Gambar ketika syarahan perdana, di hadapan mimbar Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam:
Duduk di kiri, berbaju dan berkopiah putih: Al-Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, selaku penterjemah ucapan Prof. Dr. Yusuf - beliau graduan Universiti Al-Azhar, bekas pensyarah UiTM dan UM, bekas Timbalan Presiden ABIM, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, sekarang memimpin Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Duduk di tengah, berjubah hitam, berserban putih dan sedang berucap: Tuan Sheikh yang kita cintai, Al-Allamah Al-Imam Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi - Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Islam Eropah, Tokoh Ma'al Hijrah 1431 peringkat Malaysia, sahabat dan guru kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim, sehingga ulama ini pernah berjanji dan berikrar suatu masa dahulu (ketika Anwar masih dalam penjara) bahwa beliau tidak akan sekali-kali menjejakkan kakinya ke bumi Malaysia selagi Dato' Seri Anwar Ibrahim masih dipenjarakan dan belum dibebaskan pada waktu itu. Duduk paling kanan, bersongkok bersampin: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor.
Hari Sabtu malam Ahad lepas, saya tergesa-gesa pulang bersama Ummi, Ayah dan adik-adik. Kami dari Kuantan, kemudian terus ke Putrajaya, ziarahi nenek tiri saya yang sedang uzur namun masih petah ramah dan baik hati, di Presint 10 . Namanya memang klasik - Puan Embun. Dalam jam 1900, kami terus menuju ke Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam bagi mengikuti syarahan perdana yang disampaikan oleh ulama tersohor dunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.
Saat kami tiba di masjid, suasana dan kesesakan kenderaan kelihatan seakan-akan sedang berlaku pesta solat Jumaat pada waktu malam. Memang begitulah sambutan terhadap beliau yang saya jangkakan kerna beliau memang seorang ulama yang disegani, dihormati, sangat terkenal dengan kesederhanaannya dalam fekah dan pemikiran Islam malahan buah fikirnya serta kitab-kitabnya menjadi rujukan kebanyakan gerakan Islam di dunia. Sehari sebelum beliau ke Shah Alam, beliau telah pun dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Malaysia sempena Hari Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1431.
Pada malam yang bersejarah itu, beliau diberi penghormatan untuk mengimamkan solat Maghrib di masjid itu walau dalam keadaan beliau terpaksa duduk di atas kerusi kerana kurang sihat. Sesudah solat, tokoh ini yang terkenal dengan pendirian terbukanya yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab @ juga tidak terikat dengan hanya satu-satu mazhab tertentu sahaja, ternyata selepas beliau memberi salam akhir solat, beliau hanya berzikir secara sunyi-sunyian, tidak kedengaran suara beliau berzikir.
Kalangan makmum yang tidak biasa dengan keadaan itu terpinga-pinga dan tercengang-cengang, saling menoleh ke kiri dan ke kanan, seakan-akan tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Sedangkan, bukankah kesemua makmum itu telah pun 'belajar' berzikir beramai-ramai dengan meninggikan suara (sehingga orang lain yang masih sedang masbuq @ solat sunat -termasuk saya- terganggu selama ini?) selama puluhan tahun kebelakangan ini? Ternyata, kaedah yang mengatakan "orang yang datang ke suatu tempat itu mestilah mengikut mazhab tempat itu sebagai tanda penghormatan @ untuk mengelakkan kacau bilau" telah meleset dalam kes malam ini. Tuan Sheikh yang kita cintai ini dan kita anugerahkan dia tokoh maal hijrah Malaysia -yang lebih alim lagi faqih daripada kita semua- telah tidak menggunakan kaedah di atas.
Apakah kita masih mahu mengatakan bahwa beliau 'tidak tahu' adat (berzikir dengan beramai-ramai dan bersuara tinggi) yang sering kita lakukan sesudah solat selama ini? Apakah akan ada suara-suara yang berani mengatakan 'kita lebih tahu' @ 'lebih faqih' @ 'lebih alim' daripada Tuan Sheikh ini? Ternyata tindakan beliau pada malam itu telah membungkam suara-suara yang tidak suka kepada orang-orang yang beramal melawan arus adat tempatan (baca tulisan saya terdahulu; Mazhab Al-Geografi 1)
Antara kandungan syarahannya, Tuan Sheikh turut menyatakan tentang pentingnya melakukan sesuatu secara berjamaah. Tanpa berjamaah, sudah tentulah hijrah yang dilakukan Rasulullah takkan berjaya dan berlaku. Beliau menyebut ayat dalam Surah Al-Fatihah yang berbunyi: "iyyaka na'budu wa iyyaka nasita'in". Lafaz 'na'bud' dan 'nasta'in' dalam ayat itu bermaksud "kami sembah" dan "kami mohon pertolongan". Lafaz-lafaz ini menunjukkan perbuatan jamak (plural) yang dilakukan secara berkumpulan, dan ia tidak bermaksud tunggal (singular) "saya sembah" dan "saya mohon pertolongan".
