16 May, 2009

Lelaki Kristian Canada masuk masjid (bahagian akhir)

Setelah solat berjamaah Zuhur tadi, saya berzikir ringan seketika dengan suara rendah berbisik, sebelum saya bingkas bangun untuk pulang. Saat menapak melepasi meja pengawal di dewan solat tingkat bawah, kelihatan seorang lelaki berkulit putih berjalan berseorangan bersama beg galas, berselisih dengan saya sebelum lelaki itu bertanya sesuatu kepada pengawal. Saya fikir, hal yang ditanyakannya itu menyangkut hal-hal keizinan berlegar di dalam masjid.

Mentol di atas kepala saya tiba-tiba bernyala. Ting!! "Inilah peluang keemasanku. Kalau tidak sekarang, bila lagi? Lagipun, hari ini cuti, tiada urusan apa-apa yang perlu dikejarkan. Lebih baik aku temani saja lelaki kulit putih itu, menjadi jurubicaranya saat dia mengelilingi masjid ini. Akanku cuba hilangkan dan jelaskan semampuku apa-apa kemusykilan dan pertanyaannya, khususnya berkenaan masjid dan Islam", bisik hati kecilku. Lantas, saya menoleh ke belakang dan mengejarnya. Dalam tulisan ini, saya terjemahkan keseluruhan perbualan saya dan dia sepanjang kami berada di dalam masjid, ke dalam Bahasa Melayu.

"Hai saudara, maafkan saya, nama saya Muhammad, saya dari sini saja dan anda?", saya memulakan perkenalan sambil bibir saya mengukir senyuman. Tangan dihulur, kami bersalaman. Dia membalas sambil tersenyum juga, "nama saya Tristan, saya dari Kanada". Sambil kami berjalan perlahan beriringan, saya jelaskan kepadanya yang saya ingin menawarkan sebarang bantuan kepadanya terutamanya penjelasan berkenaan konsep masjid, perjalanan solat, wudhuk dan hal-hal lain yang timbul. "Jika anda tidak kisah, saya berhasrat membantu menjelaskan kepada anda apa-apa kemusykilan berkenaan masjid ini dan Islam", saya menjelaskan. "Oh, ok, tiada masalah. Jika begitu, di mana kita ingin mulakan?", jawabnya ramah bersahaja.

Lalu, saya mengajaknya ke bahagian belakang masjid. Terdapat tandas dan tempat mengambil wudhuk di situ. "Solat di dalam Islam mudah sahaja. Secara konsepnya, hanya ada dua perkara utama sahaja yang anda perlu tahu berkenaan cara Muslim melakukan solat. Satu, wudhuk, dilakukan sebelum solat. Dua, solat, iaitu sesudah berwudhuk. Itu sahaja. Jadi, di sinilah tempatnya Muslim mengambil wudhuk, kerna untuk berwudhuk, mereka perlukan punca air", demikian saya mulakan penjelasan.

------------------------------------

Sambungan:

Saat tiba di dewan solat di bahagian bawah masjid, masih terdapat beberapa orang pemuda dan wanita yang sedang mendirikan solat. Mungkin solat Zuhur. Mungkin sekadar solat sunat. Tristan pun mengambil gambar dua tiga kali dari pelbagai sudut di ruang itu. "Memang ada waktu-waktu khusus untuk para Muslim mendirikan solat, namun ia bukanlah wajib dilakukan tepat-tepat pada waktunya itu. Solat di awal waktu memang sangat digalakkan, namun sesuatu waktu itu terdapat julat tempohnya. Sebagai contoh, baru saja tadi saya tunaikan solat Zuhur di awal waktu secara beramai-ramai. Namun, seperti yang anda lihat sekarang, masih terdapat beberapa orang yang sedang mendirikan solat Zuhur, kerana julat tempoh waktu Zuhur masih ada.", saya jelaskan. "Oh, begitu ya. Ok. Ok. Saya sudah faham", balas Tristan sambil tersenyum.

Sedang saya masih berbual ramah dengan Tristan, kelihatan kelibat seorang wanita berbaju kurung membawa 'walkie-talkie' menghampiri kami dari jauh. Melihat gayanya, saya sudah jangkakan apa yang mungkin akan berlaku selepas ini. Saya memang sudah bersedia menghadapi risiko ini sejak dari awal-awal saya membuat keputusan untuk membantu menemani Tristan. Sebenarnya, jangkaan risiko inilah juga yang telah melonjakkan diri saya untuk temani Tristan. Saya tidak suka bila ada Muslim lain mempamerkan imej kurang enak kepada penganut agama lain, terutamanya dalam bab layanan sesama manusia, sekaligus menggambarkan kejelikan Islam yang pada asalnya tidak jelik. Atau, mungkin layanan yang diberikan bagus, namun kefahamannya pula bermasalah.

