19 September, 2008

Kursus jangka pendek buat para imam solat (1)

Perhatian: "Kursus ini hanya ditujukan kepada para penganut Islam yang akan atau telah menjadi imam dalam solat berjamaah, tetapi masih tidak mahu berfikir soal kebajikan para makmum di belakang mereka selama ini. Kursus ini mungkin tidak berhikmah, berbaur emosi dan dihujani dengan soalan-soalan bernada keras, tetapi masih lagi berada dalam daerah rasional, agar mereka tersentak dan mahu berfikir seketika tentang kebajikan para makmum mereka selama ini. Kursus ini tidak ditujukan kepada para imam yang bijak, mahu berfikir, prihatin dan bertindak menjaga kebajikan para makmum mereka dalam solat"

Wahai para imam solat, ini kursus pertama. Ini soalan-soalannya:

1. Siapa yang telah mengatakan bahawa WAJIB untuk kamu membaca Surah As-Sajdah dalam rakaat pertama solat Subuh setiap kali pagi Jumaat?

2. Jika kamu katakan tidak wajib, mengapa kamu terlalu kerap, malah mungkin tidak pernah berubah dan membaca surah itu secara tetap selama belasan tahun sejak dahulu hingga kini, sehingga kami para makmum merasakan seakan-akan WAJIB hukumnya untuk kamu membaca Surah As-Sajdah dalam solat Subuh setiap pagi Jumaat?

3. Siapa yang telah mengajar kamu agar membaca Surah Al-Insan pula pada rakaat kedua solat Subuh sesudah kamu membaca Surah As-Sajdah pada rakaat pertama tadi?

4. Adakah WAJIB hukumnya membaca Surah Al-Insan pula sesudah membaca Surah As-Sajdah?

5. Tidakkah kamu melihat dan ambil tahu, bahawa di saat kamu menjadi imam, ada pelbagai lapisan dan latar orang yang menjadi makmum kamu, iaitu kanak-kanak, orang uzur, orang yang ada keperluan, orang tua yang tidak mampu berdiri lama, dan lain-lain?

6. Tidakkah kamu tahu, andai Rasulullah masih ada pada hari ini, dan hal ini diadukan kepadanya, nescaya akan merahlah wajah Rasulullah, lantaran marahnya kepada sikap kamu saat menjadi imam solat?

Sekian untuk kursus pertama. Jika tiada perubahan, nantikan kursus kedua.

baca tulisan ini sepenuhnya..

18 September, 2008

Politik

Ada orang kata politik itu kotor. Politik adalah seni kepada apa yang mustahil. Tiada apa yang mustahil dalam politik. Politik adalah pembohongan. Politik menghalalkan cara, asalkan matlamat tercapai. Dan tanggapan-tanggapan negatif lain pasal politik.

Aku katakan, politik itu suci. Ahli politiklah yang mengotorkannya. Ahli politiklah yang menghalalkan cara yang haram, demi kepentingan peribadinya. Pendek kata, ahli politiklah yang memalit najis pada tubuh politik. Melainkan ahli politik yang ikhlas hatinya. Jujur dan amanah dalam menunaikan tanggungjawabnya.

baca tulisan ini sepenuhnya..

15 September, 2008

Gagak berlagak merak

Sungguh berani engkau wahai gagak.
Tuhan telah jadikan engkau seekor gagak.
Mengapa dikau cuba berlagak seekor merak?
Biarkan gagak yang berlagak merak.
Biarkan gagak ditempelak dengan lagaknya.
Kerna aku sedang marah dan benci
Kepada manusia yang berlagak Tuhan.

Tuhan pun mohon bukti.
Wahai manusia, kenapa kamu pula tidak datangkan bukti?!
Tuhan pun mahu mendengar.
Wahai manusia, kenapa kamu tidak mahu mendengar?!
Tuhan pun bicarakan para hambaNya dengan adil.
Wahai manusia, kenapa kamu menangkap manusia lain tanpa bicara yang adil?!

Wahai manusia, berani sungguh kamu!
memisahkan kasih dan sayang.
memisahkan jantung dan hati.
memisahkan seorang anak daripada ayahnya!
memisahkan seorang isteri daripada suaminya!
memisahkan seorang insan daripada saudaranya!
Wahai manusia, berani sungguh kamu!
Nantikanlah azab pedih daripada Tuhanmu!
Kerna kamu benar-benar berani. Kerna kamu tunjuk berani.

Wahai manusia, kenapa kamu mengambil tempat Tuhan?
Wahai manusia, kenapa kamu ingin menjadi Tuhan?
Wahai manusia, tidak takutkah kamu dengan azab Tuhan?

baca tulisan ini sepenuhnya..

09 September, 2008

Wad Semikritikal, Zon Kuning

Jumaat malam Sabtu lepas, saat aku berbaring empuk di atas hamparan putih di balik tirai, tiba-tiba saja terdengar jeritan menangis yang asalnya jauh. Akhirnya mendekat.

"Yah!!..Jangan tinggalkan aku, Yah! Aku sakit..aku sakit!" jerit seorang wanita. Agak muda suaranya. Tidak remaja. Kakinya mungkin patah.

"Aku tak tinggalkan kau, takkan tinggalkan kau..aku ada di sini. Aku tetap ada dengan kau" balas rakannya hampir berulang kali. Aku fikir, itu rakan karibnya. Mungkin mereka baru ditimpa kemalangan. Akhirnya, suara jeritan tadi mula reda apabila kakinya diampu dengan kerangka besi oleh para pegawai perubatan.

Di hujung katil sana, ada seorang wanita tua, yang hanya diam di atas katil putih tetapi bertelekung solat yang terdapat percikan darah padanya. Ada darah yang mengalir keluar dari matanya. Aku tidak sanggup melihat untuk kali kedua. Hanya pegawai perubatan yang sanggup merawat matanya itu.

Tiba-tiba, "Sakit doktor..sakit..sakit" suara di sebalik tirai belakangku pula berbunyi. Kata rakanku yang berada pada sudut yang boleh dilihat, tangannya sedang dijahit oleh pembantu hospital.

Selebihnya, selang seli iringan suara tangisan kanak-kanak yang mengalami luka kemalangan dan tangisan bayi kecil. Sibuk sekali ruang itu. Kesemua suara, menghambur tanpa ritma. Berbaur pelbagai rasa. Mengandung sejuta makna. Di sinilah Zon Kuning, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

baca tulisan ini sepenuhnya..

05 September, 2008

Ubat

Kenapa ramai orang yang sakit dan tidak sihat, memilih untuk makan ubat? Kenapa mesti makan ubat? Kalau tak makan, tak boleh? Saya rasa, orang makan ubat sebab nak hilangkan sakit. Juga sebab tak tahan dengan kesakitan penyakit. Kalau semua orang mampu menahan sakit, atau sistem imun tubuh mereka hebat, maka mereka tak perlukan ubat lagi.

baca tulisan ini sepenuhnya..

03 September, 2008

Wali dan Ramadhan

Aku dengki dengan para wali. Kata Tuhan, mereka dikatakan tidak takut dan tidak bersedih hati. Yang aku tahu, semua manusia pernah takut dan sedih. Bukan manusiakah mereka ini?

Buat Muhammadiyyun
Selamat bercanda ria
Berpesta temasya
Dalam taman indah
Syurga dunia
Girang gembira
Ramadhan mulia.

baca tulisan ini sepenuhnya..