27 January, 2010

Legion

Legion, cerita dua malaikat kritikal. Michael (Mikail). Gabriel (Jibril). Muka pelakon watak Michael, ada iras macam muka penyanyi kumpulan Michael Learns To Rock. Cumanya, malaikat ni tak pandai nyanyi.

Michael turun ke bumi berseorangan. Sampai di bumi, dia potong kedua-dua sayapnya. Dia tak setuju dengan Tuhan. Tuhan nak hapuskan sekelian manusia sebab Tuhan dah hilang sabar, dah kecewa dengan sikap manusia yang melampaui batas dan selalu melanggar perintahNya selama ini. Michael tak setuju penghapusan manusia dan enggan terlibat dalam ketenteraan Tuhan (para malaikat) untuk menghapuskan manusia.

Bagi Micheal, manusia tak bersalah. Mereka langgar arahan sebab telah 'hilang pedoman' (lost faith, tak sengaja). Maka Micheal menjadi 'Rambo' manusia, mengetuai manusia, menggunakan senjata manusia, berperang menentang tentera Tuhan (para malaikat) yang diketuai Gabriel.

Gabriel taat buta kepada Tuhan. Sikap Gabriel ada iras sikap Hang Tuah, dan, sikap Michael ada secebis sikap Hang Jebat.

Kenapa filem sebegini pula boleh terlepas tayang di Malaysia? Bukankah sesiapa yang menontonnya nanti akan 'terkeliru', 'tergelincir', 'terseleweng', 'terkeluar', dan 'ter-ter' yang lain? Mengapa senyap sunyi, dan tidak sebising isu penggunaan kalimah Allah?

Nanti sambung lagi..

baca tulisan ini sepenuhnya..

08 January, 2010

Allah (updated)

Hari itu, Suhaib hantar SMS kepada saya. "Allah sedang 'tersenyum' melihat gelagat para hamba ciptaanNya di Malaysia sedang berebut-rebutkan NamaNya". Demikian kurang lebih nada SMSnya. Titik.

Saya fikir, ada dua golongan (golongan pertama, tidak bersetuju. golongan kedua, bersetuju) umat Islam di Malaysia berkenaan isu keizinan dan penggunaan nama Allah dalam The Herald.

Golongan pertama terbahagi kepada dua alasan:

1. Timbul kekeliruan.

Penggunaan nama Allah dalam The Herald akan menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam. Sebagai contoh, jika terdapat seorang penganut Kristian yang meninggal dunia selepas ini, mungkin akan ada ucapan -sebagai contoh- "semoga Allah merahmati Alex". Ucapan ini mungkin tiada masalah bagi penganut Kristian saat itu, namun mungkin dalam kalangan umat Islam -terutamanya remaja Islam- akan terkeliru dan tertanya-tanya mengapa umat Kristian juga menyebut Allah sedangkan mereka adalah Kristian. Jika mereka Kristian dan kami adalah Muslim, mengapa menggunakan nama Allah yang sama? Dan kekeliruan lain yang mungkin timbul.

2. Kristianisasi (sangkaan?)

Mereka berpendapat, dengan mengizinkan penggunaan nama Allah bagi pihak Kristian, adalah merupakan suatu kemudahan perluasan proses kristianisasi ke atas umat Islam di Malaysia. Bagi mereka, dengan penggunaan nama Allah itu, aqidah umat Islam akan mudah terpesong, tergelincir dan murtad.

~ ~ ~ ~ ~

Golongan kedua, golongan yang bersetuju mengizinkan penggunaan nama Allah. Mereka beralasan penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian, akan meluaskan lagi ruang dakwah dan merancakkan lagi perbincangan -dialog antara agama- berkenaan Allah dan hakikat syariatNya. Isu ini memang sensitif, namun demi kebenaran, biarlah perbincangan dibuka. Dengan perbincangan, dialog, seminar, forum, pengemukaan pendapat, pengetengahan hujjah dan wacana ilmiyyah dalam kalangan pemuka Islam dan Kristian (dan Yahudi? dan agama lain?) secara jujur, telus, tidak takut-takut, terbuka dan aman, maka diharapkan akhirnya tersembullah kebenaran. Manusia yang beriman kepada kebenaran tidak harus takut untuk saling bersemuka dan berbincang, mengemukakan pendapat.

