11 August, 2009

Kemajmukan yang harmoni

Sabtu malam Ahad lepas (8-8-09), saya dan A. Fadhli ke pesta buku GerakBudaya, Petaling Jaya. Hampir jam 1900 kami tiba di GerakBudaya, sebuah banglo nyaman, hijau berhalaman, bernombor 11, Jalan 11/4e, dalam Seksyen 11, Petaling Jaya. Banglo ini mirip hampir-hampir seperti banglonya Syarifah Amani dalam filem arahan Yasmin: Sepet. Memang cantik lamannya.

***
Saya membelek buku-buku yang terhidang enak di atas 4 rak di hadapan halaman banglo ini. Lebih kurang 10 orang pengunjung pelbagai bangsa sedang khusyuk memilih buku. Mungkin hanya saya dan A. Fadhli sahaja yang berbangsa Malayo. Entah-entah pengunjung pagi tadi lebih ramai berbanding sebelah petang-senja. Saya disambut dengan senyuman seorang perempuan Cina pertengahan usia. Silakan, katanya. Mungkin dia antara pemilik banglo GerakBudaya yang menganjurkan pesta buku itu. Saya terus mencari-cari buku bertajuk kurang lebih: "Ruang Awam dan Masyarakat Sivil" yang dipesan Suhaib. Namun, puas saya mencari, tetap enggak ada bukunya. Saya akhirnya memilih buku untuk saya, air tangan Prof. Kong Yuanzhi yang bertajuk panjang: "Muslim Tionghoa-Cheng Ho (laksamana)-Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara" yang disunting oleh Prof. H. M. Hembing Wijayakusuma, kata pengantar oleh Prof. Ali Yafie.

***
Sambil terus membelek dan memilih buku-buku lain, saya berkenalan dengan seorang pengunjung lelaki Cina yang sedang berdiri di sebelah saya. Dia tersenyum. Teoh namanya. Ingin sekali saya berseloroh ringan: "Nama anda, sama seperti nama yang seorang lagi di pejabat SPRM, Plaza Masalam itu yang belum selesai kesnya". Namun, saya matikan saja niat itu. Sensitif. Kemudian saya disapa mesra oleh En. Chong, mungkin pemilik banglo merangkap tuan rumah pesta buku itu. Dia Cina yang berbicara gaya Indonesia separa pekat. Bila saya tanya, dari mana beliau berasal? Jawabnya: "iya, saya tinggal saja di sini, tetapi saya berasal dari Nusantara, kita semua dari rumpun yang sama, kan begitu?". Saya sedikit tercengang mendengar seorang Cina berbicara gaya Indonesia, seperti tercengangnya saya suatu masa dahulu melayan seorang lelaki Cina yang berbahasa Kelantan pekat, di sebuah stesen minyak. En. Chong mempelawa saya dan A. Fadhli untuk menikmati hidangan nasi lemak yang disediakan percuma untuk para pengunjung. Seperti tahu apa yang saya bimbangkan, En. Chong membalas: "Jangan bimbang, di sana itu nasi lemak Muslim Indonesia", sambil tersenyum. Kelihatan juga seorang bibik indon sedang menyusun pinggan-pinggan bersih di situ.

***
Tiba waktu Maghrib, saya yang tidak biasa dengan kawasan itu, sengaja berkenalan singkat dengan seorang India yang sedang memegang banyak buku. Uthaya namanya. Inilah pertama kali dalam hidup, saya bertanya lokasi sebuah masjid kepada seorang India. Sengaja saya buat begitu. Saya ingin mengkaji serba sedikit pluralisme di Malaysia. Beberapa minggu sahaja lagi saya akan bentangkan pendapat saya berkenaan pluralisme di hadapan rakan-rakan. Uthaya dengan ramah sekali menjelaskan lokasi masjid terdekat dan jalan mana yang harus dipilih untuk ke situ. Kesungguhan Uthaya semakin bertambah dengan lakaran peta ringkas olehnya sebagai panduan tambahan untuk saya ke masjid. Uthaya seakan bimbang jika saya tersesat, sebab itu dia membuat lakaran tambahan. Saya akhirnya sampai ke masjid berbantukan lakaran itu dan terus bersolat maghrib. Terima kasih tak terhingga atas keramahan semua. "Assalamu 'ala manittaba'al huda".

baca tulisan ini sepenuhnya..

