Showing posts with label keadilan. Show all posts
Showing posts with label keadilan. Show all posts

01 September, 2009

Protes Tiananmen (1989)


Petang tadi Suhaib call. Kami berbual. Dia menyedarkan saya betapa pentingnya kita mengingati sesuatu tarikh atau peristiwa yang berlaku, terutamanya yang melibatkan kepentingan awam. Kadang-kadang masyarakat mudah lupakan sesuatu, sebagai contoh, kenaikan harga minyak. Kalau dulu, harga minyak naik, ramai yang marah. Tapi, hari ini, bila harga minyak naik (mungkin ada yang belum sedar harga minyak telah naik), rata-rata orang seakan sejuk dan senyap sahaja (mungkin diam-diam ubi berisi?). Ada yang baru sedar harga minyak telah naik, termasuk saya.

Suhaib juga menyebut suatu lagi contoh peristiwa yang sudah seakan 'sejuk' dan semakin dilupakan di China -protes yang berlaku pada tahun 1989, dikenali sebagai Tiananmen Square protests- selepas dia membaca tulisan Mara Hvistendahl berjudul “The Great Forgetting: 20 Years After Tiananmen Square” terbitan The Chronicle Review, Bil. 55, Isu ke-38 (terbit 29 Mei 2009) yang diterjemahkan oleh Najwan Halimi bertajuk: "Pelupaan Agung: Dataran Tiananmen Selepas Dua Dekad (I)" .

Maka, barulah hari ini saya tahu bahwa gambar orang sedang berdiri di hadapan kereta kebal yang telah saya masukkan secara tak sengaja dalam posting saya tahun lepas, adalah antara rakaman peristiwa penting di China. Saya angkat rakaman video itu daripada youtube. Selamat menonton. Meremang bulu roma saya menontonnya!

baca tulisan ini sepenuhnya..

16 May, 2009

Lelaki Kristian Canada masuk masjid (bahagian akhir)

Setelah solat berjamaah Zuhur tadi, saya berzikir ringan seketika dengan suara rendah berbisik, sebelum saya bingkas bangun untuk pulang. Saat menapak melepasi meja pengawal di dewan solat tingkat bawah, kelihatan seorang lelaki berkulit putih berjalan berseorangan bersama beg galas, berselisih dengan saya sebelum lelaki itu bertanya sesuatu kepada pengawal. Saya fikir, hal yang ditanyakannya itu menyangkut hal-hal keizinan berlegar di dalam masjid.

Mentol di atas kepala saya tiba-tiba bernyala. Ting!! "Inilah peluang keemasanku. Kalau tidak sekarang, bila lagi? Lagipun, hari ini cuti, tiada urusan apa-apa yang perlu dikejarkan. Lebih baik aku temani saja lelaki kulit putih itu, menjadi jurubicaranya saat dia mengelilingi masjid ini. Akanku cuba hilangkan dan jelaskan semampuku apa-apa kemusykilan dan pertanyaannya, khususnya berkenaan masjid dan Islam", bisik hati kecilku. Lantas, saya menoleh ke belakang dan mengejarnya. Dalam tulisan ini, saya terjemahkan keseluruhan perbualan saya dan dia sepanjang kami berada di dalam masjid, ke dalam Bahasa Melayu.

"Hai saudara, maafkan saya, nama saya Muhammad, saya dari sini saja dan anda?", saya memulakan perkenalan sambil bibir saya mengukir senyuman. Tangan dihulur, kami bersalaman. Dia membalas sambil tersenyum juga, "nama saya Tristan, saya dari Kanada". Sambil kami berjalan perlahan beriringan, saya jelaskan kepadanya yang saya ingin menawarkan sebarang bantuan kepadanya terutamanya penjelasan berkenaan konsep masjid, perjalanan solat, wudhuk dan hal-hal lain yang timbul. "Jika anda tidak kisah, saya berhasrat membantu menjelaskan kepada anda apa-apa kemusykilan berkenaan masjid ini dan Islam", saya menjelaskan. "Oh, ok, tiada masalah. Jika begitu, di mana kita ingin mulakan?", jawabnya ramah bersahaja.

