Sebelum anda membaca tulisan saya bertajuk: "Dosa tersembunyi" (episod akhir) ini, adalah penting untuk anda membaca dahulu "Dosa tersembunyi" (1) agar anda lebih faham tujuan penulisan saya dan boleh membuat kesimpulan sendiri. Klik di sini untuk membaca episod 1. Sila baca juga hadith ke-3 (klik di sini) ini sebagai tambahan sokongan kepada hadith dalam tulisan "Dosa tersembunyi (1)" terdahulu.
Dari sudut pandang mata saya, dalam hadith pertama, Baginda Rasulullah S.a.w telah berjanji dan menawarkan suatu tawaran besar kepada manusia, bahawa sesiapa pun akan terus kekal selamat, sejahtera dan berada dalam kebaikan -insyaAllah- selagi mana dia tidak menceritakan, mendedahkan atau menyebarkan perbuatan dosa peribadinya (dosanya yang tersembunyi yang Allah sahaja yang tahu) kepada manusia lain. Adalah jauh lebih utama jika seseorang itu mengekalkan rahsia dosa peribadinya hanya untuk pengetahuan Allah sahaja, kerana dengan itu dapatlah dia memperoleh peluang seluas-luasnya untuk bertaubat bersungguh-sungguh secara senyap-senyap dan tekun, tanpa perlu siapa pun tahu, melainkan Allah. Hanya Allah yang boleh mengampunkan dosa, sedangkan manusia tidak dapat berbuat apa-apa berkenaan dosa orang lain. Biarkanlah dia berurusan sendiri dengan Allah.
Pada pendapat saya, manfaat merahsiakan dosa peribadi adalah jauh lebih besar daripada manfaat mendedahkannya. Ternyata, hampir kebanyakan orang yang pernah mendedahkan rahsia dosa peribadi mereka terdedah kepada celaan, cacian, maki hamun, sumpah seranah, pandangan serong masyarakat yang tajam menghina dan merendah-rendahkan, yang akhirnya membunuh semangat dan keazaman si pelaku dosa untuk bertaubat. Si pelaku dosa peribadi seharusnya sedar dan bersyukur, bahawa dosa peribadinya terus tersembunyi adalah kerana limpahan Rahmat Allah Yang Maha Mengasihani dirinya, agar dia bertaubat, selalu mendampingi dan berurusan dengan Allah semata-mata.
Sebab itulah, dalam hadith ke dua pula, mata saya memandang, Baginda Rasulullah S.a.w seakan-akan "tidak mahu ambil peduli, tidak ambil kisah, tidak mahu tahu, cuba melepaskan diri dan bersikap acuh tidak acuh, endah tak endah" apabila seorang lelaki datang mengadu kepada baginda bahawa dirinya telah berzina (zina juga adalah sebahagian dosa peribadi). Baginda tidak mahu tahu hal lelaki itu, dan memalingkan wajah baginda ke arah lain. Baginda terus memalingkan wajahnya ke arah lain, seakan tidak mahu mendengar pengakuan lelaki itu.
Iya, mungkin juga sikap memalingkan wajah baginda itu kerana perasaan malu baginda dengan pengakuan lelaki itu, namun kita semua telah sedia maklum apakah jenis hukuman yang sedia menanti orang-orang yang berzina. Habis, mengapa baginda seperti tidak mahu serius mendengar pengakuan lelaki itu? Sungguh mustahil bagi diri baginda sebagai seorang yang tegas, seorang Nabi, Rasul, kekasih dan utusan Allah yang menerima wahyu, untuk bersikap "acuh tidak acuh" seperti itu, hanya kerana perasaan malu baginda semata-mata?
Malah, baginda bersikap begitu sehingga lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali. Itupun disambut pula dengan pertanyaan baginda: "apakah engkau sudah gila?" (gila: gila kerana berani membuat pengakuan ini walaupun pengakuan ini benar, gila kerana berani menghadapi hukuman terakhir). Kesemua sikap baginda ini (sebelum baginda bertindak menjatuhkan hukuman terakhir itu) seolah-olah baginda terasa berat hati, lebih suka jika lelaki itu tidak perlu dedahkan rahsia dosa peribadinya, pulang sahaja ke rumah dan bertaubatlah kepada Allah, tanpa perlu menjalani hukuman itu.