10 August, 2009

Sebenarnya, Me-layu @ Mala @ Malaiur?

Ringkas saja posting ini. Sekadar mahu mencetus. Dahulunya, sebelum Malaysia, tanah ini namanya Semenanjung Tanah Malayu. Malaya. Dan kemudianya, Malaysia. Bukan Me-laysia. Habis, kenapa tiba-tiba saja menjadi Me-layu, dan bukan Ma-layu? Ada yang berkata, apa gunanya sekadar mengubah nama sedangkan tiada perubahan sikap? Saya belum mahu berbincang hal itu. Saya cuma ingin katakan, ada orang yang mindanya mungkin telah terprogram (mindcontrol? Sub-conscious mind?) dek kerana nama bangsanya Me-layu. Anggapannya, terma Melayu itu lahir daripada kata kerja layu, seterusnya me-layu. Betulkah nama asal bangsa ini bangsa Mala?

*Senarai bacaan, renungan, kajian kritikal tambahan:
1. Shaharir Mohammad Zain
2. mistisfiles
3. sejarahnagarakedah
4. bangsa Melayu yang hilang

*Sumber gambar di sini

baca tulisan ini sepenuhnya..

02 August, 2009

Ustaz call rancangan ScoreBoard, TV3

Isnin lalu (27/7/09), saya secara tak sengaja ikuti rancangan yang saya agak kurang minat-scoreboard-di tv3. Namun sekali sekala saya tetap tontoninya. Rancangan itu menjemput otai-otai badminton negara -adik-beradik, anak-anak Sidek. Seperti biasa, akan ada penonton yang akan membuat panggilan untuk menyumbang pendapat, idea dan kritikan membina demi kemajuan sukan negara.

Tiba-tiba, malam itu, apa yang membuatkan saya teruja dan agak terkejut, Ustaz Wan Sohor Bani telah berjaya membuat panggilan telefon ke program itu. Otai-otai badminton pun kelihatannya sedikit terkejut dan turut senyum-senyum. Mungkin mereka tidak menyangka bahawa seorang bergelar ustaz akan membuat penggilan ke sebuah program sukan di TV dan memberikan komentarnya terhadap sukan badminton negara malam itu. Ustaz telah memberikan pandangan peribadinya dan teguran positifnya terhadap mutu dan persembahan perlawanan pasukan badminton negara baru-baru ini.

Apa yang amat menyenangkan hati saya ialah: seorang bergelar ustaz telah berjaya keluar daripada imej kebiasaannya (bagi seorang yang bergelar ustaz: kuliah, masjid, kopiah, jubah, tazkirah, solat), malah telah mengharumkan nama golongan agamawan, dengan turut terlibat mengambil tahu hal-hal sukan sebagai contoh. Ini mencerminkan keluasan agama yang dianutinya, seperti yang sering mereka laung-laungkan: "Islam is the way of life", kerana mereka turut mengambil tahu hal-hal sukan. Jika begini sikap agamawan (juga tanpa imej yang 'menakutkan'), maka insyaAllah saya amat yakin mereka semua akan semakin mudah dan senang didekati masyarakat kebanyakan.

Firman AllaLh S.W.T:

Maksudnya:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati (terhadap mereka dalam menyampaikan dakwah), nescaya tentulah mereka akan menjauhkan diri daripada kamu."
(surah Ali-Imran : 159)

*saya telah pun menulis komen balas terhadap isu yang dibangkitkan dalam komen posting catatan remeh temeh 3.

baca tulisan ini sepenuhnya..

27 July, 2009

Catatan remeh temeh 3

Belum pun sempat saya menulis dan menyambung perbincangan topik dalam catatan remeh temeh 2, saya sudah terlalu kepingin dan mengidam melaporkan kes yang berlaku pada saya semalam. Tak apa lah, nanti-nantilah saya sambung menulis catatan remeh temeh 2 itu. Harap kawan-kawan bersabar ya.

Begini ceritanya, semalam, saya bersama H.Fansuri, S.Azman dan adiknya, Firdaus, ke kedai buku MPH di Jaya Jusco Wangsa Maju. Tiba waktu maghrib, saya yang memang sudah sedia dalam keadaan berwudhuk, masuk ke dalam surau untuk menunaikan solat maghrib. Ada dua kelompok manusia dalam surau yang sempit saat itu. Pertama, kelompok yang sedang solat berjamaah menghabiskan rakaat terakhir. Kelompok kedua (kelompok saya) sedang berdiri di bahagian belakang, menanti kelompok pertama habis solat. Kelompok kedua tak dapat solat kerna ruang yang sempit berhampiran paip wudhuk. Bila imam kelompok pertama memberi salam, dia teruskan dengan berzikir pula, lalu disusuli berdoa. Kelompok kedua masih menanti dengan sabar.

Setelah mereka tamat berdoa dan telah bangun, barulah kelompok kedua berpeluang untuk solat. Kelompok kedua sungguh bertuah, kerna seorang lelaki yang menampilkan dirinya ke hadapan untuk menjadi imam, memahami suasana ketika itu -suasana waktu maghrib yang pendek dan singkat -jumlah orang ramai yang ingin solat -ruang surau yang kecil dan sempit -orang ramai yang mempunyai pelbagai hajat dan urusan yang perlu diselesaikan dengan segera, -serta permasalahan lain yang timbul kala itu.

Imam kelompok kedua ringkas saja bacaan surahnya. Ringan saja pergerakan solatnya. Dia memang memahami keadaan makmum dan suasana surau itu yang tidak menyelesakan dan masalah-masalah lain. Sebaik saja dia memberi salam penyudah solat, dia bingkas saja bangun dengan selamba. Tanpa zikir. Tanpa doa. Dia memang benar-benar faham suasana dalam surau itu dan keperluan jamaahnya, kerna sudah ada kelompok ketiga pula yang sedang menunggu untuk solat.

Inilah pertama kali dalam hidup, saya melihat seorang imam solat yang bijak dan berani melakukan begitu di tempat awam sebaik saja sudah memberi salam solat. Telah lama saya nantikan kehadiran imam sebegini yang memahami suasana persekitarannya. Hati kecil saya memang memuji tindakannya saat itu. Sebelum-sebelum ini, seringkali saja saya 'kecewa' sewaktu singgah solat di hentian-hentian rehat PLUS, surau-surau pasaraya dan stesen-stesen minyak, kerna imamnya tidak memahami keadaan sekeliling. Ada yang panjang bacaan surahnya. Ada yang -berzikir-berdoa- panjang-panjang walaupun ramai orang belum solat sedang menantinya bangun.

Saya tidak salahkan imam kelompok pertama kerna saya berbaik sangka dengannya. Mungkin dia tidak memahami suasana di belakangnya, atau tidak terlintas di fikirannya tentang masalah-masalah yang timbul di persekitarannya. Jika saya berpeluang memberitahunya, saya akan nyatakan bahawa antara doa, zikir dan solat fardhu, solat fardhu lah yang lebih penting. Zikir dan berdoa pula, tidak semestinya dilakukan juga sebaik sesudah solat memandangkan terdapat ramai lagi orang yang belum solat di belakangnya dan sedang menantinya bangun.

Dalam Shahih Muslim, Kitab al-Solat, Bab menyuruh imam meringankan bacaan solat, hadis no: 468, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Imamilah kaum kamu, sesiapa yang menjadi imam (solat) sesuatu kaum maka hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan; kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang-orang tua (yang mungkin uzur dan tidak boleh berdiri lama -saya); kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada yang sakit; kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada yang lemah; dan kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang yang mempunyai urusan (urusan: yang perlu diselesaikan atau disegerakan -saya). Apabila salah seorang daripada kalian solat bersendirian, maka solatlah sekehendak dirinya" (sekehendak dirinya: terpulang kepadanya jika ingin memanjangkan solat sesuka hatinya. Tidak boleh dia memberatkan atau memanjangkan solat jika dia sedang menjadi imam -saya).(Sumber hadith)

baca tulisan ini sepenuhnya..

21 July, 2009

The Lucky Laki - Superman

baca tulisan ini sepenuhnya..

12 July, 2009

Wahai Allah.. (updated)

Sudah lama dan puas saya mencari lagu bertajuk 'Araftuka' ini sejak pertama kali telinga saya mendengarnya dari saluran ikim.fm yang berkumandang di corong peti suara kereta Myvi hitam arwah sahabat baik saya pada tahun 2003 dahulu. Waktu itu, sedang senja-senja, kami berdua berkereta. Dia berkopiah putih. Di lehernya tersangkut serban putih yang sengaja dibiarkan terbuka lalu dia jadikannya 'muflar' seperti pelakon cerita Korea; Winter Sonata. Hujan masih renyai-renyai kala itu. Saya palingkan wajah menghadap kaca jendela kereta di sebelah kiri saya. Bebola mata saya mula sebak bergenang mendengarkan lagu, sambil redup memandang menembusi jendela Myvi, tanpa sahabat saya itu sedar. Ada sesuatu yang bergetar di dada.

Sila klik butang 'Play' untuk menikmati suara lunak merdu penyanyi yang sampai hari ini saya belum tahu namanya. Liriknya memang indah puitis sekali. Liriknya saya letakkan di bawah. Selamat menikmati.



عرفتك يا رب قبل المتاب
عرفتك مذ ذاك قلبى الصعاب

Kutahu Engkau Wahai Tuhan..sebelum penyesalan
Kutahu Engkau tika hatiku merasa susah


عرفتك في كل شيء بدا
وفي البحر أو في جمال الهضاب

Kutahu Engkau dalam setiap sesuatu yang bermula
Dan di laut atau pada kecantikan anak bukit


عرفتك في كل شيء بدا
وفي البحر أو في مرور السحاب

Kutahu Engkau dalam setiap yang bermula
Dan di laut atau dalam pergerakan awan


وفي نسمات الهدى زقتها
نسيت بها طيبات العتاب

Dan dalam bayu petang kurasakan hidayah
(namun) Kulupakannya di ambang kebaikan


فيا رب صن قلبي عن نزغة
تريه الضلال نقي الثياب

(x2)
Maka Tuhan lindungilah hatiku daripada tertusuk
Perlihatkanlah kesesatan.. sucikanlah pakaiannya (hati)


وخذ بي بحبك نحو علاك
وهب لي رضاك وحسن المـآب

Lindungilah daku (daripada keburukan)
Dan bawalah daku kepada cinta-Mu..setinggi-Mu
Dan kurniakan daku keredhaan-Mu dan sebaik-baik kepulangan (kepada-Mu)
Kutahu Engkau Wahai Tuhan sebelum penyesalan


وخذ بي بحبك نحو هداك
وهب لي رضاك وحسن المـآب

Lindungilah daku (daripada keburukan)
Dan bawalah daku kepada cinta-Mu..hidayah-Mu
Dan kurniakan daku keredhaan-Mu dan sebaik-baik kepulangan (kepada-Mu)
Kutahu Engkau Wahai Tuhan sebelum penyesalan



*credit:

1. Lirik terjemahan diambil dari WEWR Entertainment (dengan sedikit olahan oleh saya).

2. Sumber lirik versi arab di sini.

**terdapat sedikit perbezaan kecil dalam lirik nyanyian 'Araftuka' versi Muhammad Al-Husayan feat Kumpulan Raihan. Mp3 yang saya sediakan ini adalah versi yang lebih awal dan klasik.

baca tulisan ini sepenuhnya..