"Assalamualaikum encik, Boleh saya tahu, ini siapa?", wanita tadi bersuara kepada saya sambil memberikan isyarat merujuk Tristan yang berdiri di sebelah saya. Tristan hanya diam dan terkebil-kebil. "Waalaikumussalam wbt. Oh, ini rakan saya, Tristan namanya", jawab saya. "Boleh saya tahu, rakan encik ni, Islam ke bukan Islam?". "Err, dia bukan Islam cik", saya menjawab. "Minta maaf ye, kalau dia orang bukan Islam, dia tidak boleh memasuki ruang solat, tolong bawa dia keluar ye", tegas wanita itu. Persoalan inilah yang telah saya jangkakan awal tadi. Saya rasa sekaranglah masanya peluang dan ruang untuk saya menjelaskan dengan baik. "Minta maaf ye cik, saya berpendapat tiada apa-apa masalah untuk rakan saya ni memasuki ruang masjid. Lagipun, saya orang Islam dan saya sentiasa ada untuk iringi dia. Jadi tidak timbul isu keselamatan dan sebagainya. Lagipun, sejauh saya hidup sebagai seorang Muslim dan belajar tentang Islam, saya tidak pernah temui apa-apa nas atau dalil atau sumber dalam agama kita yang melarang orang-orang bukan Islam daripada memasuki masjid", sambil tersenyum saya jelaskan. Tristan masih diam.

--------------------------------------------------------------------
Sambungan terakhir:

"Tak ada larangan ke, ape-ape ke, kawan awak ni tetap tak dibenarkan masuk ke ruang solat", balas wanita itu. "tolong bawa kawan awak ni keluar sekarang". Saya tidak suka menimbulkan suasana yang makin tidak enak, namun telah saya jelaskan agak panjang lebar alasan saya kepada wanita tadi. "Baiklah, saya dan kawan saya keluar dari ruang solat ni sekarang. Saya mohon maaf ya cik", balas saya. Terus, saya mengajak Tristan keluar dari ruang tadi. Wajah Tristan bingung, tidak faham apa-apa, namun seakan-akan faham seolah-olah dia tahu saya berselisih pendapat dengan wanita tadi.

Saya mengajak Tristan naik ke tingkat atas. Manalah tahu, mungkin di atas tiada pengawal yang akan mengganggu saya mengiringi Tristan, maka semakin mudahlah kerja-kerja saya jika begitu. Jam menunjukkan kurang lebih 3 petang. "Kenapa dengan wanita tadi? Apa yang awak bualkan dengannya?", soal Tristan. Saya dengan selamba dan jujur menjawab, "apa yang berlaku tadi adalah manifestasi daripada salah faham seorang Muslim terhadap agamanya dan penganut agama lain, peranan agama dan hubungan kemasyarakatan umum. Seperti yang awak sedia maklum, kadang-kala tetap juga berlaku kes yang sama seperti tadi ke atas penganut agama lain yang kurang faham. Wanita tadi melarang awak untuk menjejakkan kaki awak di dalam ruang solat, atas alasan awak bukan orang Islam", demikian saya jelaskan sambil menambah bahwa saya tidak bersetuju dengan pendapat wanita tadi dan telah menyampaikan alasan saya kepadanya. Kata Tristan, seorang rakannya juga pernah dimarahi pengawal dan dihalau keluar dari sebuah masjid di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Tiba di ruang atas, sekali lagi saya dengan selamba mengajak Tristan masuk ke ruang solat utama. "Wow! Cantik sekali corak kubahnya, alangkah indahnya", kagum sekali Tristan memerhati corak di bahagian dalam kubah masjid itu. Kami bertuah, kerna kebetulan tiada pengawal yang meronda di situ. Saya katakan pada Tristan, "ya, memang cantik corak susunannya. Saya pun, tidak pernah kenal pula siapa yang menyelenggara dan mencipta corak ini. Namun, untuk pengetahuan awak, corak ini tiada kena mengena langsung dengan proses umat Islam bersolat. Maksudnya, kewujudan corak-corak geometri indah ini, bukan menjadi syarat sah untuk perlaksanaan solat. Ia hanya sekadar hiasan dalaman masjid saja, sekadar mengindahkan bahagian dalaman masjid. Sebab itu, Tristan, jika awak berpeluang melawat masjid-masjid lain di dunia, awak akan dapati hampir kesemuanya mempunyai corak yang berbeda-beda. Jadi, corak bukanlah syarat. Begitu juga dengan kubahnya. Kubah juga bukanlah syarat untuk menjadi sebuah masjid, kerana banyak juga kubah-kubah bangunan di Rusia sana, namun ia bukanlah masjid. Umat Islam sebenarnya hanya memerlukan ruang solat sahaja, tanpa mengira corak dan bentuk bangunan." "Oh, begitu rupanya ya. Saya faham, saya faham", Tristan membalas.

