Untuk ruang waktu terhad, saya copy-paste dulu sebahagian surat elektronik (e-mail a.k.a mail-e) yang saya terima. Kes di dakwa berlaku di sebuah negeri timur. Sama ada benar atau tidak, saya tidak tahu:
Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la... setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peratura n ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka... "
Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..
Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"
Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'.
Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.
"Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.
Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"
Gadis tu terdiam.
11 September, 2009
Kartika yang unik
08 September, 2009
Anak-anak tangga kecil mujtahid
Buat para peminat hukum fiqh, juga sesiapa yang bercita-cita menjadi mujtahid (mengidam mahu menjadi mujtahid tiada salahnya), bolehlah membaca artikel ini sebagai langkah-langkah awal menaiki anak-anak tangga kecil. Jangan perhatikan sangat siapa yang menulisnya, yang penting tulisannya diteliti.
"Ke arah melahirkan masyarakat yang mampu berfikir tajam dan berijtihad"
Catatan remeh temeh 2 (kemaskini)
Catatan remeh temeh 2 adalah sambungan bersiri kepada tulisan saya yang lalu: "Perkembangan kefahaman Islam: konteks peribadi (Catatan remeh temeh 1)".
Sebagai intro kepada catatan remeh temeh 2, saya utarakan hadith ini:
Rasulullah SAW telah bersabda kepadaku (A'isyah): "Ambilkan timba untukku dari masjid." Jawabku: "Aku sedang haid.." Maka ujarnya: "Haidmu itu bukanlah terletak dalam tanganmu" [Hadis Riwayat Jama’ah kecuali imam al-Bukhari]
Sambungan:
Merujuk hadith pertama di atas, bagi saya, maksud kata-kata: "Haidmu itu bukanlah terletak dalam tanganmu.." mengandung beberapa makna: (1) secara lumrahnya, tiada seorang pun wanita di muka bumi ini yang boleh mengelak daripada keluar haidnya (walaupun menggunakan pil pencegah haid, namun hal itu untuk tempoh tertentu sahaja. Hakikatnya, mereka masih takkan mampu menghalangnya sampai bila-bila). Apa yang mereka hanya mampu lakukan ialah 'menahannya' sahaja. Haid itu di bawah kekuasaan, kehendak dan taqdir Allah atas diri wanita. (2) jika ditafsir secara harfiah pula, haid itu bukanlah teletak pada tangan. Maka mengikut kedua-dua makna ini, tidak menjadi masalah untuk A'isyah masuk ke dalam masjid, asalkan tidak mencemarkan ruang solat dalam masjid.
Rasulullah bersabda: “Lakukan apa-apa yang telah dilakukan oleh orang haji, kecuali jangan bertawaf di Ka’abah sehingga kamu (A'isyah) bersuci.”
(Direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari: 1650 dan Imam Muslim dalam Shahih Muslim: 1211)
Daripada hadith di atas, dapat saya faham, A'syah hanya dilarang melakukan tawaf sahaja dan tidak pula dilarang memasuki masjid. Ini bermakna, jika beliau ingin sekadar memasuki kawasan masjid (masjid al-Haram) yang memang berada di sekeliling Ka'bah, memang dibenarkan.
*baca juga: Catatan remeh temeh 4, Catatan remeh temeh 3.
01 September, 2009
Protes Tiananmen (1989)
Petang tadi Suhaib call. Kami berbual. Dia menyedarkan saya betapa pentingnya kita mengingati sesuatu tarikh atau peristiwa yang berlaku, terutamanya yang melibatkan kepentingan awam. Kadang-kadang masyarakat mudah lupakan sesuatu, sebagai contoh, kenaikan harga minyak. Kalau dulu, harga minyak naik, ramai yang marah. Tapi, hari ini, bila harga minyak naik (mungkin ada yang belum sedar harga minyak telah naik), rata-rata orang seakan sejuk dan senyap sahaja (mungkin diam-diam ubi berisi?). Ada yang baru sedar harga minyak telah naik, termasuk saya.
Suhaib juga menyebut suatu lagi contoh peristiwa yang sudah seakan 'sejuk' dan semakin dilupakan di China -protes yang berlaku pada tahun 1989, dikenali sebagai Tiananmen Square protests- selepas dia membaca tulisan Mara Hvistendahl berjudul “The Great Forgetting: 20 Years After Tiananmen Square” terbitan The Chronicle Review, Bil. 55, Isu ke-38 (terbit 29 Mei 2009) yang diterjemahkan oleh Najwan Halimi bertajuk: "Pelupaan Agung: Dataran Tiananmen Selepas Dua Dekad (I)" .
Maka, barulah hari ini saya tahu bahwa gambar orang sedang berdiri di hadapan kereta kebal yang telah saya masukkan secara tak sengaja dalam posting saya tahun lepas, adalah antara rakaman peristiwa penting di China. Saya angkat rakaman video itu daripada youtube. Selamat menonton. Meremang bulu roma saya menontonnya!
Pesanan Allah buat orang Ma-layu
Maaf, saya tak mewakili mana-mana parti, hatta parti kacang soya sekalipun, atau Yong Tau Fu yang putih indah, segar bugar, berais lazat diminum, menjirus membasah rongga tekak yang dahaga saat berbuka puasa. Saya hanya nak sampaikan nasihat. Saya cintakan tanah subur bertuah tempat tumpah darah saya, Malaysia yang tercinta ini. Jangan sesiapa pun berani mencemar keharmonian kaum atau agama kami semua, rakyat Malaysia.
Berikut, adalah pesanan umum Allah kepada seluruh penganut Islam. Namun saya tujukan pesanan ini tepat kepada orang Malayu Malaysia yang menganut Islam sahaja buat masa ini. Kepada penganut agama lain yang membaca tulisan ini, maka anda akan lebih faham selepas ini bahawa Islam melarang para penganutnya mencerca atau mencela sembahan agama lain. Jika berlaku cercaan, maka hal itu tiada sangkut paut lagi dengan Islam melainkan lahir daripada sikap orang-orang yang ekstrim, tidak mahu menurut panduan Allah dan melampaui batas dalam tindakan mereka.
Firman Allah:
"Dan janganlah kamu mencerca sembahan-sembahan yang mereka sembah selain daripada Allah, kerana kelak mereka akan mencerca Allah (pula) secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan."
(Al-An'aam [6] : 108)
Sila baca berkenaan kes demo dan kepala lembu:
1. PM kesal.
2. Misteri kepala lembu.
3. Kenyataan Khairy.
4. Polis mohon maaf.
5. Peserta demo jumpa menteri.
6. Bawa kepala lembu.
7. Pengerusi jawatankuasa itu, Mahyuddin Manaf menafikan kepala lembu yang dibawa ada kaitan dengan Hindu. Baca di sini.
8. Samy Vellu kecam.
20 August, 2009
Catatan remeh temeh 4 : Puasa
Saya terus saja kepada isu: Mana lebih bagus (mulia?)-berpuasa atau berbuka-semasa kita dalam musafir? Para sahabat kalau bermusafir, sebahagian mereka ada yang berbuka dan ada yang terus berpuasa. Namun, mereka yang berbuka tidak berkata apa-apa kepada yang terus berpuasa, dan begitulah sebaliknya.
Anas bin Malik (semoga Allah meredhainya) menjelaskan: Kami pernah bermusafir bersama Rasulullah (SAW), dalam kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka, tetapi yang berpuasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang berpuasa. (Rujuk kitab al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan – hadis no: 0682)
Berdasarkan budaya para sahabat Nabi ini, saya katakan (dah lama saya pendam dalam hati hal ini, mohon maaf andai apa yang saya katakan ini tidak berhikmah dan tidak lembut), khususnya kepada orang Malayu, tidak patut bagi kita untuk berkata 'itu ini itu ini begitu begini' kepada orang yang tidak berpuasa sewaktu dalam musafir. Tidak patut bagi kita untuk memandang rendah kepada mereka yang mahu berbuka dalam musafir, atau mereka yang tidak berpuasa sewaktu musafir itu dituduh tidak menghormati orang yang sedang berpuasa dan bulan Ramadhan (kerana memilih untuk berbuka).
Daripada A’isyah (semoga Allah meredhainya), bahawa seorang sahabat bernama Hamzah bin 'Amr al-Aslami bertanya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Patutkah aku berpuasa ketika bermusafir?”
Rasulullah menjawab: "Jika engkau mahu, silakanlah berpuasa dan jika engkau mahu, silakanlah berbuka (terpulanglah)." (Hadith Sahih, direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim, rujuk kitab al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan – hadis no: 0684)
Saya katakan, Rasulullah-insan yang paling bertaqwa dalam kalangan kita-kekasih Allah-pun tidak berkata (dalam kes di atas): "terpulanglah, tapi lebih baik jangan berbuka". Namun, dalam hadith di atas, baginda hanya memberi pilihan, tanpa menyatakan pilihan mana yang lebih 'mulia'.
‘Abd Allah ibn Abbas (semoga Allah meredhainya) berkata: Rasulullah (SAW) adakalanya berpuasa dan adakalanya tidak berpuasa dalam perjalanan. Oleh itu sesiapa yang suka, bolehlah berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa bolehlah berbuka. (Rujuk Sahih al-Bukhari – hadis no: 1948, Bahagian (chapter) Puasa, Bab "berbuka puasa di hadapan orang ramai ketika musafir supaya mereka dapat melihatnya")
Perhatikan, imam Bukhari sendiri, seorang imam besar dalam bidang hadith sendiri pun melabelkan hadith di atas dalam bab "berbuka puasa di hadapan orang ramai ketika musafir supaya mereka dapat melihatnya". Adakah imam Bukhari mengajar orang ramai agar tidak menghormati orang yang berpuasa? Sekian. Rasa lega dah sebab saya dah luah. Alhamdulillah. Selamat datang wahai Ramadhan, bulan mulia, bulan rahmat dan keampunan, bulan yang lebih baik daripada 1000 bulan. "Rabbana taqabbal minna"
*Perhatian: Kepada sesiapa yang memilih berbuka sewaktu bermusafir, wajib menggantikan ketinggalan puasanya itu pada hari yang lain. Perbahasan pendek ini hanya berkisar dalam daerah 'berbuka @ tidak dalam musafir' dan tidak menyangkut daerah-daerah lain.
17 August, 2009
Titik pertemuan antara kaum tradisionalis (konservatif?) dan kaum muda dalam bab Aqidah
'Kaput'! Kaput ini frasa dalam bahasa German. Demikian kata saudara Hishamuddin Rais saat saya pertama kali dalam hidup, pergi mendengar kuliah beliau beberapa minggu lepas. Itulah pertama kali juga saya mendengarkan pendapat beliau secara 'talaqqiyy' (Arabic). Saya tidak tahu ejaan sebenar frasa German ini. Jadi, saya tulis saja -kaput- seperti sebutan bahasa Melayu. Terlupa nak tanya kawan-kawan yang tahu bahasa German. Tapi, kawan-kawan saya pernah beritahu dahulu, kaedah sebutan dan ejaan bahasa German tak jauh berbeza daripada bahasa Melayu. Frasa 'kaput' ini -kata Hishamuddin- bermaksud habis. Saya juga tidak tahu maksud sebenar "habis"(kaput) di sini -adakah bermaksud: (1) 'finish'(English); 'kholas'(Arabic); selesai; sudah; tamat; titik. Atau ianya bermaksud: (2) Musnah; terbarai; rosak; 'collapse'(English); atau 'damage'(English).
Yang saya tahu, saya nak gunakan frasa ini untuk menggambarkan 'titik penamat' dan 'noktah penyatuan' kepada perselisihan panjang dan perbahasan antara kaum tradisionalis (KT) dengan kaum muda (KM) dalam kalangan umat Islam, khususnya di Malaysia, berkenaan Allah.
Kata KT: "Kami tidak mahu menyebut suatu perkataan tentang Allah, yang secara zahirnya bila disebut (diterjemahkan) akan menyebabkan masyarakat keliru, mengganggap Allah begitu, begitu dan begitu, sehingga timbul tanggapan Allah menyamai makhluk (dengan sebab menyebut perkataan itu - contoh: 'tangan' Allah, 'wajah' Allah dan lain-lain). Tujuan kami ini menyamai firman Allah: 'laisa ka mithlihi shaik' (Allah tidak menyerupai segala sesuatu pun). Maka, kami takwilkan frasa-frasa berkenaan Allah dalam firmanNya, contohnya 'tangan' Allah ditakwilkan sebagai kekuasaanNya, begitu juga dengan frasa-frasa lain tentang Allah, sebagai langkah pencegahan agar masyarakat tidak keliru.
Kata KM pula: "Kami hanya sekadar menyebut terjemahan kepada frasa-frasa dalam firman Allah berkenaanNya, seperti 'yadullah' (tangan Allah), 'wajhillah' (wajah Allah) dan lain-lain, namun kami pulangkan makna asalnya kepada Allah tanpa mentakwil atau mentafsir maksud 'tangan' itu. Kami tidak pernah mendakwa frasa 'tangan' yang kami terjemahkan itu bermakud seperti tangan makhluk. Dan kami tidak bermaksud sedikit pun untuk menyamakan Allah dengan makhluk (dengan menterjemahkan begitu). Kami serahkan dan pulangkan makna sebenar frasa itu kepada Allah dan dalam masa yang sama menafikan Allah Ta’ala sama dengan makhluk. Kami juga beriman dengan firman Allah yang berbunyi: 'laisa ka mithlihi shaik' (Allah tidak menyerupai segala sesuatu pun)."