05 July, 2009

Perkembangan kefahaman Islam: konteks peribadi (catatan remeh temeh 1)

(23 jun 09)
Sewaktu saya masih budak-budak dan remaja, saya diajar bahwa saya perlu berwuduk sebelum memegang Al-Quran. Saya juga memahami bahwa wanita perlu bertelekung putih penuh sewaktu mendirikan solat; wanita yang sedang haid tidak boleh membaca ayat suci Al-Quran; wanita haid tidak boleh memasuki masjid; apabila kulit lelaki ajnabi menyentuh kulit wanita -atau- kulit suami menyentuh kulit isteri, maka wudhuk mereka berdua terbatal. Dan banyak lagi. Kandungan tulisan ini berkisar dan menjurus kepada pengamalan dalam agama Islam secara khusus.

(5 Julai 09) Sambungan:
Sebenarnya, secara peribadi saya tidak suka untuk menulis posting yang panjang-panjang, kerna prinsip saya, kalau boleh, biarlah tulisan saya pendek dan ringkas, asalkan padat dan sarat maklumat; asalkan saya berpeluang berkongsi dan menghebah maklumat bermanfaat dengan para pembaca, manakala para pembaca pula memperoleh manfaat; terasa ringan; mudah dan tidak mengambil waktu yang panjang untuk membacanya lantaran kesibukan masing-masing. Saya tidak mahu para pembaca terasa berat dan payah. Namun, kadangkala saya dengan berat hati terpaksa panjangkan tulisan saya lantaran banyaknya maklumat untuk dikongsi bersama pembaca. Sebagai contoh, mungkin seperti sambungan tulisan terbaru ini. InsyaAllah, saya akan tuliskan satu persatu.

Pada detik tertentu dalam hidup, kita menerima sesuatu maklumat baru, kita menganalisisnya lalu kita membuat rumusan, akhirnya membuat keputusan mengamalkannya, khususnya dalam hal-hal pengamalan agama, dan perkara-perkara lain dalam hidup kita amnya. Kesemua proses tadi -insyaAllah- pasti dikurniakan ganjaran oleh Allah kerana kita telah berusaha dengan -jujur-berfikir-memerah minda-(berijtihad?) untuk mengamalkan sesuatu amal itu, dan dengan syarat bukanlah dilakukan dengan rasa 'nakal' atau dengan niat 'melepaskan diri' atau niat buruk lain.

Kesemua proses penemuan dan penerimaan maklumat ini (maklumat: Nas dan dalil daripada hadith atau Al-quran) terus berlaku sepanjang kita hidup, mengalami perkembangan, perubahan demi perubahan secara pesat jika terdapat maklumat baru lain yang diterima atau dipelajari, lalu maklumat baru itu memperbetulkan maklumat yang lama. Proses ini takkan pernah habis selama-lamanya sehinggalah kita menemui ajal nanti.

Saya melihat perkembangan diri saya secara peribadi. Dahulu, seperti dalam perenggan pertama, sewaktu saya remaja, dengan maklumat yang ada di tangan saya pada waktu itu, sebagai contoh, saya merumuskan dan berfahaman bahawa wanita Islam yang ingin menunaikan solat, mestilah mengenakan pakaian 'rasmi' (telekong) untuk bersolat yang dibawa bersama ke mana-mana; mestilah berwarna putih kesemuanya; mestilah itu; mestilah ini. Demikian pemahaman saya pada waktu itu.

Namun, waktu terus berlalu, maklumat pula makin bertambah; kefahaman saya pula berkembang pesat. Dan kini, saya mengubah kefahaman saya berkenaan pakaian rasmi tadi. Maka rumusan terkini saya berkenaan hal ini ialah; adat kebiasaan Nusantaralah, khususnya Malaysia, yang telah memperlihatkan kaum wanita selalu dan hanya selalu memakai set kain putih yang digelar sebagai telekung itu setiap kali mereka bersolat sehingga pernah timbul anggapan bahawa telekung itu adalah sejenis pakaian yang wajib bagi seorang wanita untuk mendirikan solat.

Sedangkan Islam tidak pernah mengkhususkan suatu pakaian 'rasmi' dengan warna yang rasmi (putih) sebagai warna pakaian wanita untuk bersolat. Hal ini tetap saya sentuh walaupun sesetengah orang memandangnya sebagai hal sensitif yang remeh, kecil, tidak penting dan tidak perlu di-persoal-bincang-panjang-kan. Saya tidak mahu para wanita Islam merasa susah dengan tabiat ini (pergi ke mana-mana membawa beg telekong) kerana Allah juga tidak mahu para hambaNya susah:

"Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.." (Surah 2: 185)

Malah, kerapkali juga bibir kita mengatakan "Islam itu mudah", seperti hadith di bawah, namun hati kecil dan tindakan kita seperti 'tidak mahu' akur dengan kemudahan Islam sehingga kita sendiri mempersulitkannya. Sesungguhnya Allah menyukai kemudahan terhadap hambaNya sepertimana Dia membenci maksiat kepadaNya.

Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan sekali-kali tidaklah seseorang memperberatkan agamanya melainkan akan 'dikalahkan', dan (dalam beramal) hendaklah pertengahan (yaitu tidak melebihi dan tidak mengurangi), bergembiralah kalian, serta mohonlah pertolongan (didalam ketaatan kepada Allah) dengan amal-amal kalian pada waktu kalian bersemangat dan giat"

Al-Imam Al-Hafidz Ibnu Hajar Al-Asqalani menjelaskan maksud ungkapan "Sesungguhnya agama itu mudah" dalam kitab besarnya, "Fathul Baariyy"; Kitab penjelasan kepada kitab Sahih imam Al-Bukhari 1/116, beliau berkata: "Islam itu adalah agama yang mudah, atau dinamakan agama itu mudah sebagai ungkapan lebih (mudah) berbanding agama-agama sebelumnya kerana Allah Jalla Jalaluhu telah mengangkat dari umat ini beban (syariat) yang dipikulkan kepada umat-umat terdahulu. Contoh yang paling jelas tentang hal ini adalah; (dalam masalah taubat), taubatnya umat terdahulu adalah dengan membunuh diri mereka sendiri. Sedangkan taubatnya umat ini adalah dengan meninggalkan (perbuatan dosa) dan berazam (berkemauan kuat) untuk tidak mengulangi.

Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah menyukai kemudahan-kemudahan yang diberikanNya (kepada hambaNya), sebagaimana Dia membenci orang yang melakukan maksiat (kepadaNya)" (Hadits Riwayat Ahmad 2/108, Ibnu Hibban 2742 dari Ibnu Umar dengan sanadnya yang Sahih)

Berikut adalah beberapa maklumat yang telah mengubah pendirian dan kefahaman saya dalam hal ini berkenaan pakaian wanita untuk bersolat;

1. Dari A'isyah radiallahu-anha bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: "Tidak diterima solat seorang wanita yang telah baligh kecuali dengan memakai kain tudung (Khimar)". (Maksud hadith riwayat Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi, Sunan Tirmizi - no: 0374)

2. Ummu Salamah radiallahu-anha berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah sallallahu - alaihi - wasallam: "Bolehkah wanita mengerjakan solat dengan memakai (penulis: dengan hanya) pakaian panjang -labuh- (Dar'u) beserta tutup kepala tanpa memakai kain sarung (Izar)?" Beliau bersabda: "Boleh, apabila pakaian panjangnya itu (Dar'u) (saya: labuh sehingga) dapat menutupi kedua telapak kakinya." (Maksud hadith riwayat Imam Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 0611.)