Lalu, saya mengajaknya ke bahagian belakang masjid. Terdapat tandas dan tempat mengambil wudhuk di situ. "Solat di dalam Islam mudah sahaja. Secara konsepnya, hanya ada dua perkara utama sahaja yang anda perlu tahu berkenaan cara Muslim melakukan solat. Satu, wudhuk, dilakukan sebelum solat. Dua, solat, iaitu sesudah berwudhuk. Itu sahaja. Jadi, di sinilah tempatnya Muslim mengambil wudhuk, kerna untuk berwudhuk, mereka perlukan punca air", demikian saya mulakan penjelasan.

------------------------------------

Sambungan:

Saat tiba di dewan solat di bahagian bawah masjid, masih terdapat beberapa orang pemuda dan wanita yang sedang mendirikan solat. Mungkin solat Zuhur. Mungkin sekadar solat sunat. Tristan pun mengambil gambar dua tiga kali dari pelbagai sudut di ruang itu. "Memang ada waktu-waktu khusus untuk para Muslim mendirikan solat, namun ia bukanlah wajib dilakukan tepat-tepat pada waktunya itu. Solat di awal waktu memang sangat digalakkan, namun sesuatu waktu itu terdapat julat tempohnya. Sebagai contoh, baru saja tadi saya tunaikan solat Zuhur di awal waktu secara beramai-ramai. Namun, seperti yang anda lihat sekarang, masih terdapat beberapa orang yang sedang mendirikan solat Zuhur, kerana julat tempoh waktu Zuhur masih ada.", saya jelaskan. "Oh, begitu ya. Ok. Ok. Saya sudah faham", balas Tristan sambil tersenyum.

Sedang saya masih berbual ramah dengan Tristan, kelihatan kelibat seorang wanita berbaju kurung membawa 'walkie-talkie' menghampiri kami dari jauh. Melihat gayanya, saya sudah jangkakan apa yang mungkin akan berlaku selepas ini. Saya memang sudah bersedia menghadapi risiko ini sejak dari awal-awal saya membuat keputusan untuk membantu menemani Tristan. Sebenarnya, jangkaan risiko inilah juga yang telah melonjakkan diri saya untuk temani Tristan. Saya tidak suka bila ada Muslim lain mempamerkan imej kurang enak kepada penganut agama lain, terutamanya dalam bab layanan sesama manusia, sekaligus menggambarkan kejelikan Islam yang pada asalnya tidak jelik. Atau, mungkin layanan yang diberikan bagus, namun kefahamannya pula bermasalah.

"Assalamualaikum encik, Boleh saya tahu, ini siapa?", wanita tadi bersuara kepada saya sambil memberikan isyarat merujuk Tristan yang berdiri di sebelah saya. Tristan hanya diam dan terkebil-kebil. "Waalaikumussalam wbt. Oh, ini rakan saya, Tristan namanya", jawab saya. "Boleh saya tahu, rakan encik ni, Islam ke bukan Islam?". "Err, dia bukan Islam cik", saya menjawab. "Minta maaf ye, kalau dia orang bukan Islam, dia tidak boleh memasuki ruang solat, tolong bawa dia keluar ye", tegas wanita itu. Persoalan inilah yang telah saya jangkakan awal tadi. Saya rasa sekaranglah masanya peluang dan ruang untuk saya menjelaskan dengan baik. "Minta maaf ye cik, saya berpendapat tiada apa-apa masalah untuk rakan saya ni memasuki ruang masjid. Lagipun, saya orang Islam dan saya sentiasa ada untuk iringi dia. Jadi tidak timbul isu keselamatan dan sebagainya. Lagipun, sejauh saya hidup sebagai seorang Muslim dan belajar tentang Islam, saya tidak pernah temui apa-apa nas atau dalil atau sumber dalam agama kita yang melarang orang-orang bukan Islam daripada memasuki masjid", sambil tersenyum saya jelaskan. Tristan masih diam.

--------------------------------------------------------------------
Sambungan terakhir:

"Tak ada larangan ke, ape-ape ke, kawan awak ni tetap tak dibenarkan masuk ke ruang solat", balas wanita itu. "tolong bawa kawan awak ni keluar sekarang". Saya tidak suka menimbulkan suasana yang makin tidak enak, namun telah saya jelaskan agak panjang lebar alasan saya kepada wanita tadi. "Baiklah, saya dan kawan saya keluar dari ruang solat ni sekarang. Saya mohon maaf ya cik", balas saya. Terus, saya mengajak Tristan keluar dari ruang tadi. Wajah Tristan bingung, tidak faham apa-apa, namun seakan-akan faham seolah-olah dia tahu saya berselisih pendapat dengan wanita tadi.