Bagi golongan kedua ini, kekeliruan umat Islam yang mungkin timbul berkenaan isu ini, bukanlah suatu masalah.

Bukankah 'kekeliruan', 'tergelincir', 'terseleweng' (pendek kata kesemua perkataan yang ber-awalan dengan 'ter..' yang menunjukkan tidak sengaja) adalah suatu proses normal dalam mencari kebenaran? Bukankah semua hal yang berada dalam daerah tidak disengajakan (terlupa, salah faham, tidak tahu, jahil, tidak sedar, tak perasan, pitam, tertidur, hilang akal, gila, terjatuh, tertembak, dll) mendapat kemaafan dan keampunan Allah?

Selingan:
101 East – Malaysia: Whose God?

Adblock

baca tulisan ini sepenuhnya..

30 December, 2009

Biar saya jadi orang baik

"Cik, boleh saya minta tolong?" sambil tersenyum saya bertanya kepada seorang wanita yang sedang bertugas menjaga kaunter pertanyaan di Pusat Membeli-belah The Curve, Damansara, malam Selasa yang lepas. "Ye saya, ada apa ya Encik?" jawab wanita itu. Saya balas: "Gini, saya ada janji nak jumpa kawan saya di sini malam ni, tapi bateri henset saya dah habis pulak, saya tak boleh nak SMS @ call kawan saya tu untuk beritahu saya di mana. Kalau cik ada charger Nokia, boleh saya tumpang cas henset saya untuk 5 minit je, boleh?". "Urm, boleh. Sekejap saya tengok dulu, mungkin charger kawan saya ada dalam laci ni" jawabnya sambil menarik laci kaunter.

Namun setelah beberapa kali saya mencuba, ternyata pengecas di hadapan wanita itu tidak dapat digunakan. Mungkin telah rosak. Saya, lalu, mengucapkan terima kasih. Timbul idea untuk mencari kedai @ warong-warong topup. Mungkin di situ saya boleh mendapatkan pengecas.

Tiba di tingkat bawah, ada sebuah kedai seorang lelaki muda Cina yang menjual topup. Saya senyum dan berdiri di hadapannya. "Bos, boleh saya minta tolong? Kalau boleh, saya nak pinjam charger untuk sekejap saja, dalam 5 minit je, saya sanggup bayar. Saya kecemasan, saya ada janji, nak hubungi kawan saya", saya menjelaskan. "Oh, boleh-boleh. Sekejap ya", balasnya sambil mencari sesuatu. Dia serahkan pengecas kepada saya. "Kenapa penting sangat, you mau pegi dating ke?", dia berseloroh. Saya tergelak kecil, "tak ade lah, bukan buah hati la, ini kawan lelaki la", balas saya.

Setelah 5 minit berlalu, saya mengucapkan terima kasih kepada lelaki Cina itu. "Bos, dah habis cas la bos. Mau kira macam mana ni, berapa saya mau bayar?", saya bertanya. Dia tersenyum dan membalas: "Harini you janji sama kawan you mau jumpa kan? Ok la, you janji punya hal, apa kata, biar saya jadi orang baik la harini. Saya kasi you free la, saya mau tolong you saje". Saya tersenyum lagi: "Terima kasih, semoga perniagaan you semakin maju!"

baca tulisan ini sepenuhnya..

21 December, 2009

Mazhab Al-Geografi 3: Cerita panjang kuliah Sheikh Yusuf

Gambar ketika syarahan perdana, di hadapan mimbar Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam:

Duduk di kiri, berbaju dan berkopiah putih:
Al-Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, selaku penterjemah ucapan Prof. Dr. Yusuf - beliau graduan Universiti Al-Azhar, bekas pensyarah UiTM dan UM, bekas Timbalan Presiden ABIM, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, sekarang memimpin Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Duduk di tengah, berjubah hitam, berserban putih dan sedang berucap: Tuan Sheikh yang kita cintai, Al-Allamah Al-Imam Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi - Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Islam Eropah, Tokoh Ma'al Hijrah 1431 peringkat Malaysia, sahabat dan guru kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim, sehingga ulama ini pernah berjanji dan berikrar suatu masa dahulu (ketika Anwar masih dalam penjara) bahwa beliau tidak akan sekali-kali menjejakkan kakinya ke bumi Malaysia selagi Dato' Seri Anwar Ibrahim masih dipenjarakan dan belum dibebaskan pada waktu itu. Duduk paling kanan, bersongkok bersampin: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor.

Hari Sabtu malam Ahad lepas, saya tergesa-gesa pulang bersama Ummi, Ayah dan adik-adik. Kami dari Kuantan, kemudian terus ke Putrajaya, ziarahi nenek tiri saya yang sedang uzur namun masih petah ramah dan baik hati, di Presint 10 . Namanya memang klasik - Puan Embun. Dalam jam 1900, kami terus menuju ke Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam bagi mengikuti syarahan perdana yang disampaikan oleh ulama tersohor dunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

Saat kami tiba di masjid, suasana dan kesesakan kenderaan kelihatan seakan-akan sedang berlaku pesta solat Jumaat pada waktu malam. Memang begitulah sambutan terhadap beliau yang saya jangkakan kerna beliau memang seorang ulama yang disegani, dihormati, sangat terkenal dengan kesederhanaannya dalam fekah dan pemikiran Islam malahan buah fikirnya serta kitab-kitabnya menjadi rujukan kebanyakan gerakan Islam di dunia. Sehari sebelum beliau ke Shah Alam, beliau telah pun dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Malaysia sempena Hari Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1431.

Pada malam yang bersejarah itu, beliau diberi penghormatan untuk mengimamkan solat Maghrib di masjid itu walau dalam keadaan beliau terpaksa duduk di atas kerusi kerana kurang sihat. Sesudah solat, tokoh ini yang terkenal dengan pendirian terbukanya yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab @ juga tidak terikat dengan hanya satu-satu mazhab tertentu sahaja, ternyata selepas beliau memberi salam akhir solat, beliau hanya berzikir secara sunyi-sunyian, tidak kedengaran suara beliau berzikir.

Kalangan makmum yang tidak biasa dengan keadaan itu terpinga-pinga dan tercengang-cengang, saling menoleh ke kiri dan ke kanan, seakan-akan tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Sedangkan, bukankah kesemua makmum itu telah pun 'belajar' berzikir beramai-ramai dengan meninggikan suara (sehingga orang lain yang masih sedang masbuq @ solat sunat -termasuk saya- terganggu selama ini?) selama puluhan tahun kebelakangan ini? Ternyata, kaedah yang mengatakan "orang yang datang ke suatu tempat itu mestilah mengikut mazhab tempat itu sebagai tanda penghormatan @ untuk mengelakkan kacau bilau" telah meleset dalam kes malam ini. Tuan Sheikh yang kita cintai ini dan kita anugerahkan dia tokoh maal hijrah Malaysia -yang lebih alim lagi faqih daripada kita semua- telah tidak menggunakan kaedah di atas.

