"Abg long, ape penyelesaian terbaik untuk Israel-Palestine?", demikian terjahan soalan Ahmad kepadaku saat kami berdua makan seusai Zohor tadi. Aku terdiam seketika seperti biasa, sedikit termenung dan berfikir sejenak, sambil bibir bergerak-gerak mengunyah. Ahmad yang selama ini aku kenal memang seorang yang kuat bertanya.
24 January, 2009
Gaza
19 September, 2008
Kursus jangka pendek buat para imam solat (1)
Perhatian: "Kursus ini hanya ditujukan kepada para penganut Islam yang akan atau telah menjadi imam dalam solat berjamaah, tetapi masih tidak mahu berfikir soal kebajikan para makmum di belakang mereka selama ini. Kursus ini mungkin tidak berhikmah, berbaur emosi dan dihujani dengan soalan-soalan bernada keras, tetapi masih lagi berada dalam daerah rasional, agar mereka tersentak dan mahu berfikir seketika tentang kebajikan para makmum mereka selama ini. Kursus ini tidak ditujukan kepada para imam yang bijak, mahu berfikir, prihatin dan bertindak menjaga kebajikan para makmum mereka dalam solat"
Wahai para imam solat, ini kursus pertama. Ini soalan-soalannya:
1. Siapa yang telah mengatakan bahawa WAJIB untuk kamu membaca Surah As-Sajdah dalam rakaat pertama solat Subuh setiap kali pagi Jumaat?
2. Jika kamu katakan tidak wajib, mengapa kamu terlalu kerap, malah mungkin tidak pernah berubah dan membaca surah itu secara tetap selama belasan tahun sejak dahulu hingga kini, sehingga kami para makmum merasakan seakan-akan WAJIB hukumnya untuk kamu membaca Surah As-Sajdah dalam solat Subuh setiap pagi Jumaat?
3. Siapa yang telah mengajar kamu agar membaca Surah Al-Insan pula pada rakaat kedua solat Subuh sesudah kamu membaca Surah As-Sajdah pada rakaat pertama tadi?
4. Adakah WAJIB hukumnya membaca Surah Al-Insan pula sesudah membaca Surah As-Sajdah?
5. Tidakkah kamu melihat dan ambil tahu, bahawa di saat kamu menjadi imam, ada pelbagai lapisan dan latar orang yang menjadi makmum kamu, iaitu kanak-kanak, orang uzur, orang yang ada keperluan, orang tua yang tidak mampu berdiri lama, dan lain-lain?
6. Tidakkah kamu tahu, andai Rasulullah masih ada pada hari ini, dan hal ini diadukan kepadanya, nescaya akan merahlah wajah Rasulullah, lantaran marahnya kepada sikap kamu saat menjadi imam solat?
Sekian untuk kursus pertama. Jika tiada perubahan, nantikan kursus kedua.
18 September, 2008
Politik
Ada orang kata politik itu kotor. Politik adalah seni kepada apa yang mustahil. Tiada apa yang mustahil dalam politik. Politik adalah pembohongan. Politik menghalalkan cara, asalkan matlamat tercapai. Dan tanggapan-tanggapan negatif lain pasal politik.
Aku katakan, politik itu suci. Ahli politiklah yang mengotorkannya. Ahli politiklah yang menghalalkan cara yang haram, demi kepentingan peribadinya. Pendek kata, ahli politiklah yang memalit najis pada tubuh politik. Melainkan ahli politik yang ikhlas hatinya. Jujur dan amanah dalam menunaikan tanggungjawabnya.
15 September, 2008
Gagak berlagak merak
Sungguh berani engkau wahai gagak.
Tuhan telah jadikan engkau seekor gagak.
Mengapa dikau cuba berlagak seekor merak?
Biarkan gagak yang berlagak merak.
Biarkan gagak ditempelak dengan lagaknya.
Kerna aku sedang marah dan benci
Kepada manusia yang berlagak Tuhan.
Tuhan pun mohon bukti.
Wahai manusia, kenapa kamu pula tidak datangkan bukti?!
Tuhan pun mahu mendengar.
Wahai manusia, kenapa kamu tidak mahu mendengar?!
Tuhan pun bicarakan para hambaNya dengan adil.
Wahai manusia, kenapa kamu menangkap manusia lain tanpa bicara yang adil?!
Wahai manusia, berani sungguh kamu!
memisahkan kasih dan sayang.
memisahkan jantung dan hati.
memisahkan seorang anak daripada ayahnya!
memisahkan seorang isteri daripada suaminya!
memisahkan seorang insan daripada saudaranya!