Saya mengajak Tristan naik ke tingkat atas. Manalah tahu, mungkin di atas tiada pengawal yang akan mengganggu saya mengiringi Tristan, maka semakin mudahlah kerja-kerja saya jika begitu. Jam menunjukkan kurang lebih 3 petang. "Kenapa dengan wanita tadi? Apa yang awak bualkan dengannya?", soal Tristan. Saya dengan selamba dan jujur menjawab, "apa yang berlaku tadi adalah manifestasi daripada salah faham seorang Muslim terhadap agamanya dan penganut agama lain, peranan agama dan hubungan kemasyarakatan umum. Seperti yang awak sedia maklum, kadang-kala tetap juga berlaku kes yang sama seperti tadi ke atas penganut agama lain yang kurang faham. Wanita tadi melarang awak untuk menjejakkan kaki awak di dalam ruang solat, atas alasan awak bukan orang Islam", demikian saya jelaskan sambil menambah bahwa saya tidak bersetuju dengan pendapat wanita tadi dan telah menyampaikan alasan saya kepadanya. Kata Tristan, seorang rakannya juga pernah dimarahi pengawal dan dihalau keluar dari sebuah masjid di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Tiba di ruang atas, sekali lagi saya dengan selamba mengajak Tristan masuk ke ruang solat utama. "Wow! Cantik sekali corak kubahnya, alangkah indahnya", kagum sekali Tristan memerhati corak di bahagian dalam kubah masjid itu. Kami bertuah, kerna kebetulan tiada pengawal yang meronda di situ. Saya katakan pada Tristan, "ya, memang cantik corak susunannya. Saya pun, tidak pernah kenal pula siapa yang menyelenggara dan mencipta corak ini. Namun, untuk pengetahuan awak, corak ini tiada kena mengena langsung dengan proses umat Islam bersolat. Maksudnya, kewujudan corak-corak geometri indah ini, bukan menjadi syarat sah untuk perlaksanaan solat. Ia hanya sekadar hiasan dalaman masjid saja, sekadar mengindahkan bahagian dalaman masjid. Sebab itu, Tristan, jika awak berpeluang melawat masjid-masjid lain di dunia, awak akan dapati hampir kesemuanya mempunyai corak yang berbeda-beda. Jadi, corak bukanlah syarat. Begitu juga dengan kubahnya. Kubah juga bukanlah syarat untuk menjadi sebuah masjid, kerana banyak juga kubah-kubah bangunan di Rusia sana, namun ia bukanlah masjid. Umat Islam sebenarnya hanya memerlukan ruang solat sahaja, tanpa mengira corak dan bentuk bangunan." "Oh, begitu rupanya ya. Saya faham, saya faham", Tristan membalas.

Tristan sempat mengambil beberapa keping gambar, termasuk gambar saya. Saya juga turut membantu mengambil gambarnya. Dia kelihatan seronok dan senang hati berbual dengan saya. Politik dunia dan isu antara agama menjadi antara faktor-faktor perbualan. Tristan terlibat dengan sebuah NGO kebajikan dari Perancis, walaupun beliau orang Kanada. Saya tidak ingat singkatan NGO itu, kerna sebutannya dalam bahasa Perancis. Melalui program NGO Perancis itulah Tristan datang ke Malaysia, Kuala Lumpur, menjadi guru mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik di sebuah sekolah kebajikan kanak-kanak kurang upaya. Katanya, Bush itu penganut Kristian aliran fundamentalis. Bukan Katolik. Bukan juga Protestan. Ia fundamentalis. Antara orang lain yang turut fundamentalis, termasuklah Clinton, presiden A.S yang dulu-dulu, sebelum Bush. Katanya lagi, Obama seorang yang minda terbuka.

Di hadapan pintu utama untuk memasuki ruang solat di atas, terdapat binaan batu yang terjulur banyak paip, untuk mengambil wudhuk. Saya bertanya kepada Tristan, "Pernah awak tahu bagaimana orang Islam berwudhuk?". "Saya tahu serba sedikit bagaimana orang Islam berwudhuk kerna saya ada ternampak mereka berwudhuk, tapi saya tidak tahu bagaimana caranya secara sempurna penuh dan tidak tahu urutannya". "Boleh saya tunjukkan kepada awak Tristan, dari A hingga Z, bagaimana cara berwudhuk?", saya menawarkan diri. "Ya, silakan. saya ingin merakam perbuatan awak berwudhuk dengan kamera video saya ni", jawab Tristan, sambil menalakan kamera videonya kepada saya yang sedang mula membasuh kedua-dua belah tangan di hujung paip tadi. Selesai saya membasuh kaki, saya katakan padanya, begitulah tadi keseluruhan cara berwudhuk.