Saya berpendapat, dosa peribadi lebih afdhal (utama) untuk dirahsiakan, berdasarkan hadith pertama tadi, kerana jika didedahkan, bakal mengundang keburukan yang lebih besar. Adalah lebih afdhal jika si pelaku dosa peribadi bertaubat sendiri kepada Allah, berdamping, mengadu dan berurusan terus menerus tanpa henti dengan Allah, terus bersandar dan berharap kepada Allah kerana Allah itu Maha Pengampun dosa-dosa para hambaNya. Masyarakat pula, tidak pernah dianjurkan oleh Islam (sejauh pengetahuan saya) agar aktif menyiasat, cuba mencungkil, mendedahkan dan menyebarkan rahsia dosa peribadi mana-mana individu (berdasarkan kefahaman saya terhadap hadith ke dua). Hal ini, amat jauh berbeza pula dengan dosa-dosa yang nyata dilakukan terang-terangan -yang kita semua sedia maklum- terdedah kepada "tangan, lidah dan hati" manusia. Wallahu a'lam.
Kesemua ini adalah kesimpulan kefahaman peribadi saya. Terpulang kepada anda untuk membuat kesimpulan anda sendiri. Saya amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu mengkritik tulisan ini atau sesiapa yang ingin mendedahkan nas-nas lain yang menyokong tulisan ini atau juga yang mahu membincangkannya di khalayak yang lain. Kepada Allah, saya memohon ampun dan berserah diri. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang mendalam dan benar terhadap agama kita.
07 April, 2009
Sembunyikan dosa tersembunyi (episod akhir)
29 March, 2009
Sembunyikan dosa tersembunyi (1)
Apa yang saya tulis ini, adalah bacaan awam, semua penganut mana-mana agama pun boleh membacanya sebagai pendedahan. Bagi penganut Islam, tulisan ini ditujukan khusus buat mereka. Tulisan ini tidak bermakna saya menyokong perbuatan-perbuatan dosa. Namun, saya cuba ketengahkan beberapa kefahaman yang saya pelajari apabila saya menemui hadith-hadith yang akan saya kemukakan nanti.
Dosa bagi saya ada dua jenis;
1- Dosa terang-terangan berlaku di depan mata manusia @ mungkin juga di belakang manusia namun ia melanggar kepentingan dan hak-hak awam.
2- Dosa yang tersembunyi (tidak diketahui manusia lain, hanya Allah sahaja yang tahu).
Saya hanya mahu bahas tulisan ini kepada dosa jenis kedua. Cuba renungkan hadith-hadith ini:
1- Rasululllah SAW. pernah berkata: “Setiap umatku mendapat perindungan afiat (kekal dalam keadaan selamat) kecuali orang-orang yang terang-terangan. Dan, sesungguhnya termasuk perbuatan terang-terangan itu jika seseorang melakukan suatu perbuatan (dosa @ kesalahan) pada malam hari, kemudian dia berada pada pagi hari, padahal Allah telah menutupinya (Allah menutupinya: perbuatan dosanya tidak diketahui sesiapa, dosa tersembunyi), namun dia (sendiri yang) berkata (bercerita kepada orang lain): "Hai fulan, malam tadi aku telah berbuat begitu dan begini (menceritakan perbuatan dosanya)", padahal sebelum itu Tuhannya telah menutupi, namun kemudian dia sendiri yang menyebarkan apa yang telah ditutupi Allah berkenaan (perbuatan) dirinya (daripada diketahui manusia lain).”
(Hadith riwayat Bukhari, 10/486)
2- Abu Hurairah Radliyallaahu 'anhu berkata: Ada seorang dari kaum muslimin datang menemui Rasulullah SAW ketika baginda sedang berada di masjid. Ia memanggil baginda dan berkata: "wahai Rasulullah, aku telah berzina". (apabila mendengar pengakuan lelaki itu), baginda berpaling darinya dan orang itu ikut berpaling untuk menghadap wajah baginda, lalu berkata: "Wahai Rasulullah, sungguh aku telah berzina". Baginda memalingkan muka lagi, hingga orang itu mengulangi ucapannya empat kali. Setelah ia bersaksi dengan kesalahannya sendiri empat kali, Rasulullah SAW memanggilnya dan bersabda: "Apakah engkau sudah gila?". Ia menjawab: Tidak. Baginda bertanya: "Apakah engkau sudah berkahwin?". Ia menjawab: "Ya". Lalu Nabi SAW bersabda: "bawalah dia dan rejamlah".
(Hadith Muttafaqun 'Alaih)
bersambung...