Dari dua maklumat di atas ini, saya gariskan beberapa rumusan di peringkat diri saya:

1. Berdasarkan hadith pertama, antara pakaian asas wanita untuk solat ialah memakai tudung kepala, atau dalam bahasa Arabnya 'khimar'. Tudung kepala ini labuh sehingga menutupi dada. Hal ini selari dengan ayat: "dan hendaklah mereka menutup bahagian dada mereka dengan tudung kepala mereka" (surah an-Nur: 24-31). Jika tudung biasa yang selalu dipakai ketika keluar berjalan-jalan oleh para wanita Islam di luar sana kebetulan memenuhi ciri-ciri ini, maka bolehlah terus saja menggunakan tudung itu, untuk bersolat, asalkan tudung itu bersih, dan tanpa mengira warnanya; seperti mana kaum lelaki yang bersolat dengan memakai pakaian biasa ketika keluar rumah, asalkan bersih.

2. Selain tudung, berdasarkan hadith ke dua, apa yang saya faham dan rumuskan, wanita Islam yang ingin menunaikan solat perlulah memakai pakaian yang menutup tubuh mereka bersama-sama tudung (yang memenuhi ciri-ciri menutup aurat). Pakaian itu mestilah longgar, tidak ketat mengikut bentuk tubuh. Kaki mereka pula hendaklah terlindung ketika solat. Pakaian "Dar'u" (seperti jubah) yang disebut dalam hadith tadi adalah antara pakaian orang Arab, namun, ini tidak bermakna wanita lain juga wajib meniru atau memakai jubah untuk bersolat. Maka mana-mana pakaian yang dipakai oleh wanita Islam di luar sana yang kebetulan memenuhi ciri-ciri yang saya sebutkan ini dan boleh menutup kaki, maka bolehlah terus digunakan untuk bersolat, asalkan bersih. Tidak semestinya dengan hanya mengenakan telekong untuk bersolat.

Demikian kefahaman terkini saya dalam bab pakaian wanita Islam untuk solat. Namun saya bukan seorang anti-telekong. Wallahua'lam.

** p/s: Saya tidak pernah memaksa sesiapa pun untuk menurut kefahaman saya. Saya hanya mendedahkan, menjelaskan dan ingin berkongsi. Saya sentiasa terbuka untuk perbincangan, teguran mahupun kritikan membina, terutama dalam hal ini. InsyaAllah, saya berlapang dada dan menghormati sesiapa juga yang berbeza pendapat dengan saya. Sesungguhnya Rahmat Allah sentiasa bersama dengan mereka yang bijak berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat dan sentiasa mahu merebut kemudahan yang Allah sendiri telah anugerahkan kepada para hambaNya dalam agama yang diturunkanNya.

baca tulisan ini sepenuhnya..

23 June, 2009

Pemilihan yang tidak adil?

Seorang guru baru saja masuk sebuah kelasnya yang baru. Pelajar baru saja mendaftar dan masuk kelas. Seperti biasa, pabila kelas baru bermula, guru tadi mengendalikan sesi pemilihan (baca: pilihanraya) ketua kelas. Lumrahnya, mana-mana pelajar yang memperoleh undian tertinggi (majoriti) ahli kelas akan meraih jawatan ketua kelas itu.

Katakan dua nama dicalonkan; si A dan si B. Bilangan pelajar kelas itu, katakan, 40 orang. Katakan 30 pelajar kelas itu daripada kalangan budak-budak nakal, jahat, pemeras ugut, pembuli dan kaki pukul, manakala bakinya, adalah budak-budak baik belaka. Si A daripada golongan pertama, dan si B daripada golongan ke dua.

Secara logiknya, siapakah yang kita jangkakan memenangi jawatan ketua kelas itu setelah undian berakhir?

baca tulisan ini sepenuhnya..

19 June, 2009

Tiada lagi Madihah ke-2?

