04 June, 2008

Taqdir

Siapakah Tuhan? Yang dinamakan Tuhan itu, pasti Maha Mengetahui segalanya, yang di langit mahupun yang di bumi, yang di luar mahupun yang di dalam hati. Dia sudah tahu apa yang sudah, sedang dan akan terjadi. Seandainya dia tidak tahu apa yang akan terjadi, maka dia bukan Tuhan, tetapi hanya makhluk. Tiada suatu makhluk pun yang tahu apa yang akan mereka usahakan pada hari esok, malah sesudah membaca catatan ini pun dia tidak tahu apa yang akan terjadi selepas ini. Terjadi dlm erti kata memang betul-betul terjadi. Yang makhluk tahu, ialah hanyalah perancangan. Itu pun dia tidak tahu adakah perancangannya akan benar-benar berhasil dan terjadi.

Taqdir adalah suatu ketetapan, keizinan dan rahsia di sisi Tuhan. Seandainya saya mengalami kemalangan jalan raya pada tahun lepas, maka baru kini saya tahu bahwa saya telah ditakdirkan untuk kemalangan pada tahun lepas. Sebelum berlaku kemalangan, saya memang tidak pernah tahu bahwa saya akan kemalangan, sedangkan Tuhan memang sudah tahu saya akan kemalangan pada tahun lepas. Sekarang pukul 6 pm, saya memang tidak pernah tahu bahwa saya akan menulis catatan ini sebelum 6 pm tadi. Tapi sekarang saya tahu, pada pukul 6 pm, saya sedang menulis. Saya tidak tahu apa akan saya lakukan selepas menulis, selepas 6 pm ini. Tapi Tuhan sudah pun tahu, sebab itulah Dia Tuhan.

Apa yang kita boleh rancang untuk lakukan selepas ini? Kita boleh rancang apa saja yang kita inginkan di hati, tapi kita serahkan kejayaannya kepada Tuhan. Kemudian kita cuba perahkan tenaga agar rancangan kita berhasil menurut perkiraan mata kita sebagai makhluk. Itulah dinamakan usaha. Berdoa? Berdoa ialah memohon sesuatu dari Tuhan agar usaha atau keinginan kita diizinkanNya untuk berjaya. Jika usaha dan doa sudah dilakukan, tetapi tidak berjaya? Maka kita tidak boleh marah kepada Tuhan, kerna Dia adalah Tuhan yang mencipta kita, kerna Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Proses untuk tidak marah ini, dinamakan pasrah (tawakkal, redha, sabar).

No comments: