Saya terus saja kepada isu: Mana lebih bagus (mulia?)-berpuasa atau berbuka-semasa kita dalam musafir? Para sahabat kalau bermusafir, sebahagian mereka ada yang berbuka dan ada yang terus berpuasa. Namun, mereka yang berbuka tidak berkata apa-apa kepada yang terus berpuasa, dan begitulah sebaliknya.
Anas bin Malik (semoga Allah meredhainya) menjelaskan: Kami pernah bermusafir bersama Rasulullah (SAW), dalam kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka, tetapi yang berpuasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang berpuasa. (Rujuk kitab al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan – hadis no: 0682)
Berdasarkan budaya para sahabat Nabi ini, saya katakan (dah lama saya pendam dalam hati hal ini, mohon maaf andai apa yang saya katakan ini tidak berhikmah dan tidak lembut), khususnya kepada orang Malayu, tidak patut bagi kita untuk berkata 'itu ini itu ini begitu begini' kepada orang yang tidak berpuasa sewaktu dalam musafir. Tidak patut bagi kita untuk memandang rendah kepada mereka yang mahu berbuka dalam musafir, atau mereka yang tidak berpuasa sewaktu musafir itu dituduh tidak menghormati orang yang sedang berpuasa dan bulan Ramadhan (kerana memilih untuk berbuka).
Daripada A’isyah (semoga Allah meredhainya), bahawa seorang sahabat bernama Hamzah bin 'Amr al-Aslami bertanya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Patutkah aku berpuasa ketika bermusafir?”
Rasulullah menjawab: "Jika engkau mahu, silakanlah berpuasa dan jika engkau mahu, silakanlah berbuka (terpulanglah)." (Hadith Sahih, direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim, rujuk kitab al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan – hadis no: 0684)
Saya katakan, Rasulullah-insan yang paling bertaqwa dalam kalangan kita-kekasih Allah-pun tidak berkata (dalam kes di atas): "terpulanglah, tapi lebih baik jangan berbuka". Namun, dalam hadith di atas, baginda hanya memberi pilihan, tanpa menyatakan pilihan mana yang lebih 'mulia'.
‘Abd Allah ibn Abbas (semoga Allah meredhainya) berkata: Rasulullah (SAW) adakalanya berpuasa dan adakalanya tidak berpuasa dalam perjalanan. Oleh itu sesiapa yang suka, bolehlah berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa bolehlah berbuka. (Rujuk Sahih al-Bukhari – hadis no: 1948, Bahagian (chapter) Puasa, Bab "berbuka puasa di hadapan orang ramai ketika musafir supaya mereka dapat melihatnya")
Perhatikan, imam Bukhari sendiri, seorang imam besar dalam bidang hadith sendiri pun melabelkan hadith di atas dalam bab "berbuka puasa di hadapan orang ramai ketika musafir supaya mereka dapat melihatnya". Adakah imam Bukhari mengajar orang ramai agar tidak menghormati orang yang berpuasa? Sekian. Rasa lega dah sebab saya dah luah. Alhamdulillah. Selamat datang wahai Ramadhan, bulan mulia, bulan rahmat dan keampunan, bulan yang lebih baik daripada 1000 bulan. "Rabbana taqabbal minna"
*Perhatian: Kepada sesiapa yang memilih berbuka sewaktu bermusafir, wajib menggantikan ketinggalan puasanya itu pada hari yang lain. Perbahasan pendek ini hanya berkisar dalam daerah 'berbuka @ tidak dalam musafir' dan tidak menyangkut daerah-daerah lain.
Showing posts with label kemudahan Islam. Show all posts
Showing posts with label kemudahan Islam. Show all posts
20 August, 2009
Catatan remeh temeh 4 : Puasa
Subscribe to:
Posts (Atom)