yang di dalam hati. Dia sudah tahu apa yang sudah, sedang dan akan terjadi. Seandainya dia tidak tahu apa yang akan terjadi, maka dia bukan Tuhan, tetapi hanya makhluk. Tiada suatu makhluk pun yang tahu apa yang akan mereka usahakan pada hari esok, malah sesudah membaca catatan ini pun dia tidak tahu apa yang akan terjadi selepas ini. Terjadi dlm erti kata memang betul-betul terjadi. Yang makhluk tahu, ialah hanyalah perancangan. Itu pun dia tidak tahu adakah perancangannya akan benar-benar berhasil dan terjadi.

Taqdir adalah suatu ketetapan, keizinan dan rahsia di sisi Tuhan. Seandainya saya mengalami kemalangan jalan raya pada tahun lepas, maka baru kini saya tahu bahwa saya telah ditakdirkan untuk kemalangan pada tahun lepas. Sebelum berlaku kemalangan, saya memang tidak pernah tahu bahwa saya akan kemalangan, sedangkan Tuhan memang sudah tahu saya akan kemalangan pada tahun lepas. Sekarang pukul 6 pm, saya memang tidak pernah tahu bahwa saya akan menulis catatan ini sebelum 6 pm tadi. Tapi sekarang saya tahu, pada pukul 6 pm, saya sedang menulis. Saya tidak tahu apa akan saya lakukan selepas menulis, selepas 6 pm ini. Tapi Tuhan sudah pun tahu, sebab itulah Dia Tuhan.

Apa yang kita boleh rancang untuk lakukan selepas ini? Kita boleh rancang apa saja yang kita inginkan di hati, tapi kita serahkan kejayaannya kepada Tuhan. Kemudian kita cuba perahkan tenaga agar rancangan kita berhasil menurut perkiraan mata kita sebagai makhluk. Itulah dinamakan usaha. Berdoa? Berdoa ialah memohon sesuatu dari Tuhan agar usaha atau keinginan kita diizinkanNya untuk berjaya. Jika usaha dan doa sudah dilakukan, tetapi tidak berjaya? Maka kita tidak boleh marah kepada Tuhan, kerna Dia adalah Tuhan yang mencipta kita, kerna Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Proses untuk tidak marah ini, dinamakan pasrah (tawakkal, redha, sabar).

baca tulisan ini sepenuhnya..

Nasib ayam

Nasib yang sedang berada di tangan manusia adalah sejenis nikmat kurniaan Tuhan. Manusia pada asalnya bernasib baik, kerna semua yang telah dan akan ditentukan Tuhan adalah baik belaka. Nah, cuba lihat kes ini: Ayam adalah sejenis hidupan. Tak siapa pun dibenarkan menyakiti ayam. Namun, Tuhan telah mengizinkan kita menyembelih ayam dengan cara yang betul, dan menghalalkan pula dagingnya untuk kita nikmati. Di mata manusia, hal itu mengerikan dan menyakitkan ayam. Maka terdapat mereka yang memilih tidak mahu makan ayam. Namun, di sisi Tuhan, ayam halal dimakan. Tidak timbul ayam bernasib buruk kerna dijadikan makanan. Kerna di sisi Tuhan, semuanya baik belaka.

Tuhan takkan mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga merekalah yang mengubahnya sendiri. Bagaimana mereka mengubahnya? Bila mereka memilih untuk tidak bersyukur, maka Tuhan ubah nasib mereka dengan cara menarik semula nikmat nasib yang telah dianugrahkan kepada mereka. Merekalah yang mengubah nikmat yang ada di tangan mereka itu, iaitu daripada ada, kepada tiada, dengan cara tidak mahu bersyukur.

~ tingkat 17, Menara (1) Sains & Teknologi, UiTM Shah Alam.
Type rest of the post here

baca tulisan ini sepenuhnya..

03 June, 2008

Hadith Usamah

"Rasulullah saw. mengirim kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah di pagi hari. Lalu aku menjumpai seorang kafir. Dia mengucapkan: Laa ilaaha illallah, tetapi aku tetap menikamnya. Ternyata kejadian itu membekas dalam jiwaku, maka aku menuturkannya kepada Nabi saw. Rasulullah saw. bertanya: Apakah ia mengucapkan: Laa ilaaha illallah dan engkau tetap membunuhnya? Aku menjawab: Wahai Rasulullah, ia mengucapkan itu hanya karena takut pedang. Rasulullah saw. bersabda: Apakah engkau sudah membelah dadanya sehingga engkau tahu apakah hatinya berucap demikian atau tidak? Beliau terus mengulangi perkataan itu kepadaku, hingga aku berkhayal kalau saja aku baru masuk Islam pada hari itu. Saad berkata: Demi Allah, aku tidak membunuh seorang muslim, hingga dibunuh Dzul Buthain, Usamah. Seseorang berkata: Bukankah Allah telah berfirman: Dan perangilah mereka, agar tidak ada fitnah dan agar agama itu semata-mata untuk Allah. Saad berkata: Kami telah berperang, agar tidak ada fitnah. Sedangkan engkau dan pengikut-pengikutmu ingin berperang, agar timbul fitnah."