Wahai manusia, berani sungguh kamu!
Nantikanlah azab pedih daripada Tuhanmu!
Kerna kamu benar-benar berani. Kerna kamu tunjuk berani.
Wahai manusia, kenapa kamu mengambil tempat Tuhan?
Wahai manusia, kenapa kamu ingin menjadi Tuhan?
Wahai manusia, tidak takutkah kamu dengan azab Tuhan?
09 September, 2008
Wad Semikritikal, Zon Kuning
Jumaat malam Sabtu lepas, saat aku berbaring empuk di atas hamparan putih di balik tirai, tiba-tiba saja terdengar jeritan menangis yang asalnya jauh. Akhirnya mendekat.
"Yah!!..Jangan tinggalkan aku, Yah! Aku sakit..aku sakit!" jerit seorang wanita. Agak muda suaranya. Tidak remaja. Kakinya mungkin patah.
"Aku tak tinggalkan kau, takkan tinggalkan kau..aku ada di sini. Aku tetap ada dengan kau" balas rakannya hampir berulang kali. Aku fikir, itu rakan karibnya. Mungkin mereka baru ditimpa kemalangan. Akhirnya, suara jeritan tadi mula reda apabila kakinya diampu dengan kerangka besi oleh para pegawai perubatan.
Di hujung katil sana, ada seorang wanita tua, yang hanya diam di atas katil putih tetapi bertelekung solat yang terdapat percikan darah padanya. Ada darah yang mengalir keluar dari matanya. Aku tidak sanggup melihat untuk kali kedua. Hanya pegawai perubatan yang sanggup merawat matanya itu.
Tiba-tiba, "Sakit doktor..sakit..sakit" suara di sebalik tirai belakangku pula berbunyi. Kata rakanku yang berada pada sudut yang boleh dilihat, tangannya sedang dijahit oleh pembantu hospital.
Selebihnya, selang seli iringan suara tangisan kanak-kanak yang mengalami luka kemalangan dan tangisan bayi kecil. Sibuk sekali ruang itu. Kesemua suara, menghambur tanpa ritma. Berbaur pelbagai rasa. Mengandung sejuta makna. Di sinilah Zon Kuning, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
05 September, 2008
Ubat
03 September, 2008
Wali dan Ramadhan
Aku dengki dengan para wali. Kata Tuhan, mereka dikatakan tidak takut dan tidak bersedih hati. Yang aku tahu, semua manusia pernah takut dan sedih. Bukan manusiakah mereka ini?
Buat Muhammadiyyun
Selamat bercanda ria
Berpesta temasya
Dalam taman indah
Syurga dunia
Girang gembira
Ramadhan mulia.
21 August, 2008
Pesta sesumpah
Sumpah ada dua jenis. Jenis pertama, sumpah benar. Yakni, tubuh yang bersumpah, berkata benar. Jenis kedua, sumpah palsu. Yakni, tubuh yang bersumpah berkata bohong. Siapa yang berkata benar dalam sumpahnya, sudah pasti akan selamat bila dia dihidupkan sesudah mati. Cuma, semasa hidup di atas dunia, kadang kala dia kelihatan selamat dan kadang kala dia kelihatan ditimpa musibah.
Andai dia selamat, maka segala puji bagi Tuhan. Andai dia tetap ditimpa musibah walau sumpahnya benar, itu adalah ujian dan perancangan Tuhan buat dirinya. Begitu juga tubuh yang bersumpah palsu. Di dunia, kadang kala dia selamat dan kadang kala dia memang menderita lantaran sumpah palsunya. Tapi yang pastinya, dia memang takkan selamat selepas dia dihidupkan semula, melainkan Tuhan ampunkannya.
Laknat Tuhan adalah sesuatu yang abstrak. Subjektif. Kita tidak tahu, apakah sesuatu musibah yang menimpa tubuh yang bersumpah itu, deklasifikasikan sebagai laknat Tuhan-bagi sesiapa yang bersumpah palsu-atau sekadar ujian bagi menaikkan darjat-bagi sesiapa yang bersumpah benar- kerna kita belum ketemu sumber-sumber dalam agama yang mengkelaskan sesuatu musibah itu sebagai laknat Tuhan kepada sumpah palsu. Maka, tiada siapa belum berhak untuk mengatakan sesuatu musibah yang menimpa seseorang itu adalah laknat Tuhan kepadanya, melainkan terdapat alasan dan sandaran yang sahih dalam hal ini.