Tristan sempat mengambil beberapa keping gambar, termasuk gambar saya. Saya juga turut membantu mengambil gambarnya. Dia kelihatan seronok dan senang hati berbual dengan saya. Politik dunia dan isu antara agama menjadi antara faktor-faktor perbualan. Tristan terlibat dengan sebuah NGO kebajikan dari Perancis, walaupun beliau orang Kanada. Saya tidak ingat singkatan NGO itu, kerna sebutannya dalam bahasa Perancis. Melalui program NGO Perancis itulah Tristan datang ke Malaysia, Kuala Lumpur, menjadi guru mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik di sebuah sekolah kebajikan kanak-kanak kurang upaya. Katanya, Bush itu penganut Kristian aliran fundamentalis. Bukan Katolik. Bukan juga Protestan. Ia fundamentalis. Antara orang lain yang turut fundamentalis, termasuklah Clinton, presiden A.S yang dulu-dulu, sebelum Bush. Katanya lagi, Obama seorang yang minda terbuka.

Di hadapan pintu utama untuk memasuki ruang solat di atas, terdapat binaan batu yang terjulur banyak paip, untuk mengambil wudhuk. Saya bertanya kepada Tristan, "Pernah awak tahu bagaimana orang Islam berwudhuk?". "Saya tahu serba sedikit bagaimana orang Islam berwudhuk kerna saya ada ternampak mereka berwudhuk, tapi saya tidak tahu bagaimana caranya secara sempurna penuh dan tidak tahu urutannya". "Boleh saya tunjukkan kepada awak Tristan, dari A hingga Z, bagaimana cara berwudhuk?", saya menawarkan diri. "Ya, silakan. saya ingin merakam perbuatan awak berwudhuk dengan kamera video saya ni", jawab Tristan, sambil menalakan kamera videonya kepada saya yang sedang mula membasuh kedua-dua belah tangan di hujung paip tadi. Selesai saya membasuh kaki, saya katakan padanya, begitulah tadi keseluruhan cara berwudhuk.

Tiba-tiba telefon saya berbunyi. Saya lantas menyambut panggilan itu. Sepupu saya ingin bertemu, ada urusan penting katanya, berkenaan urusan zakat anaknya yang ingin menyambung pengajian perubatan di Mesir. Tiba-tiba kepala saya ligat teringat akan junior-junior saya yang juga sedang belajar perubatan di Mesir, termasuklah adik kandung al-marhum sahabat baik saya -Nakula Sadewa- tuan empunya blog Republik Suara, yang juga merupakan pelajar perubatan di sana. Saya memohon maaf kepada Tristan kerna terpaksa pulang awal atas urusan tadi dan tidak dapat terus menemaninya berbual panjang lebar. "Seronok bertemu anda", kata Tristan. "saya juga", balas saya sambil tersenyum. Kami bersalam, dan saling bertukar mel elektronik (mel-e a.k.a e-mail). Saya pulang dalam keadaan hati bimbang -bimbang andai rakaman saya mengambil wudhuk tadi di'muat-naik' oleh Tristan dalam Youtube. Satu dunia tahu, seganlah aku.

6 comments:

hakimi mahmud said...

bersambung la pulak...suspen betul

hakimi mahmud said...

ala...kalau taip sampai abih apasalahnya..macam drama sembilu kasih la mcm nih..

nuna_sarah said...

nasib baik sya bace abis terus..hehehe..terasa rugi plak awak kena beredar awal..mungkin lg byk benda yang awak leh share ngan tristan..x semua sberani itu..

Aku Azman said...

abg fahmi ini suka bt suspen...itulah dia

muhammad said...

nakula: sy mmg ada rancang nk wat filem, tp bukn sembilu kasih. selumbar kayu pn boleh. hehe :)

nuna: wak mmg ditaqdirkn baca masa episod akhir. satu hal sy tlupa aritu-nk saling share no phone dg tristan.

azman: bukan aku saja2 nk wat suspen, tp x smpat. yg penting, share dulu benda2 ni dg kwn2 wlaupn sket demi sket. tp bila baca balik, nampak 'skema' je. hehe :)

Anonymous said...

bagus..n berani.. :)