Tiba-tiba telefon saya berbunyi. Saya lantas menyambut panggilan itu. Sepupu saya ingin bertemu, ada urusan penting katanya, berkenaan urusan zakat anaknya yang ingin menyambung pengajian perubatan di Mesir. Tiba-tiba kepala saya ligat teringat akan junior-junior saya yang juga sedang belajar perubatan di Mesir, termasuklah adik kandung al-marhum sahabat baik saya -Nakula Sadewa- tuan empunya blog Republik Suara, yang juga merupakan pelajar perubatan di sana. Saya memohon maaf kepada Tristan kerna terpaksa pulang awal atas urusan tadi dan tidak dapat terus menemaninya berbual panjang lebar. "Seronok bertemu anda", kata Tristan. "saya juga", balas saya sambil tersenyum. Kami bersalam, dan saling bertukar mel elektronik (mel-e a.k.a e-mail). Saya pulang dalam keadaan hati bimbang -bimbang andai rakaman saya mengambil wudhuk tadi di'muat-naik' oleh Tristan dalam Youtube. Satu dunia tahu, seganlah aku.

baca tulisan ini sepenuhnya..

02 April, 2009

Ayat-ayat Cinta disulami seni kenegaraan?

Pada pertengahan tahun 2007, hati saya berasa begitu sangat kagum dan terhibur seusai membaca, menekuni dan menikmati keenakan hidangan bait-bait indah dalam novel Ayat-Ayat Cinta, hasil karya monumental Habiburrahman El-Shirazy itu. Buat pertama kalinya -mungkin jika tidak keterlaluan- saya katakan, belum pernah saya ketemu suatu novel seindah dan sesarat dengan manfaat seperti Ayat-ayat Cinta. (Antara novel berbanding filemnya yang baru sahaja diterbitkan kemudiannya, saya lebih sukakan novelnya-lebih asli dan menyentuh jiwa)

Saat menikmati novel itu, saya terkesan dengan suatu babak (yang semua pembaca sudah sedia maklum) di dalam metro (komuter Mesir) antara Fahri, pelancong Amerika, beberapa penumpang Arab dan Aisha. Babak itu, menyokong dan selari dengan seni (fiqh) kenegaraan yang saya fahami setakat ini. Aisha, seorang gadis berpurdah telah memberikan tempat duduknya kepada wanita tua dari Amerika (ibu kepada Alicia) sementara para penumpang lain hanya membiarkan sahaja wanita tua itu berdiri. Sikap Aisha ini, menimbulkan kemarahan dan cacian daripada beberapa penumpang Arab yang meluap-luap dengan emosi pukal terhadap Amerika dan rakyatnya.

Fahri pula, sempat mempertahankan tindakan Aisha, dengan hujah hadith Nabi SAW bagai peluru: "Barang siapa yang menyakiti orang 'dzimmi' (foreigners @ orang asing yang masuk ke negara ini dengan peraturan sah @ orang yang tidak mahu berperang), dia telah menyakiti diriku (diri Nabi SAW) dan barang siapa menyakiti diriku bererti dia telah menyakiti Allah". (Diriwayatkan Imam Thabrani)

Saya serahkan pada anda untuk menilai hadith dan sikap Fahri-Aisha tadi. Di sini, saya turut sediakan dua link laman lain yang mengandung kritikan terhadap hujah di atas tadi. Sila baca Antara Turis dan Ahlu Dzimmah dan Misi Pluralisme di Balik Novel Ayat-ayat Cinta. Namun, di sebalik dua kritikan ini, saya masih lagi terkesan dan terpengaruh dengan -klik: hadith Usamah ini.

baca tulisan ini sepenuhnya..

