17 August, 2009

Titik pertemuan antara kaum tradisionalis (konservatif?) dan kaum muda dalam bab Aqidah

'Kaput'! Kaput ini frasa dalam bahasa German. Demikian kata saudara Hishamuddin Rais saat saya pertama kali dalam hidup, pergi mendengar kuliah beliau beberapa minggu lepas. Itulah pertama kali juga saya mendengarkan pendapat beliau secara 'talaqqiyy' (Arabic). Saya tidak tahu ejaan sebenar frasa German ini. Jadi, saya tulis saja -kaput- seperti sebutan bahasa Melayu. Terlupa nak tanya kawan-kawan yang tahu bahasa German. Tapi, kawan-kawan saya pernah beritahu dahulu, kaedah sebutan dan ejaan bahasa German tak jauh berbeza daripada bahasa Melayu. Frasa 'kaput' ini -kata Hishamuddin- bermaksud habis. Saya juga tidak tahu maksud sebenar "habis"(kaput) di sini -adakah bermaksud: (1) 'finish'(English); 'kholas'(Arabic); selesai; sudah; tamat; titik. Atau ianya bermaksud: (2) Musnah; terbarai; rosak; 'collapse'(English); atau 'damage'(English).

Yang saya tahu, saya nak gunakan frasa ini untuk menggambarkan 'titik penamat' dan 'noktah penyatuan' kepada perselisihan panjang dan perbahasan antara kaum tradisionalis (KT) dengan kaum muda (KM) dalam kalangan umat Islam, khususnya di Malaysia, berkenaan Allah.

Kata KT: "Kami tidak mahu menyebut suatu perkataan tentang Allah, yang secara zahirnya bila disebut (diterjemahkan) akan menyebabkan masyarakat keliru, mengganggap Allah begitu, begitu dan begitu, sehingga timbul tanggapan Allah menyamai makhluk (dengan sebab menyebut perkataan itu - contoh: 'tangan' Allah, 'wajah' Allah dan lain-lain). Tujuan kami ini menyamai firman Allah: 'laisa ka mithlihi shaik' (Allah tidak menyerupai segala sesuatu pun). Maka, kami takwilkan frasa-frasa berkenaan Allah dalam firmanNya, contohnya 'tangan' Allah ditakwilkan sebagai kekuasaanNya, begitu juga dengan frasa-frasa lain tentang Allah, sebagai langkah pencegahan agar masyarakat tidak keliru.

Kata KM pula: "Kami hanya sekadar menyebut terjemahan kepada frasa-frasa dalam firman Allah berkenaanNya, seperti 'yadullah' (tangan Allah), 'wajhillah' (wajah Allah) dan lain-lain, namun kami pulangkan makna asalnya kepada Allah tanpa mentakwil atau mentafsir maksud 'tangan' itu. Kami tidak pernah mendakwa frasa 'tangan' yang kami terjemahkan itu bermakud seperti tangan makhluk. Dan kami tidak bermaksud sedikit pun untuk menyamakan Allah dengan makhluk (dengan menterjemahkan begitu). Kami serahkan dan pulangkan makna sebenar frasa itu kepada Allah dan dalam masa yang sama menafikan Allah Ta’ala sama dengan makhluk. Kami juga beriman dengan firman Allah yang berbunyi: 'laisa ka mithlihi shaik' (Allah tidak menyerupai segala sesuatu pun)."

Saya katakan: KT pernah menuduh KM sebagai sesat atau mujassimah (mentajsimkan Allah), kerana sikap KM yang mahu menterjemahkan frasa-frasa tadi telah dianggap oleh KT sebagai menyamakan Allah dengan sesuatu dan menyebabkan masyarakat keliru. Sebenarnya KM tidak pernah pun bermaksud begitu. KM hanya menterjemahkannya sambil menjelaskan kepada masyarakat bahwa kami serahkan makna sebenar frasa-frasa itu kepada Allah, tanpa takwil. KM pula pernah menuduh KT tidak mahu mengikut sikap para ulama' salaf yang tidak mahu mentakwil frasa-frasa tadi. Hakikatnya pada pendapat saya, kedua-dua golongan ini, sebenarnya sama saja pegangan mereka. Mereka sama-sama tidak pernah menyamakan Allah dengan makhluk. Mereka sama-sama beriman bahawa tiada suatu pun menyamai Allah. Mereka sama-sama berpegang dan beriman dengan firman Allah: 'laisa ka mithlihi shaik' (Allah tidak menyerupai segala sesuatu). Cuma mereka hanya berbeza pendekatan. KM dengan kaedah terjemahannya namun tidak akan mentakwilkan frasa-frasa berkenaan Allah itu kerana mahu mengikut kaedah para ulama salaf yang menyerahkan makna sebenarnya frasa-frasa itu kepada Allah, manakala KT pula tidak mahu menterjemahkannya secara zahir frasa tertentu berkenaan Allah itu namun mentakwilkannya agar masyarakat tidak terkeliru. Maka, saya menganggap perselisihan dan tuduh-menuduh sesama meraka selama ini, sudah kaput!!

*Ya Allah, bersaksilah Dikau, telah kusampaikan ajaranMu kepada kedua-dua golongan ini.

2 comments:

suhaib said...

kaum muda dan tua harus membaca fasl al-maqal karangan ibn rusyd...semoga averroes menyuluhi pencarian anda. ni bukan promosi tapi dah ada satu-satunya buku terjemahan ke bahasa malaysia - "Makalah penentu hubungan antara falsafah dan syariah"

p/s: kalau nak baca buku asal, bahasanya bahasa arab lama (turath).org arab sendiri pn merangkak kecuali mereka yg pakar bahasa.

muhammad said...

suhaib: klu xsilap aku, bukan ke buku ni yg kita dua g beli kt alamanda aritu? aku pilih buku brtajuk Sederhana Itu Indah. Anda pilih Makalah Penentu Hubungan Antara Falsafah dan Syariah, kan? Kita pn prnah ber-usrah santai rasanya atas sofa dpan tv smbil layan mesra Makalah Penentu ni seingat aku la. :)