16 June, 2009

Lagu: Dr. Burhanuddin Al-Helmy, oleh Black

baca tulisan ini sepenuhnya..

16 May, 2009

Lelaki Kristian Canada masuk masjid (bahagian akhir)

Setelah solat berjamaah Zuhur tadi, saya berzikir ringan seketika dengan suara rendah berbisik, sebelum saya bingkas bangun untuk pulang. Saat menapak melepasi meja pengawal di dewan solat tingkat bawah, kelihatan seorang lelaki berkulit putih berjalan berseorangan bersama beg galas, berselisih dengan saya sebelum lelaki itu bertanya sesuatu kepada pengawal. Saya fikir, hal yang ditanyakannya itu menyangkut hal-hal keizinan berlegar di dalam masjid.

Mentol di atas kepala saya tiba-tiba bernyala. Ting!! "Inilah peluang keemasanku. Kalau tidak sekarang, bila lagi? Lagipun, hari ini cuti, tiada urusan apa-apa yang perlu dikejarkan. Lebih baik aku temani saja lelaki kulit putih itu, menjadi jurubicaranya saat dia mengelilingi masjid ini. Akanku cuba hilangkan dan jelaskan semampuku apa-apa kemusykilan dan pertanyaannya, khususnya berkenaan masjid dan Islam", bisik hati kecilku. Lantas, saya menoleh ke belakang dan mengejarnya. Dalam tulisan ini, saya terjemahkan keseluruhan perbualan saya dan dia sepanjang kami berada di dalam masjid, ke dalam Bahasa Melayu.

"Hai saudara, maafkan saya, nama saya Muhammad, saya dari sini saja dan anda?", saya memulakan perkenalan sambil bibir saya mengukir senyuman. Tangan dihulur, kami bersalaman. Dia membalas sambil tersenyum juga, "nama saya Tristan, saya dari Kanada". Sambil kami berjalan perlahan beriringan, saya jelaskan kepadanya yang saya ingin menawarkan sebarang bantuan kepadanya terutamanya penjelasan berkenaan konsep masjid, perjalanan solat, wudhuk dan hal-hal lain yang timbul. "Jika anda tidak kisah, saya berhasrat membantu menjelaskan kepada anda apa-apa kemusykilan berkenaan masjid ini dan Islam", saya menjelaskan. "Oh, ok, tiada masalah. Jika begitu, di mana kita ingin mulakan?", jawabnya ramah bersahaja.

Lalu, saya mengajaknya ke bahagian belakang masjid. Terdapat tandas dan tempat mengambil wudhuk di situ. "Solat di dalam Islam mudah sahaja. Secara konsepnya, hanya ada dua perkara utama sahaja yang anda perlu tahu berkenaan cara Muslim melakukan solat. Satu, wudhuk, dilakukan sebelum solat. Dua, solat, iaitu sesudah berwudhuk. Itu sahaja. Jadi, di sinilah tempatnya Muslim mengambil wudhuk, kerna untuk berwudhuk, mereka perlukan punca air", demikian saya mulakan penjelasan.

------------------------------------

Sambungan:

Saat tiba di dewan solat di bahagian bawah masjid, masih terdapat beberapa orang pemuda dan wanita yang sedang mendirikan solat. Mungkin solat Zuhur. Mungkin sekadar solat sunat. Tristan pun mengambil gambar dua tiga kali dari pelbagai sudut di ruang itu. "Memang ada waktu-waktu khusus untuk para Muslim mendirikan solat, namun ia bukanlah wajib dilakukan tepat-tepat pada waktunya itu. Solat di awal waktu memang sangat digalakkan, namun sesuatu waktu itu terdapat julat tempohnya. Sebagai contoh, baru saja tadi saya tunaikan solat Zuhur di awal waktu secara beramai-ramai. Namun, seperti yang anda lihat sekarang, masih terdapat beberapa orang yang sedang mendirikan solat Zuhur, kerana julat tempoh waktu Zuhur masih ada.", saya jelaskan. "Oh, begitu ya. Ok. Ok. Saya sudah faham", balas Tristan sambil tersenyum.

