18 June, 2014

Sikap manusia pada hari Akhirat

Sikap manusia pada hari Akhirat - Peringatan buat diriku supaya kekal yakin dengan hari Kebangkitan. 

Firman Allah, lihat terjemahan Surah Al-An'aam, ayat 27-32:

(27) "Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: "Sekiranya kami dikembalikan ke dunia, maka kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman" 

(28) (Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) "bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta"

(29) "Dan tentulah mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati".

(30) "Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah berfirman lagi: "Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar". 

(31) "Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu."

(32) "Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?"

baca tulisan ini sepenuhnya..

02 December, 2013

Sultan yang bersolat Asar di masjid


(Gambar kiri sekadar hiasan)
Petang itu, aku sedikit terlewat datang bersolat Asar di masjid negeri. Aku sempat masbuq bersama imam. Beberapa minit kemudian, datang seorang yang berseluar khakis turut solat dan masbuq betul-betul di sebelahku. Selesai imam memberi salam, kami sama-sama bangun menyelesaikan rakaat kami yang masih berbaki. Sewaktu aku memberi salam selesai solat, aku amat terkejut. Lelaki yang berpakaian sederhana dan berseluar khakis tadi adalah Sultan negeriku. Aku kagum dan bangga dalam hati. Masih ada Sultan yang begini. Masih wujud Sultan negeri yang mahu datang solat berjamaah di masjid bersama orang kebanyakan seperti kami, malah walaupun terlewat sedikit, Baginda tetap datang solat berjamaah Asar dan sempat masbuq. Bilakah lagi akan kutemui para Sultan negeri lain pula yang akan selamba sederhana berjamaah di masjid atau surau ketika waktu solat-solat fardhu??

**Atas alasan tertentu, aku memohon maaf kerana tidak dapat menyiarkan nama Sultan, nama masjid, nama negeri dan apa yang berlaku sesudah itu.

baca tulisan ini sepenuhnya..

05 November, 2013

"Dengan Basikal Aku Menjelajah" Trailer 2012



Teruja dan jatuh cinta dengan pengembaraan solo En. Zahariz yang disiarkan di TV Al-Hijrah setiap Ahad jam 8.30 malam. Episod pertama telah disiarkan 3 November 2013, Ahad lepas. Tiada jurukamera. Sebuah basikal bersama bekalan. Dan, beliau berseorangan mengembara. Merakam sendiri pengembaraan.

Credit:
malaysiannomad.com
zahariz.wordpress.com

baca tulisan ini sepenuhnya..

01 November, 2013

Talak (cerai)

Merujuk berita yang dilaporkan Harian Metro pada 30 oktober 2013 (di sini), penulis bersimpati dengan kejadian talak (cerai) 3 yang telah dijatuhkan oleh si suami terhadap isterinya walaupun mereka baru sahaja beberapa jam berkahwin dan ini merupakan perceraian kali pertama bagi pasangan berkenaan. Apatah lagi hal yang berlaku ini bukan perceraian kedua mahupun perceraian ketiga mereka. Bermakna, masih terdapat lagi lelaki yang masih berfahaman talak 3 adalah sah dilakukan walaupun itu adalah perceraian kali pertama (talak 1). Penulis berpandangan sederhana dalam hal berkenaan mana-mana suami yang melafazkan cerai terhadap isterinya dengan talak 3 walaupun itu sekadar perceraian pertama mereka. Bagi penulis, sekalipun si suami melafazkan: "aku ceraikan kau dengan talak 1000" sekalipun namun ianya tetap dikira talak 1 jika itu adalah perceraian kali pertama. Dan, sekranya mereka pernah bercerai sebelum ini, maka ianya dikira sebagai talak 2 dan begitulah seterusnya. Secara ringkasnya, pandangan penulis ini bersandar kepada firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 229 yang menyatakan talak itu (perceraian yang boleh dirujuk itu) berlaku dua kali. Ini bermaksud, sekalipun si suami mengucapkan: aku ceraikan kau dengan talak 3 sekaligus, maka talaknya tetap satu, kerana itu perceraian yang pertama. Kerana, Allah sendiri, berdasarkan ayat tadi, yang menetapkan bahwa perceraian yang boleh dirujuk itu adalah dua kali. Jadi, mana mungkin jika perceraian yang berlaku pada kali pertama, telah dianggap sebagai talak 3 ??

baca tulisan ini sepenuhnya..