31 March, 2009

Wendy yang aneh

Wendy dan Saiful berkawan baik. Saya memang tak kenal langsung siapa Wendy. Kata Saiful, mereka sekelas semasa kursus Bahasa Inggeris dulu. Tambah Saiful lagi, Wendy ni bagus bangat dalam bab ukhuwwah sesama rakan tanpa mengira bangsa. Wendy jenis perempuan berkaca mata, berbangsa Cina yang lebih suka-selesa-enak-senang berada dalam kalangan rakan-rakan Melayu. Yang anehnya, Wendy jarang bersama rakan-rakan sebangsanya. Baru-baru ini, dia lah yang sibuk menghantar SMS kepada rakan-rakan Melayu agar diadakan reunion bekas pelajar kursus Bahasa Inggeris yang dahulu itu. Di KL cadangnya.

Pernah sekali, Wendy bertanya selamba kepada Saiful: "i tengok, pukul 2.30 tadi, you sudah pegi semayang (zohor). Kenape skang you mau semayang lagi sekali (asar)?". Selamba juga Saiful menjawab: "Owh, tadi i semayang zohor. Skang i kena semayang asar plak. Kami orang-orang Islam semayang 5 kali sehari -awal pagi sekali, slepas tengahari sekali, petang, senja dan malam". "Waah, banyaknya kene semayang. Yang tadi you semayang memang ditetapkan ke kena pukul 2.30?", Wendy mencelah. "Tak, bukan macam tu. Setiap waktu semayang ada tempohnya. You kena semayang dalam tempoh tu. Dah kebetulan tadi i smayang jam 2.30. Macam tadi tu, waktu smayang zohor, waktu smayang yang slepas tengahari, tempohnya lebih kurang dari pukul 1.30 hingga 4.30 petang", jelas Saiful.

Kan bagus andai ramai orang yang suka dan mahu memberi penjelasan dengan tenang, sabar dan tanpa prejudis seperti Saiful. Keberagaman dan kepelbagaian bangsa, kaum dan agama di bumi ini bukanlah suatu penghalang keharmonian dan keamanan dunia. Warna-warni ini adalah pemangkin kepada proses mahu memahami dan mendengar, bukannya pencetus permusuhan dan pertelagahan. Terima kasih Wendy kerna mahu bertanya dan memahami. Terima kasih Saiful kerana mahu menjelaskan.

(*tulisan di atas, saya adaptasi daripada apa yang telah Saiful ceritakan kepada saya)

baca tulisan ini sepenuhnya..

29 March, 2009

Sembunyikan dosa tersembunyi (1)

Apa yang saya tulis ini, adalah bacaan awam, semua penganut mana-mana agama pun boleh membacanya sebagai pendedahan. Bagi penganut Islam, tulisan ini ditujukan khusus buat mereka. Tulisan ini tidak bermakna saya menyokong perbuatan-perbuatan dosa. Namun, saya cuba ketengahkan beberapa kefahaman yang saya pelajari apabila saya menemui hadith-hadith yang akan saya kemukakan nanti.

Dosa bagi saya ada dua jenis;

1- Dosa terang-terangan berlaku di depan mata manusia @ mungkin juga di belakang manusia namun ia melanggar kepentingan dan hak-hak awam.

2- Dosa yang tersembunyi (tidak diketahui manusia lain, hanya Allah sahaja yang tahu).

Saya hanya mahu bahas tulisan ini kepada dosa jenis kedua. Cuba renungkan hadith-hadith ini:

1- Rasululllah SAW. pernah berkata: “Setiap umatku mendapat perindungan afiat (kekal dalam keadaan selamat) kecuali orang-orang yang terang-terangan. Dan, sesungguhnya termasuk perbuatan terang-terangan itu jika seseorang melakukan suatu perbuatan (dosa @ kesalahan) pada malam hari, kemudian dia berada pada pagi hari, padahal Allah telah menutupinya (Allah menutupinya: perbuatan dosanya tidak diketahui sesiapa, dosa tersembunyi), namun dia (sendiri yang) berkata (bercerita kepada orang lain): "Hai fulan, malam tadi aku telah berbuat begitu dan begini (menceritakan perbuatan dosanya)", padahal sebelum itu Tuhannya telah menutupi, namun kemudian dia sendiri yang menyebarkan apa yang telah ditutupi Allah berkenaan (perbuatan) dirinya (daripada diketahui manusia lain).”
(Hadith riwayat Bukhari, 10/486)