Sedang saya masih berbual ramah dengan Tristan, kelihatan kelibat seorang wanita berbaju kurung membawa 'walkie-talkie' menghampiri kami dari jauh. Melihat gayanya, saya sudah jangkakan apa yang mungkin akan berlaku selepas ini. Saya memang sudah bersedia menghadapi risiko ini sejak dari awal-awal saya membuat keputusan untuk membantu menemani Tristan. Sebenarnya, jangkaan risiko inilah juga yang telah melonjakkan diri saya untuk temani Tristan. Saya tidak suka bila ada Muslim lain mempamerkan imej kurang enak kepada penganut agama lain, terutamanya dalam bab layanan sesama manusia, sekaligus menggambarkan kejelikan Islam yang pada asalnya tidak jelik. Atau, mungkin layanan yang diberikan bagus, namun kefahamannya pula bermasalah.

"Assalamualaikum encik, Boleh saya tahu, ini siapa?", wanita tadi bersuara kepada saya sambil memberikan isyarat merujuk Tristan yang berdiri di sebelah saya. Tristan hanya diam dan terkebil-kebil. "Waalaikumussalam wbt. Oh, ini rakan saya, Tristan namanya", jawab saya. "Boleh saya tahu, rakan encik ni, Islam ke bukan Islam?". "Err, dia bukan Islam cik", saya menjawab. "Minta maaf ye, kalau dia orang bukan Islam, dia tidak boleh memasuki ruang solat, tolong bawa dia keluar ye", tegas wanita itu. Persoalan inilah yang telah saya jangkakan awal tadi. Saya rasa sekaranglah masanya peluang dan ruang untuk saya menjelaskan dengan baik. "Minta maaf ye cik, saya berpendapat tiada apa-apa masalah untuk rakan saya ni memasuki ruang masjid. Lagipun, saya orang Islam dan saya sentiasa ada untuk iringi dia. Jadi tidak timbul isu keselamatan dan sebagainya. Lagipun, sejauh saya hidup sebagai seorang Muslim dan belajar tentang Islam, saya tidak pernah temui apa-apa nas atau dalil atau sumber dalam agama kita yang melarang orang-orang bukan Islam daripada memasuki masjid", sambil tersenyum saya jelaskan. Tristan masih diam.

--------------------------------------------------------------------
Sambungan terakhir:

"Tak ada larangan ke, ape-ape ke, kawan awak ni tetap tak dibenarkan masuk ke ruang solat", balas wanita itu. "tolong bawa kawan awak ni keluar sekarang". Saya tidak suka menimbulkan suasana yang makin tidak enak, namun telah saya jelaskan agak panjang lebar alasan saya kepada wanita tadi. "Baiklah, saya dan kawan saya keluar dari ruang solat ni sekarang. Saya mohon maaf ya cik", balas saya. Terus, saya mengajak Tristan keluar dari ruang tadi. Wajah Tristan bingung, tidak faham apa-apa, namun seakan-akan faham seolah-olah dia tahu saya berselisih pendapat dengan wanita tadi.

