Sebelum anda membaca tulisan saya bertajuk: "Dosa tersembunyi" (episod akhir) ini, adalah penting untuk anda membaca dahulu "Dosa tersembunyi" (1) agar anda lebih faham tujuan penulisan saya dan boleh membuat kesimpulan sendiri. Klik di sini untuk membaca episod 1. Sila baca juga hadith ke-3 (klik di sini) ini sebagai tambahan sokongan kepada hadith dalam tulisan "Dosa tersembunyi (1)" terdahulu.
Dari sudut pandang mata saya, dalam hadith pertama, Baginda Rasulullah S.a.w telah berjanji dan menawarkan suatu tawaran besar kepada manusia, bahawa sesiapa pun akan terus kekal selamat, sejahtera dan berada dalam kebaikan -insyaAllah- selagi mana dia tidak menceritakan, mendedahkan atau menyebarkan perbuatan dosa peribadinya (dosanya yang tersembunyi yang Allah sahaja yang tahu) kepada manusia lain. Adalah jauh lebih utama jika seseorang itu mengekalkan rahsia dosa peribadinya hanya untuk pengetahuan Allah sahaja, kerana dengan itu dapatlah dia memperoleh peluang seluas-luasnya untuk bertaubat bersungguh-sungguh secara senyap-senyap dan tekun, tanpa perlu siapa pun tahu, melainkan Allah. Hanya Allah yang boleh mengampunkan dosa, sedangkan manusia tidak dapat berbuat apa-apa berkenaan dosa orang lain. Biarkanlah dia berurusan sendiri dengan Allah.
Pada pendapat saya, manfaat merahsiakan dosa peribadi adalah jauh lebih besar daripada manfaat mendedahkannya. Ternyata, hampir kebanyakan orang yang pernah mendedahkan rahsia dosa peribadi mereka terdedah kepada celaan, cacian, maki hamun, sumpah seranah, pandangan serong masyarakat yang tajam menghina dan merendah-rendahkan, yang akhirnya membunuh semangat dan keazaman si pelaku dosa untuk bertaubat. Si pelaku dosa peribadi seharusnya sedar dan bersyukur, bahawa dosa peribadinya terus tersembunyi adalah kerana limpahan Rahmat Allah Yang Maha Mengasihani dirinya, agar dia bertaubat, selalu mendampingi dan berurusan dengan Allah semata-mata.
Sebab itulah, dalam hadith ke dua pula, mata saya memandang, Baginda Rasulullah S.a.w seakan-akan "tidak mahu ambil peduli, tidak ambil kisah, tidak mahu tahu, cuba melepaskan diri dan bersikap acuh tidak acuh, endah tak endah" apabila seorang lelaki datang mengadu kepada baginda bahawa dirinya telah berzina (zina juga adalah sebahagian dosa peribadi). Baginda tidak mahu tahu hal lelaki itu, dan memalingkan wajah baginda ke arah lain. Baginda terus memalingkan wajahnya ke arah lain, seakan tidak mahu mendengar pengakuan lelaki itu.
Iya, mungkin juga sikap memalingkan wajah baginda itu kerana perasaan malu baginda dengan pengakuan lelaki itu, namun kita semua telah sedia maklum apakah jenis hukuman yang sedia menanti orang-orang yang berzina. Habis, mengapa baginda seperti tidak mahu serius mendengar pengakuan lelaki itu? Sungguh mustahil bagi diri baginda sebagai seorang yang tegas, seorang Nabi, Rasul, kekasih dan utusan Allah yang menerima wahyu, untuk bersikap "acuh tidak acuh" seperti itu, hanya kerana perasaan malu baginda semata-mata?
Malah, baginda bersikap begitu sehingga lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali. Itupun disambut pula dengan pertanyaan baginda: "apakah engkau sudah gila?" (gila: gila kerana berani membuat pengakuan ini walaupun pengakuan ini benar, gila kerana berani menghadapi hukuman terakhir). Kesemua sikap baginda ini (sebelum baginda bertindak menjatuhkan hukuman terakhir itu) seolah-olah baginda terasa berat hati, lebih suka jika lelaki itu tidak perlu dedahkan rahsia dosa peribadinya, pulang sahaja ke rumah dan bertaubatlah kepada Allah, tanpa perlu menjalani hukuman itu.
Saya berpendapat, dosa peribadi lebih afdhal (utama) untuk dirahsiakan, berdasarkan hadith pertama tadi, kerana jika didedahkan, bakal mengundang keburukan yang lebih besar. Adalah lebih afdhal jika si pelaku dosa peribadi bertaubat sendiri kepada Allah, berdamping, mengadu dan berurusan terus menerus tanpa henti dengan Allah, terus bersandar dan berharap kepada Allah kerana Allah itu Maha Pengampun dosa-dosa para hambaNya. Masyarakat pula, tidak pernah dianjurkan oleh Islam (sejauh pengetahuan saya) agar aktif menyiasat, cuba mencungkil, mendedahkan dan menyebarkan rahsia dosa peribadi mana-mana individu (berdasarkan kefahaman saya terhadap hadith ke dua). Hal ini, amat jauh berbeza pula dengan dosa-dosa yang nyata dilakukan terang-terangan -yang kita semua sedia maklum- terdedah kepada "tangan, lidah dan hati" manusia. Wallahu a'lam.