Apakah kita masih mahu mengatakan bahwa beliau 'tidak tahu' adat (berzikir dengan beramai-ramai dan bersuara tinggi) yang sering kita lakukan sesudah solat selama ini? Apakah akan ada suara-suara yang berani mengatakan 'kita lebih tahu' @ 'lebih faqih' @ 'lebih alim' daripada Tuan Sheikh ini? Ternyata tindakan beliau pada malam itu telah membungkam suara-suara yang tidak suka kepada orang-orang yang beramal melawan arus adat tempatan (baca tulisan saya terdahulu; Mazhab Al-Geografi 1)

Antara kandungan syarahannya, Tuan Sheikh turut menyatakan tentang pentingnya melakukan sesuatu secara berjamaah. Tanpa berjamaah, sudah tentulah hijrah yang dilakukan Rasulullah takkan berjaya dan berlaku. Beliau menyebut ayat dalam Surah Al-Fatihah yang berbunyi: "iyyaka na'budu wa iyyaka nasita'in". Lafaz 'na'bud' dan 'nasta'in' dalam ayat itu bermaksud "kami sembah" dan "kami mohon pertolongan". Lafaz-lafaz ini menunjukkan perbuatan jamak (plural) yang dilakukan secara berkumpulan, dan ia tidak bermaksud tunggal (singular) "saya sembah" dan "saya mohon pertolongan".

Kemudian, tokoh ini juga turut menyebut peri pentingnya perancangan dan strategi dalam kejayaan hijrah Rasulullah. Tanpa perancangan yang mantap dan strategi yang kukuh, sudah tentulah hijrah menemui kegagalan. Sebagai contoh, ada sahabat yang ditugaskan untuk membekalkan makanan dalam perjalanan hijrah, ada sahabat lain yang diberi amanah untuk menunjukkan jalan hala tuju hijrah dan sebagainya.

Tuan Sheikh turut dengan sinis, selamba berseloroh menyatakan, yang diterjemahkan oleh penterjemah malam itu: "Saya ' tak kisah' lah kalau tuan-tuan sekalian mahu menyambut maal hijrah ini dengan perkara-perkara khurafat dan cerita-cerita, kisah-kisah yang tidak benar (ditokok tambah berkenaan hijrah), namun ingin saya nyatakan, saya belum temui mana-mana pun sumber hadith yang sahih yang mengesahkan riwayat yang mengisahkan terdapat labah-labah yang membuat sarangnya untuk menutup pintu gua dan terdapat burung merpati yang turut membuat sarang di pintu gua tempat persembunyian Rasulullah sewaktu hijrah itu".

Antara lain lagi, Tokoh kita ini turut menjelaskan bahwa hijrah amat memerlukan kesabaran sehingga beliau memetik firman Allah: "innallaha ma'assobirin" (maksud: Allah bersama orang-orang yang bersabar). Beliau juga turut mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan tipu daya serta helah orang-orang munafiq yang tidak suka serta benci melihat kemajuan dan perkembangan Islam. Di penghujung syarahan, pengerusi majlis menyebut: "Dato' Seri memohon agar Tuan Sheikh membacakan doa", lalu beliau pun membacakan doa -sebahagian kandungan doa yang dibacakannya itu adalah doa qunut nazhilah- dan diaminkan oleh hampir 4000 orang hadirin. Saya tidak dapat berpeluang bersalam dengan tuan sheikh kerana pihak keselamatan tidak mengizinkan para hadirin berhimpit sesak menghampiri beliau. Namun, saya terasa sungguh puas kerana malam itu saya dapat menatap sendiri dengan mata, mendengar sendiri dengan telinga, wajah dan suara seorang ulama yang saya cintai dan yang saya baca bukunya selama ini. Segala puji dan puja bagi Allah atas peluang ini. "Ya Allah, panjangkanlah usia beliau untuk terus menjadi cahaya pelita penyuluh jalan kami, kerna beliau dalam kalangan pewaris syariatMu..amin.."

Sebagai tambahan, untuk mendapat gambaran menyeluruh (yang hampir tepat) perjalanan syarahan beliau pada malam itu, sila klik di sini.

baca tulisan ini sepenuhnya..