Saya belum sempat respon ucapan Obama di Mesir baru-baru ini. Nanti-nanti lah saya tulis tentang dia, walau ramai yang sibuk dengan kerajaan perpaduan. Tulisan kali ini mungkin sedikit provokatif. Semacam tidak bersikap ilmiah. Tak apalah, selamba saja. Saya nak meluah.

Belajar memang susah. Itu dah memang sunnah (lumrah) dalam belajar. Kejayaan suatu entiti, manakala kesusahan pula suatu entiti yang lain yang memang terpisah. Cumanya, jangan ada unsur paksaan dalam belajar. Sama ada daripada mak, ayah atau keluarga.

Biar saya pilih sendiri apa yang saya minat. Biar saya pilih jumlah subjek yang saya ingin ikuti dalam belajar. Itu hak saya. Saya yang pilih, jadi saya tahu di mana tahap diri saya. Saya tahu sejauh mana saya akan pergi. Saya sendiri yang tahu sejauh mana kemampuan saya. Andai saya tak mampu, masakan saya teringin mengambil 20 subjek sekaligus dalam peperiksaan SPM?

Cuma, penghargaan patut diberikan kepada mereka yang memberikan panduan dan bimbingan dalam membuat pilihan. Apa sebenarnya yang ada dalam benak hati kecil kalian jika saya mengambil berpuluh subjek dalam peperiksaan SPM? Kalian takut saya bijak? Kalian bimbang saya genius? Kalian gusar jika saya akhirnya pulang 'menentang' menggugat kalian? Atau kalian berasa kerdil jiwa -malu- dengan saya lantaran jumlah subjek yang saya ambil melebihi jumlah subjek yang kalian ambil sewaktu muda-muda dahulu? Jika malu dengan saya, apa salahnya jika kalian mengambil cuti belajar sebentar daripada kerja menjadi menteri dan duduki semula peperiksaan SPM bersama-sama saya? Pada waktu itu saya takkan cemburu sedikitpun andai kalian mahu mengambil 30 subjek sekalipun. Silakanlah. Saya amat alu-alukan. Seperti mana saya amat tidak faham kenapa ada orang yang sanggup berjeket tebal atau bertali leher sambil berjalan-jalan di tengah-tengah bandaraya-tengahari-Malaysia-Khatulistiwa (Khottu Al-istiwa') kerana semata-mata ingin bergaya, maka seperti itulah juga saya tidak faham dengan orang yang beralasan bahawa dengan mengambil jumlah subjek yang sedikit dalam peperiksaan SPM akan menjimatkan kos menghadiri kelas tambahan berbayar. Saya ingin bertanya, adakah menghadiri kelas tambahan berbayar itu suatu kewajipan atau sebenarnya suatu pilihan sahaja?

Kalian juga beralasan bahawa kalian sukar membuat pilihan sewaktu proses pemilihan penganugerahan biasiswa kepada orang-orang seperti saya. Maaf, hal itu bukan masalah saya, tetapi masalah kalian yang perlu kalian selesaikan sendiri kerana kalianlah yang memegang amanah kepimpinan negara. Kalianlah yang lebih utama untuk memikirkan perjalanan sistem pemilihan biasiswa itu.

Kalian ujar kalian mengagumi para ilmuwan terdahulu. Kalian kata mereka menguasai hampir kebanyakan disiplin ilmu. Nama-nama seperti Newton, Khwarizmi, Da Vinci, al-Farabi, Einstein dan nama mereka yang lain seringkali meniti di bibir kalian. Namun, pabila saya berkeinginan mencontohi mereka dan menelusuri jejak mereka, tiba-tiba saja kalian mahu mengkaji. Halangan pertama kalian ialah jika kalian memutuskan untuk menghadkan jumlah subjek yang boleh diambil dalam peperiksaan SPM. 

baca tulisan ini sepenuhnya..

16 June, 2009

Lagu: Dr. Burhanuddin Al-Helmy, oleh Black

baca tulisan ini sepenuhnya..