Saya katakan: KT pernah menuduh KM sebagai sesat atau mujassimah (mentajsimkan Allah), kerana sikap KM yang mahu menterjemahkan frasa-frasa tadi telah dianggap oleh KT sebagai menyamakan Allah dengan sesuatu dan menyebabkan masyarakat keliru. Sebenarnya KM tidak pernah pun bermaksud begitu. KM hanya menterjemahkannya sambil menjelaskan kepada masyarakat bahwa kami serahkan makna sebenar frasa-frasa itu kepada Allah, tanpa takwil. KM pula pernah menuduh KT tidak mahu mengikut sikap para ulama' salaf yang tidak mahu mentakwil frasa-frasa tadi. Hakikatnya pada pendapat saya, kedua-dua golongan ini, sebenarnya sama saja pegangan mereka. Mereka sama-sama tidak pernah menyamakan Allah dengan makhluk. Mereka sama-sama beriman bahawa tiada suatu pun menyamai Allah. Mereka sama-sama berpegang dan beriman dengan firman Allah: 'laisa ka mithlihi shaik' (Allah tidak menyerupai segala sesuatu). Cuma mereka hanya berbeza pendekatan. KM dengan kaedah terjemahannya namun tidak akan mentakwilkan frasa-frasa berkenaan Allah itu kerana mahu mengikut kaedah para ulama salaf yang menyerahkan makna sebenarnya frasa-frasa itu kepada Allah, manakala KT pula tidak mahu menterjemahkannya secara zahir frasa tertentu berkenaan Allah itu namun mentakwilkannya agar masyarakat tidak terkeliru. Maka, saya menganggap perselisihan dan tuduh-menuduh sesama meraka selama ini, sudah kaput!!
*Ya Allah, bersaksilah Dikau, telah kusampaikan ajaranMu kepada kedua-dua golongan ini.
11 August, 2009
Kemajmukan yang harmoni
10 August, 2009
Sebenarnya, Me-layu @ Mala @ Malaiur?
Ringkas saja posting ini. Sekadar mahu mencetus. Dahulunya, sebelum Malaysia, tanah ini namanya Semenanjung Tanah Malayu. Malaya. Dan kemudianya, Malaysia. Bukan Me-laysia. Habis, kenapa tiba-tiba saja menjadi Me-layu, dan bukan Ma-layu? Ada yang berkata, apa gunanya sekadar mengubah nama sedangkan tiada perubahan sikap? Saya belum mahu berbincang hal itu. Saya cuma ingin katakan, ada orang yang mindanya mungkin telah terprogram (mindcontrol? Sub-conscious mind?) dek kerana nama bangsanya Me-layu. Anggapannya, terma Melayu itu lahir daripada kata kerja layu, seterusnya me-layu. Betulkah nama asal bangsa ini bangsa Mala?
*Senarai bacaan, renungan, kajian kritikal tambahan:
1. Shaharir Mohammad Zain
2. mistisfiles
3. sejarahnagarakedah
4. bangsa Melayu yang hilang
*Sumber gambar di sini
02 August, 2009
Ustaz call rancangan ScoreBoard, TV3
Isnin lalu (27/7/09), saya secara tak sengaja ikuti rancangan yang saya agak kurang minat-scoreboard-di tv3. Namun sekali sekala saya tetap tontoninya. Rancangan itu menjemput otai-otai badminton negara -adik-beradik, anak-anak Sidek. Seperti biasa, akan ada penonton yang akan membuat panggilan untuk menyumbang pendapat, idea dan kritikan membina demi kemajuan sukan negara.
Tiba-tiba, malam itu, apa yang membuatkan saya teruja dan agak terkejut, Ustaz Wan Sohor Bani telah berjaya membuat panggilan telefon ke program itu. Otai-otai badminton pun kelihatannya sedikit terkejut dan turut senyum-senyum. Mungkin mereka tidak menyangka bahawa seorang bergelar ustaz akan membuat penggilan ke sebuah program sukan di TV dan memberikan komentarnya terhadap sukan badminton negara malam itu. Ustaz telah memberikan pandangan peribadinya dan teguran positifnya terhadap mutu dan persembahan perlawanan pasukan badminton negara baru-baru ini.
Apa yang amat menyenangkan hati saya ialah: seorang bergelar ustaz telah berjaya keluar daripada imej kebiasaannya (bagi seorang yang bergelar ustaz: kuliah, masjid, kopiah, jubah, tazkirah, solat), malah telah mengharumkan nama golongan agamawan, dengan turut terlibat mengambil tahu hal-hal sukan sebagai contoh. Ini mencerminkan keluasan agama yang dianutinya, seperti yang sering mereka laung-laungkan: "Islam is the way of life", kerana mereka turut mengambil tahu hal-hal sukan. Jika begini sikap agamawan (juga tanpa imej yang 'menakutkan'), maka insyaAllah saya amat yakin mereka semua akan semakin mudah dan senang didekati masyarakat kebanyakan.
Firman AllaLh S.W.T:
Maksudnya:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati (terhadap mereka dalam menyampaikan dakwah), nescaya tentulah mereka akan menjauhkan diri daripada kamu."
(surah Ali-Imran : 159)
*saya telah pun menulis komen balas terhadap isu yang dibangkitkan dalam komen posting catatan remeh temeh 3.