Saya mengajak Tristan naik ke tingkat atas. Manalah tahu, mungkin di atas tiada pengawal yang akan mengganggu saya mengiringi Tristan, maka semakin mudahlah kerja-kerja saya jika begitu. Jam menunjukkan kurang lebih 3 petang. "Kenapa dengan wanita tadi? Apa yang awak bualkan dengannya?", soal Tristan. Saya dengan selamba dan jujur menjawab, "apa yang berlaku tadi adalah manifestasi daripada salah faham seorang Muslim terhadap agamanya dan penganut agama lain, peranan agama dan hubungan kemasyarakatan umum. Seperti yang awak sedia maklum, kadang-kala tetap juga berlaku kes yang sama seperti tadi ke atas penganut agama lain yang kurang faham. Wanita tadi melarang awak untuk menjejakkan kaki awak di dalam ruang solat, atas alasan awak bukan orang Islam", demikian saya jelaskan sambil menambah bahwa saya tidak bersetuju dengan pendapat wanita tadi dan telah menyampaikan alasan saya kepadanya. Kata Tristan, seorang rakannya juga pernah dimarahi pengawal dan dihalau keluar dari sebuah masjid di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Tiba di ruang atas, sekali lagi saya dengan selamba mengajak Tristan masuk ke ruang solat utama. "Wow! Cantik sekali corak kubahnya, alangkah indahnya", kagum sekali Tristan memerhati corak di bahagian dalam kubah masjid itu. Kami bertuah, kerna kebetulan tiada pengawal yang meronda di situ. Saya katakan pada Tristan, "ya, memang cantik corak susunannya. Saya pun, tidak pernah kenal pula siapa yang menyelenggara dan mencipta corak ini. Namun, untuk pengetahuan awak, corak ini tiada kena mengena langsung dengan proses umat Islam bersolat. Maksudnya, kewujudan corak-corak geometri indah ini, bukan menjadi syarat sah untuk perlaksanaan solat. Ia hanya sekadar hiasan dalaman masjid saja, sekadar mengindahkan bahagian dalaman masjid. Sebab itu, Tristan, jika awak berpeluang melawat masjid-masjid lain di dunia, awak akan dapati hampir kesemuanya mempunyai corak yang berbeda-beda. Jadi, corak bukanlah syarat. Begitu juga dengan kubahnya. Kubah juga bukanlah syarat untuk menjadi sebuah masjid, kerana banyak juga kubah-kubah bangunan di Rusia sana, namun ia bukanlah masjid. Umat Islam sebenarnya hanya memerlukan ruang solat sahaja, tanpa mengira corak dan bentuk bangunan." "Oh, begitu rupanya ya. Saya faham, saya faham", Tristan membalas.

Tristan sempat mengambil beberapa keping gambar, termasuk gambar saya. Saya juga turut membantu mengambil gambarnya. Dia kelihatan seronok dan senang hati berbual dengan saya. Politik dunia dan isu antara agama menjadi antara faktor-faktor perbualan. Tristan terlibat dengan sebuah NGO kebajikan dari Perancis, walaupun beliau orang Kanada. Saya tidak ingat singkatan NGO itu, kerna sebutannya dalam bahasa Perancis. Melalui program NGO Perancis itulah Tristan datang ke Malaysia, Kuala Lumpur, menjadi guru mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik di sebuah sekolah kebajikan kanak-kanak kurang upaya. Katanya, Bush itu penganut Kristian aliran fundamentalis. Bukan Katolik. Bukan juga Protestan. Ia fundamentalis. Antara orang lain yang turut fundamentalis, termasuklah Clinton, presiden A.S yang dulu-dulu, sebelum Bush. Katanya lagi, Obama seorang yang minda terbuka.

Di hadapan pintu utama untuk memasuki ruang solat di atas, terdapat binaan batu yang terjulur banyak paip, untuk mengambil wudhuk. Saya bertanya kepada Tristan, "Pernah awak tahu bagaimana orang Islam berwudhuk?". "Saya tahu serba sedikit bagaimana orang Islam berwudhuk kerna saya ada ternampak mereka berwudhuk, tapi saya tidak tahu bagaimana caranya secara sempurna penuh dan tidak tahu urutannya". "Boleh saya tunjukkan kepada awak Tristan, dari A hingga Z, bagaimana cara berwudhuk?", saya menawarkan diri. "Ya, silakan. saya ingin merakam perbuatan awak berwudhuk dengan kamera video saya ni", jawab Tristan, sambil menalakan kamera videonya kepada saya yang sedang mula membasuh kedua-dua belah tangan di hujung paip tadi. Selesai saya membasuh kaki, saya katakan padanya, begitulah tadi keseluruhan cara berwudhuk.

Tiba-tiba telefon saya berbunyi. Saya lantas menyambut panggilan itu. Sepupu saya ingin bertemu, ada urusan penting katanya, berkenaan urusan zakat anaknya yang ingin menyambung pengajian perubatan di Mesir. Tiba-tiba kepala saya ligat teringat akan junior-junior saya yang juga sedang belajar perubatan di Mesir, termasuklah adik kandung al-marhum sahabat baik saya -Nakula Sadewa- tuan empunya blog Republik Suara, yang juga merupakan pelajar perubatan di sana. Saya memohon maaf kepada Tristan kerna terpaksa pulang awal atas urusan tadi dan tidak dapat terus menemaninya berbual panjang lebar. "Seronok bertemu anda", kata Tristan. "saya juga", balas saya sambil tersenyum. Kami bersalam, dan saling bertukar mel elektronik (mel-e a.k.a e-mail). Saya pulang dalam keadaan hati bimbang -bimbang andai rakaman saya mengambil wudhuk tadi di'muat-naik' oleh Tristan dalam Youtube. Satu dunia tahu, seganlah aku.

baca tulisan ini sepenuhnya..