Kesemua ini adalah kesimpulan kefahaman peribadi saya. Terpulang kepada anda untuk membuat kesimpulan anda sendiri. Saya amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu mengkritik tulisan ini atau sesiapa yang ingin mendedahkan nas-nas lain yang menyokong tulisan ini atau juga yang mahu membincangkannya di khalayak yang lain. Kepada Allah, saya memohon ampun dan berserah diri. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang mendalam dan benar terhadap agama kita.
07 April, 2009
Sembunyikan dosa tersembunyi (episod akhir)
31 March, 2009
Wendy yang aneh
Wendy dan Saiful berkawan baik. Saya memang tak kenal langsung siapa Wendy. Kata Saiful, mereka sekelas semasa kursus Bahasa Inggeris dulu. Tambah Saiful lagi, Wendy ni bagus bangat dalam bab ukhuwwah sesama rakan tanpa mengira bangsa. Wendy jenis perempuan berkaca mata, berbangsa Cina yang lebih suka-selesa-enak-senang berada dalam kalangan rakan-rakan Melayu. Yang anehnya, Wendy jarang bersama rakan-rakan sebangsanya. Baru-baru ini, dia lah yang sibuk menghantar SMS kepada rakan-rakan Melayu agar diadakan reunion bekas pelajar kursus Bahasa Inggeris yang dahulu itu. Di KL cadangnya.
Pernah sekali, Wendy bertanya selamba kepada Saiful: "i tengok, pukul 2.30 tadi, you sudah pegi semayang (zohor). Kenape skang you mau semayang lagi sekali (asar)?". Selamba juga Saiful menjawab: "Owh, tadi i semayang zohor. Skang i kena semayang asar plak. Kami orang-orang Islam semayang 5 kali sehari -awal pagi sekali, slepas tengahari sekali, petang, senja dan malam". "Waah, banyaknya kene semayang. Yang tadi you semayang memang ditetapkan ke kena pukul 2.30?", Wendy mencelah. "Tak, bukan macam tu. Setiap waktu semayang ada tempohnya. You kena semayang dalam tempoh tu. Dah kebetulan tadi i smayang jam 2.30. Macam tadi tu, waktu smayang zohor, waktu smayang yang slepas tengahari, tempohnya lebih kurang dari pukul 1.30 hingga 4.30 petang", jelas Saiful.
Kan bagus andai ramai orang yang suka dan mahu memberi penjelasan dengan tenang, sabar dan tanpa prejudis seperti Saiful. Keberagaman dan kepelbagaian bangsa, kaum dan agama di bumi ini bukanlah suatu penghalang keharmonian dan keamanan dunia. Warna-warni ini adalah pemangkin kepada proses mahu memahami dan mendengar, bukannya pencetus permusuhan dan pertelagahan. Terima kasih Wendy kerna mahu bertanya dan memahami. Terima kasih Saiful kerana mahu menjelaskan.
(*tulisan di atas, saya adaptasi daripada apa yang telah Saiful ceritakan kepada saya)
09 September, 2008
Wad Semikritikal, Zon Kuning
Jumaat malam Sabtu lepas, saat aku berbaring empuk di atas hamparan putih di balik tirai, tiba-tiba saja terdengar jeritan menangis yang asalnya jauh. Akhirnya mendekat.
"Yah!!..Jangan tinggalkan aku, Yah! Aku sakit..aku sakit!" jerit seorang wanita. Agak muda suaranya. Tidak remaja. Kakinya mungkin patah.
"Aku tak tinggalkan kau, takkan tinggalkan kau..aku ada di sini. Aku tetap ada dengan kau" balas rakannya hampir berulang kali. Aku fikir, itu rakan karibnya. Mungkin mereka baru ditimpa kemalangan. Akhirnya, suara jeritan tadi mula reda apabila kakinya diampu dengan kerangka besi oleh para pegawai perubatan.
Di hujung katil sana, ada seorang wanita tua, yang hanya diam di atas katil putih tetapi bertelekung solat yang terdapat percikan darah padanya. Ada darah yang mengalir keluar dari matanya. Aku tidak sanggup melihat untuk kali kedua. Hanya pegawai perubatan yang sanggup merawat matanya itu.
Tiba-tiba, "Sakit doktor..sakit..sakit" suara di sebalik tirai belakangku pula berbunyi. Kata rakanku yang berada pada sudut yang boleh dilihat, tangannya sedang dijahit oleh pembantu hospital.
Selebihnya, selang seli iringan suara tangisan kanak-kanak yang mengalami luka kemalangan dan tangisan bayi kecil. Sibuk sekali ruang itu. Kesemua suara, menghambur tanpa ritma. Berbaur pelbagai rasa. Mengandung sejuta makna. Di sinilah Zon Kuning, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
13 August, 2008
Melayu
Mengislamkan Melayu, tak mengapa.
Memelayukan Islam, jangan sekali.
Picture source
10 June, 2008
05 June, 2008
Apa akan jadi?
Selalunya manusia, termasuk saya, akan lebih mendekati Tuhan di saat-saat genting, takut amat, sedih hiba, susah hati, gerun, cemas, bimbang dan pelbagai lagi rasa yang tidak enak. Mereka tidak akan melupakan Tuhan pada saat-saat begini. Baik, apa akan jadi andai perkara ini berlaku terbalik? Iaitu manusia memilih untuk lebih dan lebih dan lebih lagi mendekati Tuhan di saat mereka senang, enak, nyaman, lapang, kaya, berduit, bahagia, gembira dan rasa enak yang lain, apa akan jadi?
Picture Source
