19 February, 2010

Hakim nak bersalin

Tersebutlah kisah, di sebuah negeri Indera Pura, di sebuah kampung Wayang Kulit. Dalam kalangan penduduk kampung itu, ada dua orang pemuda yang tinggal di hujung kampung, seorang si miskin bernama Arjuna, seorang lagi si kaya bernama Taruna. Mereka hidup berjiran, namun Taruna suka menindas Arjuna, menjadikan hidup Arjuna selalu tidak tenteram. Mereka berdua mempunyai kandang lembu dan kuda masing-masing yang saling bersebelahan.

Ditakdirkan, suatu hari, lembu-lembu Taruna telah melahirkan anak, begitu jua kuda-kuda Arjuna telah melahirkan anak. Melihatkan kuda-kuda Arjuna melahirkan anak, timbullah rasa dengki di dada Taruna. Lalu Taruna membuat helah dan mencipta tuduhan palsu dengan mengatakan bahawa pada asalnya, lembu-lembu miliknya lah yang telah melahirkan anak-anak kuda Arjuna itu. Dakwa Taruna lagi, lembu-lembu dalam kandangnya telah melahirkan kuda, dan anak-anak kuda itu telah melompat masuk ke kandang kuda Arjuna menyebabkan Arjuna menyangka anak-anak kuda itu miliknya. Taruna terus mendakwa lagi, bahawa anak-anak lembu yang baru dilahirkan yang terdapat dalam kandangnya itu adalah asalnya anak-anak kelahiran kuda-kuda dalam kandang Arjuna dan telah melompat masuk ke kandang Taruna. Taruna mendakwa lembunya melahirkan kuda, dan kuda Arjuna melahirkan lembu.

Pertikaian ini, telah dibawa ke mahkamah kampung, diputuskan oleh penduduk kampung untuk dibicarakan, dengan seorang tua menjadi hakim yang digelar dengan panggilan manjanya: Pakngah Din. Ketika mahkamah akan bersidang, Pakngah Din selaku hakim pada hari itu, memulakanlah ucapan awalnya. "Pada hari ini, saya tidak boleh menjadi hakim kepada kes ini, kerana saya akan dihantar ke hospital sekejap saja lagi, hari ini saya akan melahirkan anak. Sekejap lagi air ketuban saya akan pecah! Ah! tolong-tolong! Panggilkan ambulan, saya dah mula sakit nak bersalin nih!", jerit Pakngah Din.

baca tulisan ini sepenuhnya..

11 February, 2010

Firaun, babi dan rasuah

Dulu-dulu Firaun sangat masyhur dengan kezaliman dan penindasannya.

Sehingga Firaun pernah berkata: "Akulah tuhanmu yang paling tinggi" (lihat surah ke-79: ayat 24). Sudahlah mengaku tuhan, mengaku tuhan yang paling tinggi pulak tu.

Menurut rumusan tafsir ayat ini oleh dua orang imam (kedua-dua imam kebetulan bernama Jalaluddin (lihat Tafsir Al-Jalaalain), "Akulah tuhanmu yang paling tinggi" bererti "Tiada lagi tuhan (lain) di atas (melebihi) aku".

Tentang Firaun lagi, ALlah merakamkan di dalam Al-Quran: "Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu (Musa dan para pengikutnya) dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

Menurut Tafsir Al-Jalaalain lagi, Firaun bukan sahaja membunuh, malah membunuh dengan kaedah menyembelih anak-anak lelaki kerana bimbang kebarangkalian pemerintahannya akan dijatuhkan oleh anak-anak lelaki itu apabila mereka dewasa kelak. Firaun risau jika mereka merampas kuasa pemerintahannya nanti. Firaun risau jika lelaki dewasa itu mengganggu-gugat kerusi tahtanya.

Tujuan menggunakan kaedah menyembelih tadi, bukan sahaja berhasrat membunuh semata-mata, malah Firaun mahu menyemarakkan lagi ketakutan dan menyalakan rasa gerun yang dahsyat di dada rakyat jelatanya.

Jika terdapat Firaun versi klasik, maka sudah tentu terdapat juga Firaun versi moden lagi canggih manggih.

bersambung.. (seperti drama swasta)

baca tulisan ini sepenuhnya..