23 April, 2009

Semut dan malaikat boleh berfikir dan menganalisis?

Apabila saya merujuk kisah semut dan Nabi Sulaiman dalam ayat 18 dan 19, surah An-Naml dalam Al-Quran, firman Allah berbunyi begini:

(Maralah angkatan -tentera Nabi Sulaiman- itu) hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml” (lembah semut), berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan sampai Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka (tentera Sulaiman) tidak menyedari”. [18]

Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku -dengan limpah rahmatMu- dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”. [19]

>> Bukankah tindakan arahan semut itu menggambarkan analisis bijak semut tentang bahaya yang akan menimpa mereka sehingga keluar arahan menyelamatkan diri?

Bagaimana pula tindakan rakan-rakan semut yang tahu dan mampu pula menerima arahan?

Jika binatang benar-benar tidak berakal -tidak pandai berfikir-, bagaimana pula dengan kes semut ini?

Lalu, saya renung pula sedikit dialog Allah dan malaikat sewaktu Allah menyampaikan 'hasrat'Nya kepada malaikat untuk mencipta khalifah (manusia) di muka bumi, dalam surah Al-baqarah, ayat 30. Begini firmanNya:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka (malaikat) bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". [30]

>> Bagaimana pula malaikat sudah boleh tahu sikap manusia yang akan melakukan bencana dan menumpahkan darah, sedangkan Allah baru sahaja bercadang ingin mencipta manusia?

Bagaimana malaikat boleh berfikir secara logik seakan-akan mereka tahu bahawa penciptaan manusia membawa tumpah darah?

Bagaimana pula mereka tahu berfikir secara kritikal dan analitikal sebegini?

Atau, sudah adakah 'fail-fail kes lampau' kejahatan manusia yang tersimpan dalam 'peti' dan direkodkan oleh para malaikat, dalam penciptaan 'batch-batch manusia terdahulu' sebelum Adam, menyebabkan malaikat sudah lali berpengalaman dengan sikap manusia?

Bukankah dalam beberapa tempat dalam Al-Quran, Allah telah jelaskan: "Kami sudah pernah memusnahkan umat-umat terdahulu"?

baca tulisan ini sepenuhnya..

22 April, 2009

Malaysia?

Saya cuma dedahkan saja kata-kata daripada sebuah blog yang membuat jantung saya berdegup sedikit kencang dua tiga hari ini. Saya hidangkannya untuk kalian nilai secara serius, kritikal, mendalam, penuh hemat dan teliti.
Selamat menikmatinya!

Kata-katanya berbunyi begini: "SEAWAL TAHUN 1937, NAMA 'MALAYSIA' TELAH DISEBUT DALAM SEBUAH BUKU BERTAJUK: "MALAYSIA: A STUDY IN DIRECT AND INDIRECT RULE" YANG DIKARANG OLEH RUPERT EMERSON, NEW YORK, MC MILLAN (20 tahun sebelum merdeka dan sebelum Jepun menyerang tanah melayu). TAJUK BUKU INI ADA KAMI JUMPAI SEMASA SURFING. JADI persoalannya, NAMA NEGARA KITA -MALAYSIA- INI AGENDA SIAPA SEBENARNYA?". Sila baca blognya di sini.

baca tulisan ini sepenuhnya..

19 April, 2009

Iblis pun pernah berdoa

Janganlah berasa malu untuk memohon, meminta dan berdoa kepada Allah walaupun anda tahu rekod kesalahan anda menggunung tinggi. Karena, si iblis yang menderhakai Allah pun pernah berdoa, malah doanya telah dikabulkan Allah. Perhatikan kisah iblis, dalam ayat 14 dan 15, surah al-A'raf ini:

Iblis berkata (membuat permohonan): "Berilah tempoh kepadaku (untuk aku mengganggu manusia) hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)" [14]. Allah berfirman (mengkabulkan permintaan iblis itu): "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)" [15].