(Hadith ini sahih, riwayat Imam Muslim. Nombor hadith (bahasa arab): 140. Untuk shbat2 merujuk: klik di sini)

baca tulisan ini sepenuhnya..

Hadith berkenaan dosa yang tersembunyi.

Ini adalah hadith sokongan kepada tulisan terakhir "Dosa tersembunyi (episod akhir)"

Dalam hadis Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya:

“Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.

Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya)

“Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114).

Maka ada seorang bertanya:

“Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?

Jawab Nabi saw:

“Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Sumber hadith: klik di sini

baca tulisan ini sepenuhnya..

Kebencian terpilih (1)

Saya dan Haji Amar sedang minum-minum malam di sebuah kedai makan. Tiba-tiba berlaku kemalangan jalan raya di hadapan saya. Bunyi dentum yang tidak kurang kuatnya kedengaran memecah suasana. Semua mata melihat kearah jalan. Namun pandangan saya agak terhalang dengan sebatang pokok menyebabkan saya tidak dapat melihat dengan tepat kenderaan yang terlibat dengan kemalangan.

Tiba-tiba, seorang lelaki berbangsa Cina, lari tanpa memakai selipar di hadapan saya. Seorang pemuda Melayu bersama dua tiga orang rakannya mengejar sangat hampir, sambil menghayunkan topi keledarnya berkali-kali, sangat hampir mengenai badan lelaki Cina tersebut. Saya bingkas bangun untuk melihat lebih dekat agar saya mudah faham apa sebenarnya yang terjadi. Saya tidak berani menghalang, entah-entah saya pula menjadi mangsa belasahan emosi marah mereka.

Seorang Pak Lebai berani mengambil inisiatif, melintas jalan dan menghalang pemuda-pemuda Melayu tadi, sekaligus menenangkan suasana marah dan tegang itu. Dia kelihatan cuba memujuk mereka dan beberapa kali berbual balas dengan lelaki Cina tadi.

Adilkah tindakan awal yang dilakukan para pemuda Melayu tadi? Mengapa Lebai tadi tidak turut serta mengejar dan membelasah lelaki Cina itu bersama-sama para pemuda Melayu tadi? Mengapa dia memilih untuk menjadi orang tengah? Apa akan jadi, jika suasana tadi tidak terkawal, dan lelaki Cina itu mati dibelasah pemuda-pemuda Melayu itu?

baca tulisan ini sepenuhnya..

02 June, 2008

Dia

Doa itu hakikat.
Solat itu hakikat.
Dia itu hakikat.

Jika patung berhala itu hanyalah keras, lemah amat
dan takkan mampu berbuat apa-apa, begitulah jua manusia.
Semuanya makhluq, sedangkan Dia Khaliq.
Maka, Dialah hakikat,
Dialah hasrat,
Dialah matlamat,
Dialah hajat,
Dialah Rahmat,
Dialah impian,
Dialah tujuan,
Dialah sandaran,
Dialah pergantungan,
Dialah keyakinan,
Dialah kepulangan,
Dialah kehidupan,
Dialah kematian,
Dialah cinta,
Dialah segalanya..

~ 3.27pm, Khamis, 29 Mei 08, P9, Putrajaya.

baca tulisan ini sepenuhnya..

Pernyataan 1

"Sesungguhnya, saya berlepas diri daripada sebarang syak dan tanggapan tidak benar terhadap keseluruhan kandungan blog ini. Melainkan mereka mendapatkan penjelasan saya. Semoga Tuhan menyelamatkan saya dan menerima seluruh amal saya."

~ untuk sebarang pertanyaan, sila tinggalkan komen anda pada ruang komen setiap posting.

baca tulisan ini sepenuhnya..

Bismillah..

Andai dikatakan "dengan pena ini, saya menulis", ertinya saya menulis dengan menggunakan pena ini. Maka, begitulah juga jika di permulaan blog ini, saya mulakan dengan berkata "Bismillah..saya rasmikan blog ini" (makna: "Dengan nama Tuhan (Allah)..saya rasmikan blog ini"). Sebagai lambang keberkatan. Lambang sebuah permulaan.

baca tulisan ini sepenuhnya..