15 March, 2013

Lahad Datu

Tabik setinggi-tinggi hormat dan penghargaan kita hadiahkan buat para petugas pengawal keselamatan perwira pejuang negara yang bertungkus-lumus bertugas menggempur para penceroboh dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah ketika ini. Begitulah juga, salam takziah buat para perwira negara yang telah gugur syahid hendaknya sepanjang operasi ini. Seluruh pengorbanan mereka kita kalungkan bunga-bunga harum berupa semulia-mulia dan sebaik-baik doa permohonan kepada Allah -dunia dan akhirat- khas buat mereka semua. Tiadalah suatu apa pun yang dapat membalas pengorbanan mereka bersusah payah mempertahankan tanah air bumi bertuah tercinta ini di saat seluruh warga negara sedang leka aman bekerja dan tidur nyenyak lena dengan tenteram saban malam melainkan titipan doa-doa kebaikan buat mereka, amin. Semoga Allah menganugerahkan setinggi-tinggi nikmat kebaikan dunia dan akhirat kepada mereka dan akan mendiami syurga indah, insyaAllah amin.Tabik hormat tuan-tuan semua. Tabiiik!

baca tulisan ini sepenuhnya..

07 February, 2013

Riya'


"Bersungguh-sungguhlah kamu beribadat sewaktu keseorangan,
nescaya kamu tidak akan *riya' dalam beribadat
sewaktu bersama khalayak ramai." - Rektor Blog.

* Riya' - berbuat sesuatu ibadah 
supaya diperhatikan atau didengari orang, 
bukan ikhlas semata-mata kerana Allah.

baca tulisan ini sepenuhnya..

18 December, 2012

Doa buruk

Ringkas sahaja. Memandangkan kehidupan makin canggih, anda boleh mencari sendiri perbincangan mendalam panjang lebar berkenaan doa daripada pelbagai sumber, malah daripada sumber muktabar sekalipun. Cuma, apa yang ingin saya katakan, doa ialah permintaan kita kepada Allah. Kita sedia maklum bahawa Allah Maha Adil lagi Maha Tahu perihal para hambaNya. Allah pasti Adil dalam memaqbulkan doa yang sesuai. Jadi apakah yang anda bimbangkan jika saya mendoakan keburukan buat anda? Cuba tanya diri anda, apakah yang anda bimbang sebenarnya? Sedangkan anda sendiri tahu Allah Maha Adil dan Maha Tahu, jadi anda tak perlu bimbang. Melainkan anda di pihak yang bersalah, memang sesuai lah anda bimbangkan doa buruk saya itu, sehingga kecoh disiarkan fatwa fatwi, itu ini, di kaca-kaca TV dan di corong-corong radio. Kenapa anda gelabah? Bukankah Allah itu Maha Adil?

baca tulisan ini sepenuhnya..

19 November, 2012

Dunia. Syurga. Neraka

Dunia
Tempat bahagia derita
Pahit manis
Sedih gembira
Hinggalah suatu masa
Tiupan sangkakala

Syurga
Tempat bahagia sahaja
Manis sahaja
Gembira sahaja
Selama-lamanya
Abadan-abada

Neraka
Tempat derita sahaja
Pahit sahaja
Sedih sahaja
Perit sengsara

Selepas dunia
mahu ke mana?




baca tulisan ini sepenuhnya..

11 November, 2012

Batok, bukan batuk. Pegar, bukan pagar

Gambar: Batok
Seperti mana tulisan saya sebelum ini di sini,
dalam kes kesilapan memahami frasa batuk dan batok bunyinya hampir sama
dalam perumpamaan "bagai melepaskan batok di tepi tangga",
sebenarnya bukanlah batuk, tetapi batok (sejenis gayung yg diperbuat daripada tempurung
untuk mengambil air di dalam tempayan). Maka sesuailah jika dikatakan perbuatan
melepaskan BATOK itu di tepi tangga sebagai suatu perbuatan tidak bertanggungjawab,
tidak kemas, cuai dan malas, kerana tempat batok ialah di dalam tempayan, bukannya di tepi tangga.
Maka, ia bukanlah perbuatan BATUK-BATUK di tepi tangga yang kita fahami selama ini.