Jadi, mulai saat ini, jangan lagi kita berhenti dan berputus asa dalam berdoa. Berdoalah !

baca tulisan ini sepenuhnya..

11 April, 2009

Pil penahan sakit

Ada dua jenis pil. Satu, pil penahan sakit. Dua, pil penambah sakit. Yang berwarna merah, pil penambah sakit. Yang berwarna hijau, pil penahan sakit. 10 butir pil merah diberikan kepada 10 orang responden berbaju merah, sebutir untuk setiap orang. Mereka mengenakan baju merah sebagai tanda mereka yang menelan pil-pil merah itu. Begitu juga yang berlaku kepada pil hijau, ditelan oleh mereka yang berbaju hijau.

Selepas kesemua 20 orang responden menelan pil-pil yang diberikan tadi, mereka dikenakan sedikit renjatan elektrik voltan rendah yang tidak berbahaya, sekadar mencetuskan rasa sakit sedikit ke atas setiap responden tadi. Mereka dikenakan jumlah voltan renjatan yang sama nilainya, menyebabkan mereka menjeritan kecil. Yang berbezanya cuma, ada jeritan yang kuat dan ada jeritan yang perlahan. Kebanyakan responden berbaju merah akan menjerit lebih kuat berbanding responden berbaju hijau.

Setelah tamat sesi menelan pil dan dikenakan renjatan elektrik tadi, mereka semua diberikan penjelasan oleh penyelia ujian. Menurut penyelia itu, pil merah dan pil hijau tadi sebenarnya adalah pil yang sama -mengandungi bahan yang sama- tidak sedikit pun berbeza, iaitu dihasilkan daripada gula semata-mata yang biasa digunakan dalam minuman. Cuma, pil-pil itu sengaja diwarnakan dengan dua warna yang berbeza -merah dan hijau- dan sengaja dinamakan dengan dua nama yang berbeza -'pil penahan sakit' dan 'pil penambah sakit'.

Jika begitu, mengapa kebanyakan responden yang berbaju merah menjerit lebih kuat berbanding yang berbaju hijau, walaupun nilai voltan renjatan yang dikenakan kepada setiap responden adalah sama dan kandungan bahan dalam pil yang ditelan tadi juga adalah sama?

Apakah pil penahan sakit yang anda pilih dan telan, dalam menempuh kesakitan hidup anda?

baca tulisan ini sepenuhnya..

07 April, 2009

Sembunyikan dosa tersembunyi (episod akhir)

Sebelum anda membaca tulisan saya bertajuk: "Dosa tersembunyi" (episod akhir) ini, adalah penting untuk anda membaca dahulu "Dosa tersembunyi" (1) agar anda lebih faham tujuan penulisan saya dan boleh membuat kesimpulan sendiri. Klik di sini untuk membaca episod 1. Sila baca juga hadith ke-3 (klik di sini) ini sebagai tambahan sokongan kepada hadith dalam tulisan "Dosa tersembunyi (1)" terdahulu.

Dari sudut pandang mata saya, dalam hadith pertama, Baginda Rasulullah S.a.w telah berjanji dan menawarkan suatu tawaran besar kepada manusia, bahawa sesiapa pun akan terus kekal selamat, sejahtera dan berada dalam kebaikan -insyaAllah- selagi mana dia tidak menceritakan, mendedahkan atau menyebarkan perbuatan dosa peribadinya (dosanya yang tersembunyi yang Allah sahaja yang tahu) kepada manusia lain. Adalah jauh lebih utama jika seseorang itu mengekalkan rahsia dosa peribadinya hanya untuk pengetahuan Allah sahaja, kerana dengan itu dapatlah dia memperoleh peluang seluas-luasnya untuk bertaubat bersungguh-sungguh secara senyap-senyap dan tekun, tanpa perlu siapa pun tahu, melainkan Allah. Hanya Allah yang boleh mengampunkan dosa, sedangkan manusia tidak dapat berbuat apa-apa berkenaan dosa orang lain. Biarkanlah dia berurusan sendiri dengan Allah.