2- Abu Hurairah Radliyallaahu 'anhu berkata: Ada seorang dari kaum muslimin datang menemui Rasulullah SAW ketika baginda sedang berada di masjid. Ia memanggil baginda dan berkata: "wahai Rasulullah, aku telah berzina". (apabila mendengar pengakuan lelaki itu), baginda berpaling darinya dan orang itu ikut berpaling untuk menghadap wajah baginda, lalu berkata: "Wahai Rasulullah, sungguh aku telah berzina". Baginda memalingkan muka lagi, hingga orang itu mengulangi ucapannya empat kali. Setelah ia bersaksi dengan kesalahannya sendiri empat kali, Rasulullah SAW memanggilnya dan bersabda: "Apakah engkau sudah gila?". Ia menjawab: Tidak. Baginda bertanya: "Apakah engkau sudah berkahwin?". Ia menjawab: "Ya". Lalu Nabi SAW bersabda: "bawalah dia dan rejamlah".
(Hadith Muttafaqun 'Alaih)

bersambung...

baca tulisan ini sepenuhnya..

20 March, 2009

Adat

Saya bukan anti-mat saleh, bukan anti-Inggeris dan bukan anti-barat secara total pukal. Titik. Saya juga pandai mengguna pisau dan garfu (garpu), dan sudu, walau saya orang Melayu. Saya juga pernah pakai tali leher, tetapi saya tidak menolak proses saling memahami, saling bertukar fikiran dan adab-adab yang baik antara bangsa. Maksud tulisan ini, bukan saja hanya menjurus kepada barat, sudu, pisau dan garpu, namun menjangkau hal-hal lain yang lebih dari itu.

Apa yang saya amat kurang senang hati dan sangat tidak enak ialah perlakuan pemaksaan dan pengerasan persepsi adat budaya sesuatu bangsa tertentu di dunia ini terhadap bangsa-bangsa yang lain. Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan menggunakan sudu dan garpu itu sopan namanya, sedang orang lain yang hanya menggunakan jari saat makan dikatakan tidak sopan, menjelikkan, menjengkilkan, jijik dan kotor. Malah, apa yang lebih malang dan dahsyat lagi apabila persepsi ini dan perkara-perkara lain yang turut menyangkut hal ini menjadi suatu lambang status darjat dan taraf hidup, hina dan mulianya seseorang itu. Apa kurangnya ular yang menyusur di bawah akar? Apa hinanya orang yang tidak pandai menggunakan sudu dan garpu? Saya tidak nampak apakah kaitannya antara kolot-hina dengan pisau-garpu. Kesemua mereka lupa bahwa apa yang mereka paksakan itu, hanyalah persepsi mereka sahaja. Ya, hanyasanya persepsi mereka sahaja. Lalu mereka merasa diri mereka bagus. Tanpa sedar, rasa bagus itupun juga hanya persepsi mereka.

Kebanyakan adat bangsa di dunia, sangat subjektif. Mungkin bagi wanita dalam puak Pa Dong dari Burma (lihat gambar pertama), mempunyai leher yang 'dipaksa' jinjang melampau itu sesuatu yang cantik. Atau seorang wanita lain yang mempunyai lubang subang telinga yang besar itu dipandang cantik dalam kalangan puaknya (gambar ke-2 dari kiri). Saya lebih suka mengkaji 'maqosid' sesuatu adat, daripada mengikutinya buta tuli. Saya amat tidak faham dengan menusia yang mengenakan 'coat' tebal bersama 'mufflar' cantik di tengah hari buta Malaysia, bergaya a-la winter sonata!
Mungkin dia terlupa bahawa di sini iklim Khatulistiwa.

bersambung...

baca tulisan ini sepenuhnya..

18 March, 2009

Klip video: Linkin Park - Shadow of the Day



I close both locks below the window.
I close both blinds and turn away.
Sometimes solutions aren’t so simple.
Sometimes goodbye’s the only way.

And the sun will set for you,
The sun will set for you.
And the shadow of the day,
Will embrace the world in grey,
And the sun will set for you.

In cards and flowers on your window,
Your friends all plead for you to stay.
Sometimes beginnings aren’t so simple.
Sometimes goodbye’s the only way.

And the sun will set for you,
The sun will set for you.
And the shadow of the day,
Will embrace the world in gray,
And the sun will set for you.

And the shadow of the day,
Will embrace the world in gray,
And the sun will set for you.

And the shadow of the day,
Will embrace the world in gray,
And the sun will set for you.

* Shadow Of The Day by Linkin Park
from the Album Minutes To Midnight.
Track No: #5

baca tulisan ini sepenuhnya..