Begitu juga dalam pembacaan saya yang terbaru berkenaan "harapkan pagar, pagar makan padi".
Sejak bila padi mempunyai pagar? Sejauh pengetahuan saya, padi hanya mempunyai batas-batas
(timbunan tanah lumpur yang memanjang) untuk memisahkan antara suatu kawasan sawah dengan
kawasan sawah yang lain. Jadi, ada yang berpandangan, sebenarnya bukan PAGAR, tapi PEGAR
(sejenis burung yang memakan tikus dan serangga daripada menyerang dan memakan padi).
Gambar: Burung Pegar

Maka sesuailah jika kita katakan begini, kita mengharapkan burung Pegar menjaga tanaman
padi kita daripada ancaman tikus, tiba-tiba burung Pegar yang diharapkan itu pula yang memakan
padi. Suatu tindakan pecah amanah. Jadi, sepatutnya ialah: "harapkan Pegar, Pegar makan padi".

Mohon pandangan, perbincangan dan kritikan, komen, terutamanya
daripada para cikgu dan pakar bahasa Melayu,  terima kasih.

Buah Cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Kredit:
Satu
Dua
Encik Google: BURUNG PEGAR MAKAN TIKUS

baca tulisan ini sepenuhnya..

25 July, 2012

Salam Ramadhan


- gambar hiasan -

N bertanya kepadaku, "Long, alangkah seronoknya andai hidup ini kita tak perlu pergi bekerja". Aku tersenyum, kerna soalan itu menyingkap apa yang tersirat di sebalik hati kecil N. Aku juga, ada sekelumit rasa yang sebegitu. Lalu aku menjawab, "N, kau dah lupa ke asal usul kau, N? Bukankah kau, aku, kita semua berkongsi nenek moyang yg serupa dan sepasang? Bukankah kita semua asalnya 'sedarah' daging?". N terdiam, belum sempat memahami maksud yang ingin aku sampaikan. "N, maksud aku, bukankah nenek moyang kita dulu tinggal di kayangan (yakni syurga)? Lantaran bisikan iblis, maka nenek moyang kita telah memakan buah larangan lalu dihukum Tuhan untuk tinggal di dunia. Asal usul kita ialah di kayangan, bukan di dunia ini yang memerlukan kita bersusah payah bekerja untuk mendapatkan gaji meneruskan hidup di dunia ini".

Maka, kemungkinan rasa tidak mahu bekerja itu adalah sebahagian fitrah asal kita, ianya normal, memandangkan nenek moyang kita memang berasal tinggal di syurga, suatu tempat yang sarat ni'mat, tiada lagi susah payah, kesedihan dan dukacita. Kaya dengan kemewahan dan kebahagiaan.

Namun kita sekarang berada di dunia, suatu tempat yang banyak perkara di sini yang berpasangan (gembira-sedih, senang-susah, mudah-payah, derita-bahagia, dan lain-lain). Kalau sudah begini cerita syurga di bawah ini, masakan kita masih mahu bekerja?



"Mereka (ahli-ahli syurga) dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya) yang sentiasa beredar di sekitar mereka dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungai yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab meni'matinya. Dan (juga dibawakan kepada mereka) buah-buahan daripada jenis-jenis yang mereka pilih, serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini, dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, serta mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang telah mereka kerjakan." (Al-Waaqiah: 17-24)


"Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu berada di dalam keadaan sibuk leka meni'mati kesenangan. Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berteleku di atas pelamin." (Yaasin: 55-56)


"Mereka berehat didalam syurga dengan berteleku di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang bersangatan sejuknya." (Al-Insan: 13)


"Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredhaan yang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dan air yang menggeledak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (sudah tentu tidak sama!)." (Muhammad: 15)


"Maha suci (Allah) yang jika Dia menghendaki, nescaya dijadikanNya bagimu yang lebih baik dari yang demikian, (iaitu) syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, dan dijadikanNya (pula) untukmu istana-istana." (Al-Furqan: 10)


"Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu, berada di antara pohon bidara yang tidak berduri dan pohon pisang yang bersusun-susun buahnya dan naungan yang terbentang luas; dan air yang tercurah; dan buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya." (Al-Waqiah: 27-33).


"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Ar-Rahman: 48).


"Di dalam keduanya ada (macam-macam) buah-buahan dan kurma serta delima." (Ar-Rahman: 68)


"Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya." (Al-Insan: 14).


"Dan malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu. (Mereka hormat dengan berkata ) : Selamat sejahteralah kamu berpanjangan disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu". (Ar-Ra'd : 23-24)




baca tulisan ini sepenuhnya..