Pada pendapat saya, manfaat merahsiakan dosa peribadi adalah jauh lebih besar daripada manfaat mendedahkannya. Ternyata, hampir kebanyakan orang yang pernah mendedahkan rahsia dosa peribadi mereka terdedah kepada celaan, cacian, maki hamun, sumpah seranah, pandangan serong masyarakat yang tajam menghina dan merendah-rendahkan, yang akhirnya membunuh semangat dan keazaman si pelaku dosa untuk bertaubat. Si pelaku dosa peribadi seharusnya sedar dan bersyukur, bahawa dosa peribadinya terus tersembunyi adalah kerana limpahan Rahmat Allah Yang Maha Mengasihani dirinya, agar dia bertaubat, selalu mendampingi dan berurusan dengan Allah semata-mata.

Sebab itulah, dalam hadith ke dua pula, mata saya memandang, Baginda Rasulullah S.a.w seakan-akan "tidak mahu ambil peduli, tidak ambil kisah, tidak mahu tahu, cuba melepaskan diri dan bersikap acuh tidak acuh, endah tak endah" apabila seorang lelaki datang mengadu kepada baginda bahawa dirinya telah berzina (zina juga adalah sebahagian dosa peribadi). Baginda tidak mahu tahu hal lelaki itu, dan memalingkan wajah baginda ke arah lain. Baginda terus memalingkan wajahnya ke arah lain, seakan tidak mahu mendengar pengakuan lelaki itu.

Iya, mungkin juga sikap memalingkan wajah baginda itu kerana perasaan malu baginda dengan pengakuan lelaki itu, namun kita semua telah sedia maklum apakah jenis hukuman yang sedia menanti orang-orang yang berzina. Habis, mengapa baginda seperti tidak mahu serius mendengar pengakuan lelaki itu? Sungguh mustahil bagi diri baginda sebagai seorang yang tegas, seorang Nabi, Rasul, kekasih dan utusan Allah yang menerima wahyu, untuk bersikap "acuh tidak acuh" seperti itu, hanya kerana perasaan malu baginda semata-mata?

Malah, baginda bersikap begitu sehingga lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali. Itupun disambut pula dengan pertanyaan baginda: "apakah engkau sudah gila?" (gila: gila kerana berani membuat pengakuan ini walaupun pengakuan ini benar, gila kerana berani menghadapi hukuman terakhir). Kesemua sikap baginda ini (sebelum baginda bertindak menjatuhkan hukuman terakhir itu) seolah-olah baginda terasa berat hati, lebih suka jika lelaki itu tidak perlu dedahkan rahsia dosa peribadinya, pulang sahaja ke rumah dan bertaubatlah kepada Allah, tanpa perlu menjalani hukuman itu.

Saya berpendapat, dosa peribadi lebih afdhal (utama) untuk dirahsiakan, berdasarkan hadith pertama tadi, kerana jika didedahkan, bakal mengundang keburukan yang lebih besar. Adalah lebih afdhal jika si pelaku dosa peribadi bertaubat sendiri kepada Allah, berdamping, mengadu dan berurusan terus menerus tanpa henti dengan Allah, terus bersandar dan berharap kepada Allah kerana Allah itu Maha Pengampun dosa-dosa para hambaNya. Masyarakat pula, tidak pernah dianjurkan oleh Islam (sejauh pengetahuan saya) agar aktif menyiasat, cuba mencungkil, mendedahkan dan menyebarkan rahsia dosa peribadi mana-mana individu (berdasarkan kefahaman saya terhadap hadith ke dua). Hal ini, amat jauh berbeza pula dengan dosa-dosa yang nyata dilakukan terang-terangan -yang kita semua sedia maklum- terdedah kepada "tangan, lidah dan hati" manusia. Wallahu a'lam.

Kesemua ini adalah kesimpulan kefahaman peribadi saya. Terpulang kepada anda untuk membuat kesimpulan anda sendiri. Saya amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu mengkritik tulisan ini atau sesiapa yang ingin mendedahkan nas-nas lain yang menyokong tulisan ini atau juga yang mahu membincangkannya di khalayak yang lain. Kepada Allah, saya memohon ampun dan berserah diri. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang mendalam dan benar terhadap agama kita.

baca tulisan ini sepenuhnya..