Kemudian, tokoh ini juga turut menyebut peri pentingnya perancangan dan strategi dalam kejayaan hijrah Rasulullah. Tanpa perancangan yang mantap dan strategi yang kukuh, sudah tentulah hijrah menemui kegagalan. Sebagai contoh, ada sahabat yang ditugaskan untuk membekalkan makanan dalam perjalanan hijrah, ada sahabat lain yang diberi amanah untuk menunjukkan jalan hala tuju hijrah dan sebagainya.
Tuan Sheikh turut dengan sinis, selamba berseloroh menyatakan, yang diterjemahkan oleh penterjemah malam itu: "Saya ' tak kisah' lah kalau tuan-tuan sekalian mahu menyambut maal hijrah ini dengan perkara-perkara khurafat dan cerita-cerita, kisah-kisah yang tidak benar (ditokok tambah berkenaan hijrah), namun ingin saya nyatakan, saya belum temui mana-mana pun sumber hadith yang sahih yang mengesahkan riwayat yang mengisahkan terdapat labah-labah yang membuat sarangnya untuk menutup pintu gua dan terdapat burung merpati yang turut membuat sarang di pintu gua tempat persembunyian Rasulullah sewaktu hijrah itu".
Antara lain lagi, Tokoh kita ini turut menjelaskan bahwa hijrah amat memerlukan kesabaran sehingga beliau memetik firman Allah: "innallaha ma'assobirin" (maksud: Allah bersama orang-orang yang bersabar). Beliau juga turut mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan tipu daya serta helah orang-orang munafiq yang tidak suka serta benci melihat kemajuan dan perkembangan Islam. Di penghujung syarahan, pengerusi majlis menyebut: "Dato' Seri memohon agar Tuan Sheikh membacakan doa", lalu beliau pun membacakan doa -sebahagian kandungan doa yang dibacakannya itu adalah doa qunut nazhilah- dan diaminkan oleh hampir 4000 orang hadirin. Saya tidak dapat berpeluang bersalam dengan tuan sheikh kerana pihak keselamatan tidak mengizinkan para hadirin berhimpit sesak menghampiri beliau. Namun, saya terasa sungguh puas kerana malam itu saya dapat menatap sendiri dengan mata, mendengar sendiri dengan telinga, wajah dan suara seorang ulama yang saya cintai dan yang saya baca bukunya selama ini. Segala puji dan puja bagi Allah atas peluang ini. "Ya Allah, panjangkanlah usia beliau untuk terus menjadi cahaya pelita penyuluh jalan kami, kerna beliau dalam kalangan pewaris syariatMu..amin.."
Sebagai tambahan, untuk mendapat gambaran menyeluruh (yang hampir tepat) perjalanan syarahan beliau pada malam itu, sila klik di sini.
21 December, 2009
Mazhab Al-Geografi 3: Cerita panjang kuliah Sheikh Yusuf
Label:
kuliah shah alam,
yusuf al-qaradhawi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
siasat dari mana datangnya riwayat labah-labah dan burung merpati. juga riwayat ketika peristiwa di gua itu kononnya cicak membuat bising yang memberi pertanda kepada kafir quraisy bahawa terdapat jiwa di dalam gua.lantaran peristiwa itu, cicak dan cucu cicitnya harus dilastik jika ditemui.
suhaib, aku rasa cukup kot dgn posting ni, takyah lg aku sms crita. :) tp ada skit lg crita smpingan, nntila aku crita.
- ksian gak aku dg cicak, xpsl2 cicak kena aniaya. bukan stakat cicak generasi nabi, malah keturunan cicak jgk dihukum kejam sbgitu. sdgkn kisah cicak ni pn kita blum tahu hujung pangka. astaghfirullah. sdgkn dlm kalangan manusia pn, anak2 tak mwarisi dosa bapa. inikan lg bapa cicak. :)
assalamualaikum..
alhamdulillah,saya sudah membaca posting saudara yang terbaru ini..
menarik.. bertuah diberi peluang bertemu dgn beliau.
Ish..malam itu rasa ralat tak dapat pi. Aku berada di rumah pakcik aku di Shah Alam seksyen 18. Aku masa tu baru pulang dari Malaka. Moga Allah berikan aku peluang utk bertemu Dr yusuf di lain masa. Ameen.
Post a Comment