18 December, 2009

Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi ke Malaysia

Sahibul Fadhilah Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi -Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia- akan datang ke Malaysia bersempena program Ma'al Hijrah 1431 di mana beliau insyaAllah akan diberi anugerah sebagai Tokoh Ma'al Hijrah Malaysia 1431 pada hari Juma'at ini bersamaan 01 Muharam 1431 / 18 Disember 2009.


Pada hari Sabtu, 19 Disember 2009 ini di sebelah siangnya, beliau akan menyampaikan ucapan di Majlis Muhadharah Perdana 2009 (klik pada imej) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya. Majlis ini anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertujuan untuk meningkatkan kesatuan fikrah dan perpaduan masyarakat Islam di Malaysia serta menjana pemikiran umat Islam yang dinamik dan progresif. Orang ramai dijemput hadir ke majlis ini dan penyertaannya adalah PERCUMA. Sebarang maklumat lanjut bolehlah hubungi Jakim di talian 03-88864178/4172.

Pada hari yang sama (Sabtu) sebelah malamnya, beliau akan menyampaikan ucapan di:

Tempat: Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Syah, Masjid Negeri Shah Alam
Tarikh: Sabtu 02 Muharram 1431 / 19 disember 2009
Masa: Program bermula dengan solat magrib sehingga tamat.

* Klik di sini untuk membaca sedikit kata-kata beliau tentang kebebasan bermazhab, dalam posting saya terdahulu.

baca tulisan ini sepenuhnya..

02 December, 2009

Jom tengok wayang

Sila klik pada imej untuk besarkan imej.

Untuk maklumat lanjut, sila klik link di bawah:

1. Islamic Book Trust Events
2. Islamic Book Trust Kuala Lumpur
3. Islamic Renaissance Front

baca tulisan ini sepenuhnya..

17 November, 2009

Mazhab Al-Geografi 2

Gambar: Dr. Yusuf al-Qaradhawi, graduan Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar, Ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) dan Presiden Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (International Association of Muslims Scholars). Tahun 1960, beliau memperolehi Kajian Saringan Tinggi yang bersamaan dengan ijazah MA daripada Bahagian Sains al-Quran dan Hadis. 1973, memperolehi ijazah PhD dengan hujahnya mengenai "Az-Zakah fi Hal al-Mushlikat al-Ijtima'iyyah" (Zakat dan Pengaruhnya dalam Penyelesaian Masalah Sosial). Beliau menjawat jawatan sebagai seorang khatib, guru dan penulis di Al-Awqaf dan Al-Azhar. Telah menerbitkan berjumlah 100 buah buku yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Islam, kesusasteraan dan puisi. Antara kitabnya yang terkenal: "Halal dan Haram dalam Islam" dan "Keutamaan Gerakan Islam pada Fasa Akan Datang".

Beliau menyatakan dalam salah satu kitabnya:

"Yang terpenting adalah, hendaklah engkau mengetahui bahawa taklid seorang awam kepada salah seorang imam merupakan hal yang dibolehkan sesuai dengan kaedah dan darjatnya dan (saya kata: namun) ia bukanlah merupakan satu kewajipan (bertaklid) sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama’ kebelakangan. Ini kerana tidak ada sesuatupun yang wajib kecuali apa yang telah diwajibkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah (saya kata: tiada suatu pun menjadi wajib, melainkan ada sandaran atau bukti -dari al-Qur’an dan al-Sunnah- yang menyatakan sesuatu itu wajib). Kenyataannya, kedua-dua sumber tersebut tidak mewajibkannya (nya: bertaklid). Berdasarkan hal ini tidak ada larangan bagi seorang Muslim untuk bebas mengikuti sesuatu mazhab tertentu atau bertanya kepada salah seorang ulama’ yang mudah dihubunginya berkenaan sesuatu masalah yang dihadapinya tanpa harus terikat kepada seorang imam sahaja sehingga tidak boleh bertanya kepada imam yang lain.

Jalan inilah yang ditempoh oleh para sahabat dan orang-orang yang mengikuti jejak mereka pada abad-abad terbaik umat ini. Allah telah menghindari mereka daripada praktik taklid yang tercela ini (iaitu hanya terbatas kepada satu imam atau mazhab sahaja, atau, saya kata: 'taklid buta').

Orang yang paling penting diberi kebebasan dalam menentukan mazhab mana yang ingin diikutinya ialah orang-orang baru memeluk Islam. Mereka boleh sahaja mengikuti apa yang sebenarnya tidak ditetapkan oleh Allah Ta‘ala, iaitu bertanya (saya kata: dengan bebas) kepada mana-mana ulama’ yang mereka kehendaki (saya kata: tanpa dihalang, dipandang serong, dituduh bukan-bukan dsb). Juga sebaiknya untuk mereka, dikarang buku-buku yang bersifat sederhana yang menjelaskan ajaran Islam tanpa terikat kepada satu mazhab tertentu."

*Sumber: Yusuf al-Qaradhawi, "Bagaimana Berinteraksi Dengan Peninggalan Ulama’ Salaf" (edisi terjemahan oleh Ahrul Tsani & Muhtadi Abdul Mun’im, Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2003), mukasurat 118 .

*Untuk membaca posting sebelumnya bertajuk: Mazhab Al-Geografi 1, klik di sini.

*(saya kata = Tuan blog)

bersambung..

baca tulisan ini sepenuhnya..

08 November, 2009

Oksidentalisme

Gambar: Sir Henry Gurney, bekas Ketua Setiausaha Pentadbiran Inggeris di Palestine (1946-1948). Setelah berkhidmat dengan 'cemerlang gemilang' dan 'sangat berjasa' di sana dalam kejayaan penubuhan negara Israel pada 14 Mei 1948, -Sumber- beberapa bulan kemudian, beliau dilantik pula menjadi Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu pada 13 September 1948 -Sumber- bagi menggantikan Sir Edward Gent. Amat sesuai untuk orang Malayu mengenang jasanya, sehingga ada yang mencadangkan supaya didirikan papan tanda khas di tepi jalan Bukit Fraser bagi mengenang lokasi tragedi serangan hendap komunis terhadap beliau sehingga beliau terbunuh - mengapa komunis memilih untuk membunuhnya? Mungkin sesuai dengan jasanya di Palestine, memang sesuai namanya dijadikan nama sekolah 'khas' di Melaka, (Sekolah Henry Gurney) yang masyhur itu. Sumber gambar: di sini.

baca tulisan ini sepenuhnya..

03 November, 2009

Mazhab Al-Geografi

Gambar: Al-Ustaaz Professor Dr. Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (Prof HAMKA, 1908-1981), adalah seorang ulama Nusantara yang mengarang novel cinta memorabilia melankolik romantis bertajuk: "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck", juga pengarang kepada tafsir Al-Quran monumental sentimental berjudul: "Tafsir Al-Azhar". Sumber gambar: di sini. Ulasan gambar: Saya sendiri.

Tamat selingan manja tentang Ayahanda Hamka. Biar saya perkenalkan nama-nama mazhab baru (sebenarnya dah lama) yang telah saya kesan, kepada teman-teman pembaca, seperti berikut: Mazhab Al-Geografi; Mazhab Al-Tradisi dan Mazhab Al-Nenek Moyangi. (Biarkan dulu ketunggang-langgangan tatabahasa Arab saya itu bercampur dengan Bahasa Melayu)

Mazhab Al-Geografi :