Bersumpah untuk mendakwa seseorang, tidak boleh dilakukan melainkan dakwaannya itu dibicarakan dahulu dan dibentangkan hujahnya di mahkamah. Mengapa? Kerana andai sumpah boleh didahulukan, maka akan berleluasalah budaya sumpah mudah dalam kalangan masyarakat. Maka, setiap kejahatan juga akan menggunakan alasan sumpah, untuk menutup kejahatan mereka dan akan bertebaranlah sumpah-sumpah palsu dalam kalangan mereka, tanpa dibicarakan di mahkamah terlebih dahulu. Maka, apa yang akan kita katakan kepada sesiapa yang mendahulukan sumpahnya sebelum melalui penghujahan pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah?
Picture source
19 August, 2008
Rasa berTuhan
Ada seorang pemuda Muslim yang kehabisan wang. Dia agak lapar. Masalah pula bertimpa-timpa menghujani dirinya. Sudah terjatuh, ditimpa tangga pula. Dia menangis keseorangan. Teresak-esak. Dia sudah mati akal dan tidak mampu bertahan lagi. Lalu, dia bingkas bangun dari kerusinya dan terus sujud. Sujud yang bukan solat. Hanya sujud semata-mata. Dalam sujud itu dia berbisik sambil teresak berlinangan air mata. Air matanya jatuh menitis di atas hamparan baldu: "Tuhan..jika Kau benar-benar wujud, tunjukkanlah kuasaMu. Aku lapar dan tiada wang. Berikanlah aku makanan. Berikanlah aku wang".
Setelah puas mengadu, dia menyambung kerjanya. Setengah jam kemudian, dengan tidak semena-mena, datang seorang wanita dewasa, mengetuk-ngetuk pintu biliknya. Wanita itu memberikannya sedikit wang. Dan sedikit buah-buahan dari kampungnya. Hati pemuda berbunga dalam diam dan masih tergamam. Hatinya berbisik terkejut: "Oh Tuhan!!..Rupa-rupanya Kau memang benar-benar wujud!! Walau aku belum pernah melihatMu, Kau memang wujud!! Rupa-rupanya Kau melihat dan mendengar keluh esak tangisku tadi. Kau memang Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Melihat. Kau Maha Pemurah dan Kaulah Tuhan sebenar, Yang Satu, Maha Kaya dan Maha Mengasihani..".
Pengalaman bertuhan, adalah berbeza-beza bagi setiap manusia, walau kadang-kadang sama. Boleh jadi, jika pemuda yang lain cuba meniru tanpa tumpah apa yang pemuda Muslim tadi lakukan, belum tentu hasilnya serupa. Boleh jadi juga serupa. Boleh jadi juga tidak membuahkan hasil (pada zahirnya). Boleh jadi juga lain pula jadinya. Pengalaman pemuda Muslim tadi bukanlah suatu yang putus. Tidak mutlaq. Terpulanglah apa sangkaan hamba kepada Tuhannya. Natijahnya, terpulang kepada Tuhan.
14 August, 2008
Kes kajian: Hanya cadangan
Katakan saya berada dalam sebuah mesyuarat. Sudah tentu sepanjang mesyuarat berlangsung, akan berlaku banyak perbahasan, cadangan dan idea dimuntahkan oleh para ahli sidang. Sudah tentu terlalu banyak idea-idea yang tidak bersama, berlainan dan berbeza, kerana kepala para ahli sidang juga berbeza. Akal juga berbeza.Ada seorang ahli mengemukakan pandangan. Hanya pandangan dan cadangan. Saya ulangi, cadangan. Satu cadangan. Hanya cadangan. Cadangan yang belum ada persetujuan bersama. Sesuatu cadangan itu, bukanlah dikatakan sejenis arahan atau paksaan. Hanya cadangan. Tiba-tiba ada ahli lain yang melenting. Mengamuk. Menumbuk meja. Meracau. Membebel tak tentu fasal. Tak tahu hujung pangkal. Kemudian, para pekerja syarikat yang tidak turut sama dalam mesyuarat itu juga mengamuk. Berpiket. Bertindak melampau dan liar. Hanya kerna cadangan (bukan arahan @ pelaksanaan).
Adakah suatu cadangan itu bermaksud suatu arahan?
Hanya kerna cadangan itu berbeza saja?
Hanya kerna suatu cadangan?
Hanya kerna itu?
Wajarkah?
Patutkah?