02 April, 2009

Ayat-ayat Cinta disulami seni kenegaraan?

Pada pertengahan tahun 2007, hati saya berasa begitu sangat kagum dan terhibur seusai membaca, menekuni dan menikmati keenakan hidangan bait-bait indah dalam novel Ayat-Ayat Cinta, hasil karya monumental Habiburrahman El-Shirazy itu. Buat pertama kalinya -mungkin jika tidak keterlaluan- saya katakan, belum pernah saya ketemu suatu novel seindah dan sesarat dengan manfaat seperti Ayat-ayat Cinta. (Antara novel berbanding filemnya yang baru sahaja diterbitkan kemudiannya, saya lebih sukakan novelnya-lebih asli dan menyentuh jiwa)

Saat menikmati novel itu, saya terkesan dengan suatu babak (yang semua pembaca sudah sedia maklum) di dalam metro (komuter Mesir) antara Fahri, pelancong Amerika, beberapa penumpang Arab dan Aisha. Babak itu, menyokong dan selari dengan seni (fiqh) kenegaraan yang saya fahami setakat ini. Aisha, seorang gadis berpurdah telah memberikan tempat duduknya kepada wanita tua dari Amerika (ibu kepada Alicia) sementara para penumpang lain hanya membiarkan sahaja wanita tua itu berdiri. Sikap Aisha ini, menimbulkan kemarahan dan cacian daripada beberapa penumpang Arab yang meluap-luap dengan emosi pukal terhadap Amerika dan rakyatnya.

Fahri pula, sempat mempertahankan tindakan Aisha, dengan hujah hadith Nabi SAW bagai peluru: "Barang siapa yang menyakiti orang 'dzimmi' (foreigners @ orang asing yang masuk ke negara ini dengan peraturan sah @ orang yang tidak mahu berperang), dia telah menyakiti diriku (diri Nabi SAW) dan barang siapa menyakiti diriku bererti dia telah menyakiti Allah". (Diriwayatkan Imam Thabrani)

Saya serahkan pada anda untuk menilai hadith dan sikap Fahri-Aisha tadi. Di sini, saya turut sediakan dua link laman lain yang mengandung kritikan terhadap hujah di atas tadi. Sila baca Antara Turis dan Ahlu Dzimmah dan Misi Pluralisme di Balik Novel Ayat-ayat Cinta. Namun, di sebalik dua kritikan ini, saya masih lagi terkesan dan terpengaruh dengan -klik: hadith Usamah ini.

baca tulisan ini sepenuhnya..

01 April, 2009

Lenggok tari bahasa Allah

Sudah lama saya mula terfikir hal ini. Iaitu ada beza antara bahasa kita dengan bahasa Allah. Agar lebih faham, cuba lihat bagaimana bahasa kita menghuraikan kes hujan: Hujan turun disebabkan awan (wap air) yang terkumpul di udara terlalu banyak, menghasilkan awan yang kelihatan gelap dan berat, lalu turun ke bumi sebagai hujan.

Namun berbeza pula Allah jelaskan berkenaan hujan, dengan bahasanya yang tersendiri, cuba lihat firmanNya ini: "Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah"
(surah al-Qamar: 11).

"Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Ia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dia lah Pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji".
(surah asy-Syura(31): 28)

Begitu juga bila Allah berbahasa tentang kapal-kapal di laut:

"Tidakkah kamu memperhatikan bahwa sesungguhnya kapal itu berlayar
di laut dengan nikmat Allah"
(surah Luqman(31): 31)

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar,tinggi) seperti gunung, yang belayar laju merempuh lautan".
(surah Asy-Syuura(42): 32)

baca tulisan ini sepenuhnya..

Ikan oh ikan

Ikan di laut memang hebat. Hidup di dalam air masin. Persekitarannya masin. Tak sedikit pun isi tubuhnya masin. Tak pernah ia masin. Selagi masih hidup, selagi itu ia takkan masin. Melainkan ia telah mati, lalu diangkat ke darat, dijemur menjadi ikan masin. Saat itu, barulah ia masin. Itu pun tanpa rela ia masin.

baca tulisan ini sepenuhnya..