Mazhab ini berasal dari tanah semenanjung (semenanjung mana?) dan fahamannya berdasarkan batas-batas sempadan negeri dan negara; para penganutnya sangat pentingkan sempadan, kerana batas-batas sempadan itu jualah menjadi batas amalan mazhab mereka. Orang-orang yang ingin menyampaikan ceramah, termasuk para mufti (bekas, sedang dan akan jadi mufti), para pensyarah pengajian Islam universiti berstatus PhD, Professor, sehinggalah kepada Ustaz Akob Ulu Yam dan Lebai Ayob Kampung Pisang Setandan, mahupun Ustazah Jamaliah yang solehah, mestilah memohon tauliah daripada penganut mazhab ini, sebelum menyampaikan kuliah atau ceramah, kerana dibimbangi kesemua penceramah tadi masuk mengajar mazhab yang berbeza daripada mazhab Al-Geografi itu. Mazhab ini menjadikan mazhab majoriti penduduknya sebagai mazhab rasmi negeri atau negara mereka. Penganut mazhab lain yang minoriti yang memasuki negeri ini, tidak digalakkan berbincang dan mengamalkan mazhab asal, kerana dibimbangi masyarakat tempatan akan terpengaruh, kacau bilau, kecoh mecoh, dan bising-bising dengan mazhab baru yang berlainan daripada mazhab Al-Geografi. Bagi penganut mazhab ini, mazhab Al-Geografi lah mazhab paling benar, paling tepat dan paling bagus.

Mazhab Al-Tradisi (Ultra-tradisi?) :

Mazhab ini mengikut tradisi penduduk setempat. Kalau orang tempatan secara tradisinya bermazhab yang itu, orang lain juga, para pelawat, pelancong asing, mestilah mengikut mazhab yang itu jua. Tidak boleh bermazhab lain. Mazhab ini tidak suka kepelbagaian mazhab. Mereka tidak suka warna warni kepelbagaian mazhab; mereka hanya tahu warna hitam dan putih, dan tidak warna selainnya. Malah TV di rumah-rumah mereka juga masih TV hitam putih. Bagi mereka, mazhab di dunia ini hanya satu sahaja, bukan 4 dan bukan juga 8.

Mazhab Al-Nenek Moyangi :

Sebenarnya, mazhab nenek moyangi ini sama sahaja; (dah letih tambah Al-Al-Al) - adalah sub-mazhab Al-Tradisi, kerana para penganutnya suka mengikut mazhab yang menjadi tradisi turun temurun. Cumanya secara lebih tepat, mereka sekadar mengikut sahaja apa-apa sahaja mazhab yang dianuti nenek moyang mereka sejak dahulu kala - tanpa lebih-lebih soal, tanpa lebih-lebih tanya dan tanpa lebih-lebih fikir. Kalau tanya lebih, nanti dimarahi nenek. Kalau soal lebih, akan dituduh lemah imannya.

Panjang lagi tulisan ni, tapi nanti-nantilah saya sambung tulis. Maaf, ini pun dah panjang.

baca tulisan ini sepenuhnya..

29 October, 2009

C i n ( T ) a



Siang tadi, saat kornea mata saya sudah berpinar-pinar
dengan mainan ratusan angka dan simbol Latin
di atas helaian lembaran putih yang berserakan
di dada meja Perpustakaan Tun Abdul Razak 1,
saya berehat sebentar dengan membelek-belek
Majalah Tempo -terbitan dari Indonesia- maka
tiba-tiba terbitlah Cin(t)a.
Hari ini baru saya tahu dan
belum pun lagi saya tontoninya.

Cin(T)a (2009),
kisah seorang Cina bernama Cina,
kisah seorang wanita bernama Annisa,
dan kisah Tuhan Yang Satu lagi Esa,
enak ditonton mereka yang masih ada telinga,
juga mereka yang masih ada mata.

*Untuk sebarang tuduhan @
sok-sek-sok-sek @ bising-bising di belakang,
ke atas diri saya, sila emailkan terus ke:
ahli.kebenaran@yahoo.com

baca tulisan ini sepenuhnya..