09 September, 2008

Wad Semikritikal, Zon Kuning

Jumaat malam Sabtu lepas, saat aku berbaring empuk di atas hamparan putih di balik tirai, tiba-tiba saja terdengar jeritan menangis yang asalnya jauh. Akhirnya mendekat.

"Yah!!..Jangan tinggalkan aku, Yah! Aku sakit..aku sakit!" jerit seorang wanita. Agak muda suaranya. Tidak remaja. Kakinya mungkin patah.

"Aku tak tinggalkan kau, takkan tinggalkan kau..aku ada di sini. Aku tetap ada dengan kau" balas rakannya hampir berulang kali. Aku fikir, itu rakan karibnya. Mungkin mereka baru ditimpa kemalangan. Akhirnya, suara jeritan tadi mula reda apabila kakinya diampu dengan kerangka besi oleh para pegawai perubatan.

Di hujung katil sana, ada seorang wanita tua, yang hanya diam di atas katil putih tetapi bertelekung solat yang terdapat percikan darah padanya. Ada darah yang mengalir keluar dari matanya. Aku tidak sanggup melihat untuk kali kedua. Hanya pegawai perubatan yang sanggup merawat matanya itu.

Tiba-tiba, "Sakit doktor..sakit..sakit" suara di sebalik tirai belakangku pula berbunyi. Kata rakanku yang berada pada sudut yang boleh dilihat, tangannya sedang dijahit oleh pembantu hospital.

Selebihnya, selang seli iringan suara tangisan kanak-kanak yang mengalami luka kemalangan dan tangisan bayi kecil. Sibuk sekali ruang itu. Kesemua suara, menghambur tanpa ritma. Berbaur pelbagai rasa. Mengandung sejuta makna. Di sinilah Zon Kuning, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

No comments: