22 September, 2010

Salam 'Idil Fitri 1431

Aidil Fitri baru berlalu
Hangat temasya masih terasa
Sudah lama tidak ketemu
Ampun maaf dipinta segala

Kerusi rotan menghias taman
Redup duduk pohon rambutan
Wahai Tuhan berilah kekuatan
Ilham petunjuk mohon suburkan

*gambar ketupat dari laman RiceWisdom

baca tulisan ini sepenuhnya..

13 July, 2010

Doa dan keyakinan (updated)

(Sumber gambar di sini)


"Habis tu, apa kaitan (titik temu)
antara:

"(1) kita bersikap 50/50

(boleh jadi doa kita dikabul,
boleh jadi dikabulkan dengan perkara lain)
terhadap keputusan Allah pada doa kita"

dengan


"(2) keyakinan kita yang 100 peratus

bahawa Allah pasti kabulkan apa yang kita doakan?"

Demikian apa yang Nazri timbulkan
lewat minggu lalu.

Aku menyambut persoalan itu, dengan dada lapang.
Aku -seperti biasa- akan meletakkan
minda dalam keadaan bersedia untuk mengaku,
akur, tunduk dan jujur untuk berkata:

"Aku tidak tahu"

seandainya jika sesuatu persoalan itu memang
benar-benar aku tidak tahu. Tidak suka aku memandai.
Namun, itu bukan tiket melepaskan diri.
Ucapan "tidak tahu" itu aku hamburkan jika
akal sudah dikerah perah, namun tiada jawapan.

Pada nombor 1, sikap 50/50 itu
bukanlah bermaksud keyakinan kepada
Allah adalah 50/50. Bukan begitu. Maksud 50/50 itu
ialah "boleh jadi kita mendapat apa yang kita hajati (dalam doa)
atau kita mendapat selain yang kita hajati". Ini bermakna,
setiap doa kita sentiasa dikabulkan,
cuma cara ia dikabulkan itu berbeza-beza -iaitu:
samaada memperoleh 'apa yang kita hajati di hati'
atau dianugerahkan perkara lain
'yang setimpal' di sisi Allah.
Jadi, isunya di sini adalah berkenaan kandungan
pemakbulan doa yang 50/50 sifatnya.

Sabda Rasulullah SAW:
“Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa
yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim
melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu
dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan,
atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat,
ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”.
(Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).

Persoalan nombor 2 menyangkut hal keyakinan.
Kita diajar agar bersungguh-sungguh, serius, memberi
tumpuan sepenuh hati, tidak lalai saat berdoa
dan yakin sepenuhnya agar dikabulkan doa.

Sabda Rasulullah SAW:
“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan
kamu yakin dengan kemustajabannya.
Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima
doa dari jantung hati yang lalai dan alpa”
(Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Firman Allah: "..dan siapakah lagi yang lebih
menyempurnakan janjinya daripada Allah?
"
(Surah 9: 111)

Titik temu persoalan 1 dan 2 ialah kepasrahan (tawakkal).
Mohonlah doa bersungguh-sungguh, jangan pernah berhenti.
Natijah doa itu pasrahkan saja kepada Allah.

*kesemua hadith di atas, diambil di sini.

baca tulisan ini sepenuhnya..

12 July, 2010

Perlawanan Akhir Piala Dunia: Sepanyol dan Belanda

14 kad kuning.
1 kad merah.
Perlawanan rancak.
Sarat dengan asak.
Saling serang balas.
Bola dirampas keras.
Harapan Belanda, Iniesta musnahkan.
1 gol Espana, jaminan kemenangan.
Sepanyol pulang bawa kejayaan.
Netherlands pulang kaya pengalaman.





** Kalau Encik Paul
Si Sotong Kurita tu
tiba-tiba hilang
daripada akuarium,

kita memang dah tahu
siapa yang curi.

(Sumber gambar: di sini )

baca tulisan ini sepenuhnya..

28 June, 2010

Bahasa asli

"Bagai melepaskan
BATUK di tangga"

Demikian pepatah Melayu, menggambarkan
suatu perilaku atau tindakan yang
acuh tidak acuh sifatnya,
tidak bersungguh-sungguh,
tidak serius mungkin.

Menurut cerita tuan blog ni,
Guru Besar sekolahnya
memperbetulkan salah faham kita,
beliau berpendapat frasa BATUK
dalam pepatah tadi
bukanlah suatu tindakan BATUK.
Tetapi frasa asalnya ialah BATOK.
'Batok' adalah sejenis gayung @ bekas
daripada tempurung yang
digunakan untuk menceduk air
di dalam tempayan bersebelahan
tangga hadapan rumah orang-orang
Melayu tradisional.

Batok selalunya diletakkan di
tempat khas berhampiran tempayan,
melainkan diambil dari tempatnya
saat kita pulang berkaki ayam
pada zaman dahulu, untuk menjirus
air membersihkan kaki.

Namun, tindakan meninggalkan @
melepaskan @ membiarkan batok sekadar
di atas tangga, tanpa meletakkan
kembali ke tempat asalnya, adalah
suatu tindakan malas, acuh tidak acuh,
tidak berdisiplin dan tidak serius
dalam disiplin penggunaan batok.

Sebab itulah,
"bagai melapaskan
BATOK di tangga".

BATOK, bukan BATUK.

Sumber gambar: di sini.

baca tulisan ini sepenuhnya..

26 June, 2010

ان شاء الله

baca tulisan ini sepenuhnya..

01 June, 2010

Tragedi kapal Mavi Marmara (31 Mei 2009)





baca tulisan ini sepenuhnya..

12 March, 2010

Nak bernikah dengan...(updated)

(kiri: Sekadar gambar hiasan. Diambil dari sini)

Kepada sesiapa yang teringin @ teringat @ termimpi sangat nak bernikah dengan perempuan berusia 10 tahun (atas alasan mengikuti 'sunnah'??) silakanlah dulu membaca dengan tekun dan dengan akal yang sihat bahan kajian berkenaan umur A'isyah Radhiallahu 'anha sewaktu bernikah dengan Rasulullah -di sini-. Terima kasih.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berikut adalah antara ringkasan hujjah-hujjah penting (sila baca huraian terperinci setiap hujah -di sini-) yang diketengahkan dalam kajian beliau berkenaan umur sebenar Aisyah R.A sewaktu bernikah dengan Rasulullah S.A.W. oleh Allamah Mohammad Habibur Rahman Al-Kandhalwi (Al-marhum dikenali sebagai salah seorang ulama yang unggul di India-Pakistan) :

Hujah Pertama – Bertentangan Dengan Fitrah Manusia.
Hujah Kedua – Bertentangan Dengan Akal Yang Waras.
Hujah Ketiga – Tiada Contoh Ditemui Di Negeri Arab Atau Di Negeri Panas.
Hujah Keempat- Riwayat Ini Bukan Hadis Rasulullah S.A.W.
Hujah Kelima – Riwayat Ini Diriwayatkan Oleh Hisham Selepas Fikirannya Bercelaru.
Hujah KeenamHanya Perawi Iraq Yang Menukilkan Riwayat Ini.
Hujah Ketujuh – Aishah R.A Masih Ingat Ayat Al-Quran Yang Diturunkan Di Tahun Empat Kerasulan.
Hujah Kelapan – Aishah R.A Masih Ingat Dengan Jelas Peristiwa Hijrah Abu Bakar R.A. Ke Habshah.
Hujah Kesembilan – Aishah R.A. Mengelap Luka Dan Hingus Usamah Bin Zaid R.A. Yang Dikatakan Sebaya Dengannya.
Hujah KesepuluhUmmul Mu’minin R.A. Turut Serta Di Dalam Peperangan Badar.
Hujah Ke-11 – Aishah R.A. menyertai Perang Uhud Sedangkan Kanak-Kanak Lelaki Berumur Empat Belas Tahun Tidak Dibenarkan Menyertai Perang.
Hujah Ke-12 – Aishah R.A. Lebih Muda 10 Tahun Dari Kakaknya Asma, Dan Semasa Peristiwa Hijrah Asma R.A. Berumur 27 Atau 28 Tahun.
Hujah Ke-13 – Ahli Sejarah At-Tabari Mengatakan Aishah R.A. Lahir Di Zaman Jahilliyah (Sebelum Kerasulan).
Hujah Ke-14 – Aishah R.A. Adalah Antara Orang-Orang Yang Terawal Memeluk Islam.
Hujah Ke-15 – Abu Bakar R.A. Bercadang Mengahwinkan Aishah R.A. Sebelum Berhijrah Ke Habshah.
Hujah Ke-16 – Aishah R.A. Disebut Sebagai Gadis (dalam bahasa Arab) dan Bukan Kanak-Kanak Semasa Dicadangkan Untuk Bernikah Dengan Rasulullah.
Hujah Ke-17 – Rasullulah Tidak Tinggal Bersama Aishah R.A. Kerana Masalah Mendapatkan Mahar, Bukan Kerana Umur Aishah Yang Terlalu Muda.
Hujah Ke-18Hadis Yang Mensyaratkan Mendapat Persetujuan Seorang Gadis Sebelum Dikahwinkan Memerlukan Gadis Tersebut Telah Cukup Umur.
Hujah Ke-19 – Kebolehan Luarbiasa Aishah R.A Mengingati Syair Yang Biasa Disebut Di Zaman Jahiliyah Membuktikan Beliau R.A. Lahir Di Zaman Jahiliyah.
Hujah Ke-20 – Kemahiran Dalam Sastera, Ilmu Salasilah Dan Sejarah Sebelum Islam.
Hujah Ke-21 – Keinginan Mendapatkan Anak Dan Naluri Keibuan Tidak Mungkin Timbul Dari Kanak-Kanak Bawah Umur.
Hujah Ke-22- Aishah R.A. Sebagai Ibu Angkat Kepada Bashar R.A. Yang Berumur Tujuh Tahun Selepas Perang Uhud.
Hujah Ke-23- Wujudkah Perkahwinan Gadis Bawah Umur Di Tanah Arab Dan Dalam Masyarakat Bertamadun?
Hujah Ke-24 – Kesepakatan (Ijmak) Umat Dalam Amalan
Perbahasan Tentang Usia Sebenar Khadijah R.A. Semasa Berkahwin Dengan Rasulullah S.A.W

baca tulisan ini sepenuhnya..

19 February, 2010

Hakim nak bersalin

Tersebutlah kisah, di sebuah negeri Indera Pura, di sebuah kampung Wayang Kulit. Dalam kalangan penduduk kampung itu, ada dua orang pemuda yang tinggal di hujung kampung, seorang si miskin bernama Arjuna, seorang lagi si kaya bernama Taruna. Mereka hidup berjiran, namun Taruna suka menindas Arjuna, menjadikan hidup Arjuna selalu tidak tenteram. Mereka berdua mempunyai kandang lembu dan kuda masing-masing yang saling bersebelahan.

Ditakdirkan, suatu hari, lembu-lembu Taruna telah melahirkan anak, begitu jua kuda-kuda Arjuna telah melahirkan anak. Melihatkan kuda-kuda Arjuna melahirkan anak, timbullah rasa dengki di dada Taruna. Lalu Taruna membuat helah dan mencipta tuduhan palsu dengan mengatakan bahawa pada asalnya, lembu-lembu miliknya lah yang telah melahirkan anak-anak kuda Arjuna itu. Dakwa Taruna lagi, lembu-lembu dalam kandangnya telah melahirkan kuda, dan anak-anak kuda itu telah melompat masuk ke kandang kuda Arjuna menyebabkan Arjuna menyangka anak-anak kuda itu miliknya. Taruna terus mendakwa lagi, bahawa anak-anak lembu yang baru dilahirkan yang terdapat dalam kandangnya itu adalah asalnya anak-anak kelahiran kuda-kuda dalam kandang Arjuna dan telah melompat masuk ke kandang Taruna. Taruna mendakwa lembunya melahirkan kuda, dan kuda Arjuna melahirkan lembu.

Pertikaian ini, telah dibawa ke mahkamah kampung, diputuskan oleh penduduk kampung untuk dibicarakan, dengan seorang tua menjadi hakim yang digelar dengan panggilan manjanya: Pakngah Din. Ketika mahkamah akan bersidang, Pakngah Din selaku hakim pada hari itu, memulakanlah ucapan awalnya. "Pada hari ini, saya tidak boleh menjadi hakim kepada kes ini, kerana saya akan dihantar ke hospital sekejap saja lagi, hari ini saya akan melahirkan anak. Sekejap lagi air ketuban saya akan pecah! Ah! tolong-tolong! Panggilkan ambulan, saya dah mula sakit nak bersalin nih!", jerit Pakngah Din.

baca tulisan ini sepenuhnya..

11 February, 2010

Firaun, babi dan rasuah

Dulu-dulu Firaun sangat masyhur dengan kezaliman dan penindasannya.

Sehingga Firaun pernah berkata: "Akulah tuhanmu yang paling tinggi" (lihat surah ke-79: ayat 24). Sudahlah mengaku tuhan, mengaku tuhan yang paling tinggi pulak tu.

Menurut rumusan tafsir ayat ini oleh dua orang imam (kedua-dua imam kebetulan bernama Jalaluddin (lihat Tafsir Al-Jalaalain), "Akulah tuhanmu yang paling tinggi" bererti "Tiada lagi tuhan (lain) di atas (melebihi) aku".

Tentang Firaun lagi, ALlah merakamkan di dalam Al-Quran: "Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu (Musa dan para pengikutnya) dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

Menurut Tafsir Al-Jalaalain lagi, Firaun bukan sahaja membunuh, malah membunuh dengan kaedah menyembelih anak-anak lelaki kerana bimbang kebarangkalian pemerintahannya akan dijatuhkan oleh anak-anak lelaki itu apabila mereka dewasa kelak. Firaun risau jika mereka merampas kuasa pemerintahannya nanti. Firaun risau jika lelaki dewasa itu mengganggu-gugat kerusi tahtanya.

Tujuan menggunakan kaedah menyembelih tadi, bukan sahaja berhasrat membunuh semata-mata, malah Firaun mahu menyemarakkan lagi ketakutan dan menyalakan rasa gerun yang dahsyat di dada rakyat jelatanya.

Jika terdapat Firaun versi klasik, maka sudah tentu terdapat juga Firaun versi moden lagi canggih manggih.

bersambung.. (seperti drama swasta)

baca tulisan ini sepenuhnya..

27 January, 2010

Legion

Legion, cerita dua malaikat kritikal. Michael (Mikail). Gabriel (Jibril). Muka pelakon watak Michael, ada iras macam muka penyanyi kumpulan Michael Learns To Rock. Cumanya, malaikat ni tak pandai nyanyi.

Michael turun ke bumi berseorangan. Sampai di bumi, dia potong kedua-dua sayapnya. Dia tak setuju dengan Tuhan. Tuhan nak hapuskan sekelian manusia sebab Tuhan dah hilang sabar, dah kecewa dengan sikap manusia yang melampaui batas dan selalu melanggar perintahNya selama ini. Michael tak setuju penghapusan manusia dan enggan terlibat dalam ketenteraan Tuhan (para malaikat) untuk menghapuskan manusia.

Bagi Micheal, manusia tak bersalah. Mereka langgar arahan sebab telah 'hilang pedoman' (lost faith, tak sengaja). Maka Micheal menjadi 'Rambo' manusia, mengetuai manusia, menggunakan senjata manusia, berperang menentang tentera Tuhan (para malaikat) yang diketuai Gabriel.

Gabriel taat buta kepada Tuhan. Sikap Gabriel ada iras sikap Hang Tuah, dan, sikap Michael ada secebis sikap Hang Jebat.

Kenapa filem sebegini pula boleh terlepas tayang di Malaysia? Bukankah sesiapa yang menontonnya nanti akan 'terkeliru', 'tergelincir', 'terseleweng', 'terkeluar', dan 'ter-ter' yang lain? Mengapa senyap sunyi, dan tidak sebising isu penggunaan kalimah Allah?

Nanti sambung lagi..

baca tulisan ini sepenuhnya..

08 January, 2010

Allah (updated)

Hari itu, Suhaib hantar SMS kepada saya. "Allah sedang 'tersenyum' melihat gelagat para hamba ciptaanNya di Malaysia sedang berebut-rebutkan NamaNya". Demikian kurang lebih nada SMSnya. Titik.

Saya fikir, ada dua golongan (golongan pertama, tidak bersetuju. golongan kedua, bersetuju) umat Islam di Malaysia berkenaan isu keizinan dan penggunaan nama Allah dalam The Herald.

Golongan pertama terbahagi kepada dua alasan:

1. Timbul kekeliruan.

Penggunaan nama Allah dalam The Herald akan menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam. Sebagai contoh, jika terdapat seorang penganut Kristian yang meninggal dunia selepas ini, mungkin akan ada ucapan -sebagai contoh- "semoga Allah merahmati Alex". Ucapan ini mungkin tiada masalah bagi penganut Kristian saat itu, namun mungkin dalam kalangan umat Islam -terutamanya remaja Islam- akan terkeliru dan tertanya-tanya mengapa umat Kristian juga menyebut Allah sedangkan mereka adalah Kristian. Jika mereka Kristian dan kami adalah Muslim, mengapa menggunakan nama Allah yang sama? Dan kekeliruan lain yang mungkin timbul.

2. Kristianisasi (sangkaan?)

Mereka berpendapat, dengan mengizinkan penggunaan nama Allah bagi pihak Kristian, adalah merupakan suatu kemudahan perluasan proses kristianisasi ke atas umat Islam di Malaysia. Bagi mereka, dengan penggunaan nama Allah itu, aqidah umat Islam akan mudah terpesong, tergelincir dan murtad.

~ ~ ~ ~ ~

Golongan kedua, golongan yang bersetuju mengizinkan penggunaan nama Allah. Mereka beralasan penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian, akan meluaskan lagi ruang dakwah dan merancakkan lagi perbincangan -dialog antara agama- berkenaan Allah dan hakikat syariatNya. Isu ini memang sensitif, namun demi kebenaran, biarlah perbincangan dibuka. Dengan perbincangan, dialog, seminar, forum, pengemukaan pendapat, pengetengahan hujjah dan wacana ilmiyyah dalam kalangan pemuka Islam dan Kristian (dan Yahudi? dan agama lain?) secara jujur, telus, tidak takut-takut, terbuka dan aman, maka diharapkan akhirnya tersembullah kebenaran. Manusia yang beriman kepada kebenaran tidak harus takut untuk saling bersemuka dan berbincang, mengemukakan pendapat.

Bagi golongan kedua ini, kekeliruan umat Islam yang mungkin timbul berkenaan isu ini, bukanlah suatu masalah.

Bukankah 'kekeliruan', 'tergelincir', 'terseleweng' (pendek kata kesemua perkataan yang ber-awalan dengan 'ter..' yang menunjukkan tidak sengaja) adalah suatu proses normal dalam mencari kebenaran? Bukankah semua hal yang berada dalam daerah tidak disengajakan (terlupa, salah faham, tidak tahu, jahil, tidak sedar, tak perasan, pitam, tertidur, hilang akal, gila, terjatuh, tertembak, dll) mendapat kemaafan dan keampunan Allah?

Selingan:
101 East – Malaysia: Whose God?

Adblock

baca tulisan ini sepenuhnya..