17 November, 2009

Mazhab Al-Geografi 2

Gambar: Dr. Yusuf al-Qaradhawi, graduan Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar, Ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) dan Presiden Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (International Association of Muslims Scholars). Tahun 1960, beliau memperolehi Kajian Saringan Tinggi yang bersamaan dengan ijazah MA daripada Bahagian Sains al-Quran dan Hadis. 1973, memperolehi ijazah PhD dengan hujahnya mengenai "Az-Zakah fi Hal al-Mushlikat al-Ijtima'iyyah" (Zakat dan Pengaruhnya dalam Penyelesaian Masalah Sosial). Beliau menjawat jawatan sebagai seorang khatib, guru dan penulis di Al-Awqaf dan Al-Azhar. Telah menerbitkan berjumlah 100 buah buku yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Islam, kesusasteraan dan puisi. Antara kitabnya yang terkenal: "Halal dan Haram dalam Islam" dan "Keutamaan Gerakan Islam pada Fasa Akan Datang".

Beliau menyatakan dalam salah satu kitabnya:

"Yang terpenting adalah, hendaklah engkau mengetahui bahawa taklid seorang awam kepada salah seorang imam merupakan hal yang dibolehkan sesuai dengan kaedah dan darjatnya dan (saya kata: namun) ia bukanlah merupakan satu kewajipan (bertaklid) sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama’ kebelakangan. Ini kerana tidak ada sesuatupun yang wajib kecuali apa yang telah diwajibkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah (saya kata: tiada suatu pun menjadi wajib, melainkan ada sandaran atau bukti -dari al-Qur’an dan al-Sunnah- yang menyatakan sesuatu itu wajib). Kenyataannya, kedua-dua sumber tersebut tidak mewajibkannya (nya: bertaklid). Berdasarkan hal ini tidak ada larangan bagi seorang Muslim untuk bebas mengikuti sesuatu mazhab tertentu atau bertanya kepada salah seorang ulama’ yang mudah dihubunginya berkenaan sesuatu masalah yang dihadapinya tanpa harus terikat kepada seorang imam sahaja sehingga tidak boleh bertanya kepada imam yang lain.

Jalan inilah yang ditempoh oleh para sahabat dan orang-orang yang mengikuti jejak mereka pada abad-abad terbaik umat ini. Allah telah menghindari mereka daripada praktik taklid yang tercela ini (iaitu hanya terbatas kepada satu imam atau mazhab sahaja, atau, saya kata: 'taklid buta').

Orang yang paling penting diberi kebebasan dalam menentukan mazhab mana yang ingin diikutinya ialah orang-orang baru memeluk Islam. Mereka boleh sahaja mengikuti apa yang sebenarnya tidak ditetapkan oleh Allah Ta‘ala, iaitu bertanya (saya kata: dengan bebas) kepada mana-mana ulama’ yang mereka kehendaki (saya kata: tanpa dihalang, dipandang serong, dituduh bukan-bukan dsb). Juga sebaiknya untuk mereka, dikarang buku-buku yang bersifat sederhana yang menjelaskan ajaran Islam tanpa terikat kepada satu mazhab tertentu."

*Sumber: Yusuf al-Qaradhawi, "Bagaimana Berinteraksi Dengan Peninggalan Ulama’ Salaf" (edisi terjemahan oleh Ahrul Tsani & Muhtadi Abdul Mun’im, Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2003), mukasurat 118 .

*Untuk membaca posting sebelumnya bertajuk: Mazhab Al-Geografi 1, klik di sini.

*(saya kata = Tuan blog)

bersambung..

baca tulisan ini sepenuhnya..

08 November, 2009

Oksidentalisme

Gambar: Sir Henry Gurney, bekas Ketua Setiausaha Pentadbiran Inggeris di Palestine (1946-1948). Setelah berkhidmat dengan 'cemerlang gemilang' dan 'sangat berjasa' di sana dalam kejayaan penubuhan negara Israel pada 14 Mei 1948, -Sumber- beberapa bulan kemudian, beliau dilantik pula menjadi Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu pada 13 September 1948 -Sumber- bagi menggantikan Sir Edward Gent. Amat sesuai untuk orang Malayu mengenang jasanya, sehingga ada yang mencadangkan supaya didirikan papan tanda khas di tepi jalan Bukit Fraser bagi mengenang lokasi tragedi serangan hendap komunis terhadap beliau sehingga beliau terbunuh - mengapa komunis memilih untuk membunuhnya? Mungkin sesuai dengan jasanya di Palestine, memang sesuai namanya dijadikan nama sekolah 'khas' di Melaka, (Sekolah Henry Gurney) yang masyhur itu. Sumber gambar: di sini.

baca tulisan ini sepenuhnya..

03 November, 2009

Mazhab Al-Geografi

Gambar: Al-Ustaaz Professor Dr. Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (Prof HAMKA, 1908-1981), adalah seorang ulama Nusantara yang mengarang novel cinta memorabilia melankolik romantis bertajuk: "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck", juga pengarang kepada tafsir Al-Quran monumental sentimental berjudul: "Tafsir Al-Azhar". Sumber gambar: di sini. Ulasan gambar: Saya sendiri.

Tamat selingan manja tentang Ayahanda Hamka. Biar saya perkenalkan nama-nama mazhab baru (sebenarnya dah lama) yang telah saya kesan, kepada teman-teman pembaca, seperti berikut: Mazhab Al-Geografi; Mazhab Al-Tradisi dan Mazhab Al-Nenek Moyangi. (Biarkan dulu ketunggang-langgangan tatabahasa Arab saya itu bercampur dengan Bahasa Melayu)

Mazhab Al-Geografi :

Mazhab ini berasal dari tanah semenanjung (semenanjung mana?) dan fahamannya berdasarkan batas-batas sempadan negeri dan negara; para penganutnya sangat pentingkan sempadan, kerana batas-batas sempadan itu jualah menjadi batas amalan mazhab mereka. Orang-orang yang ingin menyampaikan ceramah, termasuk para mufti (bekas, sedang dan akan jadi mufti), para pensyarah pengajian Islam universiti berstatus PhD, Professor, sehinggalah kepada Ustaz Akob Ulu Yam dan Lebai Ayob Kampung Pisang Setandan, mahupun Ustazah Jamaliah yang solehah, mestilah memohon tauliah daripada penganut mazhab ini, sebelum menyampaikan kuliah atau ceramah, kerana dibimbangi kesemua penceramah tadi masuk mengajar mazhab yang berbeza daripada mazhab Al-Geografi itu. Mazhab ini menjadikan mazhab majoriti penduduknya sebagai mazhab rasmi negeri atau negara mereka. Penganut mazhab lain yang minoriti yang memasuki negeri ini, tidak digalakkan berbincang dan mengamalkan mazhab asal, kerana dibimbangi masyarakat tempatan akan terpengaruh, kacau bilau, kecoh mecoh, dan bising-bising dengan mazhab baru yang berlainan daripada mazhab Al-Geografi. Bagi penganut mazhab ini, mazhab Al-Geografi lah mazhab paling benar, paling tepat dan paling bagus.

Mazhab Al-Tradisi (Ultra-tradisi?) :

Mazhab ini mengikut tradisi penduduk setempat. Kalau orang tempatan secara tradisinya bermazhab yang itu, orang lain juga, para pelawat, pelancong asing, mestilah mengikut mazhab yang itu jua. Tidak boleh bermazhab lain. Mazhab ini tidak suka kepelbagaian mazhab. Mereka tidak suka warna warni kepelbagaian mazhab; mereka hanya tahu warna hitam dan putih, dan tidak warna selainnya. Malah TV di rumah-rumah mereka juga masih TV hitam putih. Bagi mereka, mazhab di dunia ini hanya satu sahaja, bukan 4 dan bukan juga 8.

Mazhab Al-Nenek Moyangi :

Sebenarnya, mazhab nenek moyangi ini sama sahaja; (dah letih tambah Al-Al-Al) - adalah sub-mazhab Al-Tradisi, kerana para penganutnya suka mengikut mazhab yang menjadi tradisi turun temurun. Cumanya secara lebih tepat, mereka sekadar mengikut sahaja apa-apa sahaja mazhab yang dianuti nenek moyang mereka sejak dahulu kala - tanpa lebih-lebih soal, tanpa lebih-lebih tanya dan tanpa lebih-lebih fikir. Kalau tanya lebih, nanti dimarahi nenek. Kalau soal lebih, akan dituduh lemah imannya.

Panjang lagi tulisan ni, tapi nanti-nantilah saya sambung tulis. Maaf, ini pun dah panjang.

baca tulisan ini sepenuhnya..